Header Ads

ads header

Flash News

Baru menang PRN, Umno Sabah kekal bersama Bersatu


KUALA LUMPUR, 28 Mac
— Di sebalik perkembangan mutakhir senario politik negara yang menyaksikan Umno berhasrat bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak, Umno Sabah kekal dengan pendiriannya meneruskan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kemaslahatan rakyat di Negeri di Bawah Bayu.

Menegaskan pendirian berkenaan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya tidak akan terikut-ikut dengan rentak pergolakan politik di Semenanjung, sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat yang dahagakan pembangunan.

“Kami menghormati janji kami dalam pilihan raya untuk membantu membangunkan ekonomi dan membangunkan negeri Sabah dan membantu rakyat.

“Kalau kami mementingkan politik semata-mata dan mengetepikan mandat rakyat, kami bimbang rakyat Sabah tidak ada keyakinan dengan mana-mana ahli politik atau kerajaan yang akan diwujudkan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Bernama pada Perhimpunan Agung Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

GRS membentuk kerajaan negeri Sabah setelah memenangi 38 daripada 73 kerusi pada pilihan raya negeri Sabah pada September 2020.

GRS terdiri daripada parti komponen Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS) yang memperoleh 17 kerusi dan Barisan Nasional (Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) sebanyak 14 kerusi serta Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi tujuh kerusi.

Sabah ketika ini mempunyai keahlian Umno tertinggi dengan 583,979 orang daripada keseluruhan 3.35 juta ahli di seluruh negara.

Menghormati pendirian parti di Semenanjung, Bung Moktar berkata gabungan itu baru sahaja melalui pilihan raya negeri dan jika hendak mengekalkan kerajaan GRS yang berusia kira-kira enam bulan, mereka perlu sehaluan.

Ditanya kemungkinan keputusan berkenaan mencetuskan konflik, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah tidak menolak perkara itu namun yakin ada  beberapa formula yang boleh dibincangkan untuk mengatasi kemelut yang mungkin timbul.

“Secara rasmi belum ada, tapi secara unofficial kita cuba merencana beberapa pendekatan,” katanya ketika ditanya jika perbincangan rasmi mengenainya sudah dibuat.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Bahagian Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, berkata berkata senario Umno di Sabah berbeza dan tidak seperti di Semenanjung kerana ketika ini GRS lebih memfokuskan kepada pembangunan ekonomi rakyat dan negeri yang terkesan oleh pandemik Umno.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami dalam GRS untuk membangunkan ekonomi Sabah, sekaligus memperkasa politik Sabah. Kita ada senario berbeza

“Kita kena buat formula baharu untuk bersama-sama dalam GRS. Kita akan pastikan ia tidak berlaku di Sabah (memutuskan kerjasama dalam GRS), kita mahu fokus membangunkan ekonomi rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata beliau telah mencadangkan kepada Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Umno Sabah meneruskan kerjasama dengan GRS sehingga pilihan raya negeri seterusnya.

“Beliau (Ahmad Zahid) tidak membantah. Negeri-negeri lain juga akan melalui mekanisme serupa macam di Johor, Perak dan sebagainya dan dengan cara ini kita boleh bentuk lagi GRS itu di Sabah.

“Sejarah Sabah agak unik. Pernah terjadi sebelum ini di mana USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan PBS pernah menjadi rakan dalam Barisan Nasional di peringkat pusat, tetapi di peringkat negeri USNO adalah pembangkang dalam kerajaan negeri Sabah ketika itu,” katanya.

Berhubung perkembangan semasa politik di Semenanjung, Abdul Rahman berkata Umno Sabah tetap terlibat dan terikat dengan sebarang keputusan yang dicapai pada Perhimpunan Agung Umno 2020 khususnya berkaitan peringkat pusat.

“Untuk berlaku adil pada negeri lain yang juga menyumbang kepada pembentukan kerajaan pusat (melibatkan ahli Parlimen), autonomi Umno Sabah itu tidak begitu relevan kerana ia tidak hanya menentukan hal ehwal Sabah, ini adalah berkenaan hal ehwal negara,” katanya. — Bernama 





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Tiada kerusi parlimen yg d tandingi umno akan menang di sabah,,prn baru ni kira nasib baik pn tolong umno kalau tidak pupus dah umno d sabah

    BalasPadam