Header Ads

ads header

Flash News

Ada 'breakdown' dalam usaha pertemukan pucuk pimpinan UMNO-Bersatu - Annuar Musa


KUALA LUMPUR:
Tan Sri Annuar Musa mendedahkan bagaimana tugas yang diarahkan kepada beliau untuk menjadi jambatan antara UMNO dan Bersatu terkandas apabila ada kepincangan atau ‘breakdown’ dalam usaha mempertemukan pucuk pimpinan dua parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, arahan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah supaya beliau berhubung dengan Bersatu, namun akhirnya, beliau yang dituduh menjadi duri dalam daging UMNO.

“Tidak adil kepada saya. Dalam menjalankan tugas, saya pula dituduh pro-Bersatu. Saya kata you (Zahid) tak bela saya.

“Boleh tanya Presiden UMNO, boleh tanya Perdana Menteri, dua-dua masih hidup. Saya nak jumpa Perdana Menteri nak merapatkan kedua-dua orang ini.

"Sehingga saya jemput beliau datang ke rumah saya, untuk membolehkan saya jemput presiden saya, makan berdua, supaya mereka boleh bincang masalah-masalah parti tanpa gangguan orang lain,” katanya.

Annuar menjelaskan, beliau menjalankan tugas untuk membawa mesej presiden, mesej parti, serta keputusan-keputusan parti untuk disampaikan ke sebelah pihak satu lagi sepertimana diarahkan.

Namun, dedahnya lagi, sehingga hari ini, UMNO secara rasmi belum pernah duduk dengan Bersatu untuk berbincang, antaranya tentang hal pembahagian kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Saya dahulu bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai ahli jawatankuasa perundingan kerusi.

"Kami teruskan berunding bersama badan perhubungan negeri, kemudian saya aturkan perundingan dengan Badan Perhubungan Pas, tetapi dengan Bersatu tidak pernah.

“Terakhir ialah, satu malam Ismail Sabri pimpin rundingan dengan Pas, malam yang sama, saya pergi berunding secara pentadbiran dengan Bersatu.

“Kerja-kerja itu kita buat. Tetapi perundingan sebenar tak pernah berlaku, kerana apa? Ada ‘breakdown’ antara dua pucuk pimpinan,” dedahnya.

Beliau merasakan dalam hal ini, para pemimpin UMNO harus berjiwa besar demi kejayaan parti yang pada hakikatnya memerlukan gandingan kerjasama dan tidak boleh berjuang bersendirian.

Bagi Annuar, formula kemenangan adalah dengan memastikan UMNO mengungguli penyatuan dan perpaduan orang Melayu.

“Yang saya fikir, Bersatu adalah penting untuk membolehkan UMNO menang, sepertimana juga Pas adalah penting untuk UMNO menang, dengan cara jangan berpecah belah.

“Saya nak juara kepada penyatuan orang Melayu adalah parti saya. Parti saya mesti menjadi juara kepada perpaduan politik Melayu," tegasnya.

Atas semangat itu, katanya, UMNO berjaya membentuk persepakatan dengan Pas menerusi Muafakat Nasional di mana beliau adalah antara yang terlibat merangka piagamnya.

Dalam piagam itu, katanya, telah digariskan bahawa kerjasama UMNO-Pas tidak boleh eksklusif dan perlu menggarap penyatuan yang lebih besar susulan itu.

“Maka di situ kita bawa masuk Bersatu. Ini formula membentuk satu gagasan penyatuan politik Melayu yang kuat,” jelas Annuar.




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan