Header Ads

ads header

Flash News

Isu Undi18: Surat Tuntutan Kepada Buletin TTKM


Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat tuntutan kepada Buletin TTKM atas laporan bertajuk “Undi18 tak perlu pinda perlembagaan negeri: Najib dan Saddiq sanggah ‘propaganda’ Dr Kamarul” yang disiarkan olehnya semalam, 28 Mac 2021.

Laporan ini adalah berbunyi:

(1) “Bekas perdana menteri, Dato Seri Najib Razak menyanggah info yang tular di media sosial yang mendakwa perlembagaan negeri perlu dipinda untuk menurunkan umur pengundi dari 21 tahun ke 18 tahun. “Adalah tidak benar bahawa perlembagaan negeri perlu dipinda untuk turunkan umur PENGUNDI dari 21 tahun ke 18 tahun. Apa yang dipindakan di peringkat negeri adalah umur minima KEAHLIAN Dewan Undangan negeri supaya umur minima CALON boleh diturunkan ke 18 tahun. Had umur pengundi sama ada untuk Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri adalah bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 119 “Kelayakan pemilih” Perlembagaan Persekutuan. DUN tiada kuasa sama sekali.” – Najib Razak.”

(2) Pendapat itu turut disokong oleh Syed Saddiq yang menyifatkan info itu sebagai propaganda yang tidak betul dan menimbulkan salah faham orang ramai. “Usahlah menyebarkan propaganda yang tidak betul dan menimbulkan salah faham orang ramai. Penurunan umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun TIDAK PERLUKAN kelulusan DUN Negeri.” – Syed Saddiq

Tiada di mana-mana tempat di dalam tulisan saya bertajuk “Isu Undi18: Pakatan Harapan Umpama “Kokok Berderai-Derai, Ekor Bergelumang Tahi”" yang disiarkan pada 26 Mac 2021 yang mengandungi kenyataan bahawa “perlembagaan negeri perlu dipinda untuk menurunkan umur pengundi dari 21 tahun ke 18 tahun” seperti didakwa oleh Dato Seri Najib atau bahawa “Penurunan umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun PERLUKAN kelulusan DUN Negeri” seperti didakwa oleh Syed Saddiq.

Apa yang ada di dalam tulisan saya itu hanyalah kenyataan yang meminta supaya, sebelum mengkritik, Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan menyemak dulu kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada 3 September 2019 bahawa Pelaksanaan Undi18 berkait dengan banyak isu teknikal, antara lainnya ialah:

iv) Pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membolehkan warganegara yang berumur 18 tahun menjadi calon Dewan Undangan Negeri.
Tulis saya seterusnya:

“Merujuk kepada Perkara iv), semakan kepada data rasmi menunjukkan bahawa sehingga hari ini:

i) Hanya Negeri-Negeri Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Sabah dan Sarawak sahaja yang bersetuju menerima Undi18;

ii) Negeri-Negeri Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menolak Undi18;

iii) Negeri-Negeri Kedah dan Pulau Pinang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18.
Bukankah Negeri-Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang menolak Undi18 adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?

Dan bukankah Negeri Pulau Pinang yang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18 juga adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?”

Kesemua fakta ini adalah tepat kerana, seperti dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, Rang Undang-Undang Undi18 ini adalah satu pakej yang melibatkan tiga perkara, iaitu:

i) Umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun;
ii) Umur layak menjadi calon diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun; dan
iii) Pendaftaran warganegara yang layak sebagai pemilih secara automatik.

Ketiga-tiga perkara ini adalah terkandung di dalam:

i) Fasal 2 Rang Undang-Undang ini yang bertujuan untuk meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada dua puluh satu tahun kepada lapan belas tahun.

ii) Fasal 3 Rang Undang-Undang ini yang bertujuan untuk meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Subfasal 3(a) bertujuan untuk meminda perenggan (a) Fasal (1) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada dua puluh satu tahun kepada lapan belas tahun. Subfasal 3(b) bertujuan untuk meminda takrif “tarikh kelayakan” dalam perenggan (b) Fasal (4) Perkara 119 untuk memberikannya maksud sebagai tarikh seseorang didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai pemilih dalam sesuatu bahagian pilihan raya. Dengan pindaan ini, apabila seseorang warganegara mencapai umur lapan belas tahun dan layak untuk mengundi, dia akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, dan

iii) Fasal 4 Rang Undang-Undang ini yang bertujuan untuk meminda seksyen 5 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Undangan daripada dua puluh satu tahun kepada lapan belas tahun serupa seperti pindaan yang dicadangkan kepada Perkara 47 dalam fasal 2.

FAQ (Soalan-Soalan Lazim) RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang diedarkan oleh pihak kerajaan, ketika menjawab soalan “Apakah yang dimaksudkan dengan Undi18 dan skopnya?”, dan kenyataan media Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada 3 September 2019 juga jelas menyatakan bahawa:

“Undi18 melibatkan 3 perkara, iaitu:

i) Umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun;
ii) Umur layak menjadi calon diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun; dan
iii) Pendaftaran warganegara yang layak sebagai pemilih secara automatik.”

Dalam konteks skop Undi18 inilah maka kedua-dua soalan saya ini, yang tidak pernah dinafikan, ditanya:

i) “Bukankah Negeri-Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang menolak Undi18 adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?”

ii) “Dan bukankah Negeri Pulau Pinang yang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18 juga adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?”

Isu sebenar yang saya timbulkan di dalam tulisan saya ini juga ialah mengenai sikap tidak konsisten pemimpin Pakatan Harapan yang menerima satu aspek skop Undi18 tetapi menolak atau belum memutuskan menerima atau menolak aspek lain.

Tindakan pihak-pihak yang menghentam saya kerana kononnya menyebarkan propaganda palsu untuk memperbodohkan orang ramai adalah satu fitnah jahat ke atas diri saya.

Kamarul Yusoff





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Undi 18 tahun tu dah lulus sebulat suara la termasuk dari puak lebai sendiri..maknanya sokongan lebih dr 2/3 dewan..dah biol ke apa prof kongkang ni?

    BalasPadam