Header Ads

ads header

Flash News

Harapkan sah halal sebelum suntikan


JAKARTA:
Majlis Ulama Indonesia (MUI) berharap dapat mengeluarkan keputusan sama ada vaksin Covid-19 adalah halal sebelum negara itu memulakan program inokulasi besar-besaran menggunakan vaksin China, minggu depan.

Negara dengan paling ramai penduduk majoriti Islam itu merancang memulakan vaksinasi pada 13 Jan selepas memperoleh 3 juta dos daripada Sinovac Biotech China.

Kontroversi sama ada vaksin berkenaan mematuhi syarat halal pernah menggugat usaha membabitkan kesihatan awam sebelum ini, termasuk pada 2018 apabila MUI mengeluarkan fatwa bahawa vaksin demam campak dilarang mengikut Islam.

“Harap-harap fatwa ini boleh diumumkan sebelum kerajaan memulakan program vaksinasi,” kata Muti Arintawati, pegawai di MUI yang bertanggungjawab menganalisis makanan dan ubatan untuk menilai sama ada halal.

Katanya, data masih sedang dihimpun sebelum MUI dapat mengeluarkan fatwa.

Indonesia bergelut dengan wabak Covid-19 terburuk di Asia Tenggara, dan pihak berkuasa bergantung kepada vaksin untuk meredakan krisis kesihatan dan ekonomi yang serentak membelenggu negara itu.

Disoal mengenai risiko tentangan orang ramai, seorang pegawai kementerian kesihatan berkata kerajaan akan menunggu dan melihat bagaimana MUI menangani isu itu.

Dalam usaha membuatkan orang ramai menerima vaksin berkenaan, Presiden Joko Widodo akan menjadi orang pertama menerimanya, minggu depan.

Dicky Budiman, penyelidik di Universiti Griffith, Australia, berkata pihak berkuasa perlu telus mengenai persijilan halal diberikan untuk meyakinkan orang ramai.

New York Times melaporkan, Sinovac memaklumkan pengeluar ubatan Indonesia Bio Farma bahawa vaksin berkenaan ‘bebas bahan porsin (mengandungi babi)’.

Bambang Heriyanto, setiausaha korporat Bio Farma mengesahkan menerima kenyataan itu tetapi berkata, status halal diputuskan oleh MUI.

Sementara itu Ahmad Ishomuddin, pegawai di Nahdlatul Ulama, organisasi agama Islam terbesar Indonesia berkata, vaksin tidak halal boleh digunakan dalam keadaan kecemasan jika tiada pilihan lain.

Agensi makanan dan ubatan Indonesia, BPOM perlu meluluskan penggunaan kecemasan untuk vaksinasi dimulakan.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan