Header Ads

ads header

Flash News

Mengapa beri lagi tanah Sabah kepada agensi persekutuan, Warisan persoal GRS


KOTA KINABALU: Warisan mempersoalkan tindakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan hampir 2,000 hektar tanah negeri kepada agensi persekutuan baru-baru ini.

Ketua Pemudanya, Azis Jamman berkata, tindakan “menyerahkan” tanah seluas itu sangat mengejutkan dan mendakwa ia merendah-rendahkan hak rakyat Sabah.

“Kami tidak membantah pembangunan infrastruktur seperti sekolah dan hospital, tetapi intinya adalah kerajaan pusat sudah memiliki banyak tanah di Sabah,” kata Ahli Parlimen Sepanggar itu dalam kenyataan semalam.

“Kenapa kerajaan negeri semasa memberikan lebih banyak tanah sedangkan banyak kawasan diasingkan untuk agensi persekutuan terbiar bertahun-tahun?

“Ramai antara rakyat di kawasan luar bandar tidak memiliki seinci pun tanah, namun kerajaan negeri hari ini terus mengabaikan keperluan mereka,” katanya.

Khamis lalu, kerajaan Sabah secara rasmi menyerahkan 177 hak milik tanah kepada agensi persekutuan di negeri ini untuk pembinaan sekolah, hospital, balai polis dan bomba, serta kemudahan lain.

Ketua Menteri Hajiji Noor menyampaikan hak milik tanah tersebut, seluas 1,934ha, kepada setiausaha persekutuan negeri Samsuni Mohd Noor bagi pihak agensi masing-masing.

Kata Hajiji, ia adalah komitmen negeri untuk kepentingan semua rakyat Malaysia di Sabah.

Azis berkata, kerajaan pimpinan Warisan sebelum ini mewartakan kawasan di Inanam, Karambunai dan Darau sebagai kawasan petempatan kerana ramai penduduk yang tinggal di situ menanti sekian lama.

“Itu harus menjadi keutamaan kerajaan. Apa yang mereka patut utamakan adalah membaiki jalan raya sedia ada dan membetulkan keadaan sekolah yang daif,” katanya.

Sebaliknya katanya, GRS mengambil tindakan yang bertentangan berbanding kerajaan Sarawak yang mendesak tanah negeri dipulangkan kepada rakyat Sarawak.

Azis berkata, tindakan kerajaan GRS sangat berbeza dengan kerajaan pimpinan Warisan yang memberikan hak tanah penduduk asal kepada penduduk kampung.

Katanya, bekas ketua menteri dan presiden Warisan Shafie Apdal mengagihkan lebih daripada 10,000 ekar tanah kepada penduduk luar bandar dari 2019 hingga 2020.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan