Header Ads

ads header

Flash News

Bekas pegawai Jabatan Peguam Negara buat laporan polis terhadap Tommy Thomas kerana fitnah


PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai kanan undang-undang membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas kerana didakwa mencemarkan reputasinya dengan menuduhnya tidak mampu mendakwa Najib Razak atas kesalahan rasuah dalam kes SRC International.

Mohamad Hanafiah Zakaria, yang bersara sebagai pegawai penyelidik kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) pada Ogos, menggesa polis menyiasat bekas peguam negara itu atas kesalahan memfitnah.

Dalam laporan dibuat di balai polis Cyberjaya malam tadi, Hanafiah berkata, polis harus menyiasat Thomas bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan reputasi pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) lain dan imej badan itu.

Dia membuat laporan itu selepas Thomas merujuk kepadanya dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”, yang dilancarkan pada Isnin.

Hanafiah berkata, dia berada dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan selama 33 tahun, memegang banyak jawatan dan mengendalikan kes kepentingan awam sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Tuduhan Thomas yang saya tidak mampu mendakwa dalam kes berprofil tinggi seperti SRC bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya dalam laporan.

Pada mulanya, Hanafiah mengetuai pasukan pendakwaan ketika Najib didakwa melakukan rasuah berkaitan dana SRC, tetapi Thomas kemudian melantik peguam kanan Sulaiman Abdullah dan V Sithambaram.

Pada Julai 2019, Hanafiah dipindahkan ke ILKAP di Bangi dan kekal di sana sehingga persaraannya.

Hanafiah dilantik sebagai peguam cara agung III berikutan penstrukturan semula Jabatan Peguam Negara pada 2018 selepas Thomas dilantik sebagai Peguam Negara pada Jun tahun itu.

Dia melapor kepada Thomas dan bertanggungjawab ke atas sektor litigasi bahagian sivil, pendakwaan dan bahagian rayuan dan perbicaraan.

Semua pejabat pengarah pendakwaan negeri melapor kepadanya.

Dia muncul dalam berita pada 2018 ketika bertanggungjawab menarik balik tuduhan rasuah terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan wanita.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan rasuah dalam perbicaraan SRC. Bekas perdana menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Rayuannya kini dihadapkan ke Mahkamah Rayuan.

Semalam, Najib juga mengeluarkan notis tuntutan kepada Thomas kerana dituduh memfitnahnya dalam buku itu, berkaitan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, kliennya menuntut permohonan maaf dan wang pampasan RM10 juta daripada Thomas.

Notis itu juga menuntut supaya kenyataan dalam buku Thomas ditarik balik secara terbuka dengan segera dan tanpa ragu, serta jaminan untuk tidak mengulangi tuduhan dan komen tersebut.

Najib memberi Thomas hingga Jumaat untuk membalas, sekiranya gagal, beliau akan memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan. - FMT





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. tommy tomas fikir dia siapa....saolah negara ini hanya ada gulungan dari puaknya...

    BalasPadam