Header Ads

ads header

Flash News

Parti Islam perkukuh kerjasama dengan PPBM, tolak cubaan bentuk kerajaan baharu dengan PH


PETALING JAYA:
Dalam apa yang dilihat petanda paling jelas kecenderungan PAS terhadap PPBM, kedua-dua parti itu mengumumkan mereka akan mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi PRU15 dan menolak sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu yang melibatkan Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti itu turut bersetuju menubuhkan mekanisme peringkat pusat bagi memutuskan pengagihan kerusi untuk PRU.


Kenyataan PAS-PPBM itu menyusul mesyuarat presiden PAS Abdul Hadi Awang dan presiden PPBM Muhyiddin Yassin semalam, ekoran perhimpunan agung Umno hujung minggu lalu.

PAU 2020 menetapkan Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15, malah beberapa pemimpin kanan parti itu turut menggesa PAS memilih antara Umno atau PPBM sebagai sekutunya untuk bertanding pada PRU.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan bersendirian dengan Barisan Nasional untuk bertanding pada PRU15 dan mahu menentukan “parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita.”

Dalam kenyataan bersama, PAS dan PPBM tidak menyebut Umno, namun menegaskan, mereka menolak sebarang bentuk “penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.”

PAS menjalin kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional manakala parti Islam itu menjadi sekutu PPBM menerusi Perikatan Nasional.

Walaupun Zahid berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan DAP dan presiden PKR Anwar Ibrahim, ura-ura kemungkinan berlaku kerjasama sedemikian selepas PRU-15 bertebaran.

Dalam kenyataan itu, PAS dan PPBM menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu selepas PRU15.

PAS dan PPBM juga menempelak sebagai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

“PPBM dan PAS …. menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional yang dibina secara bersama,” kata kenyataan itu.

Zahid sebelum ini berkata, apabila tiba masanya, pemimpin Umno yang menganggotai kabinet Muhyiddin dan memegang jawatan kanan lain dalam pentadbiran beliau, akan diminta meletak jawatan.

Beberapa ahli Parlimen Umno sebelum ini menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin yang dilihat ketika itu sebagai menghakis keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan itu, PAS dan PPBM mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi “merangka strategi dan hala tuju Parti khusus bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi.”

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen,” kata kenyataan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan rakan sejawat PPBM Hamzah Zainudin.

MR : PAS banyak kali berdiam diri untuk menjaga kepentingan MN, tapi puak UMNO terang sebut tak ada MN di beberapa negeri. Kini kita lihat siapa meroyan



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. pas buat keputusan yg betul tolak kerjasama dgn umno...
    umno lemah, tak kemana2 tanpa Pas...
    games umno perbodohkan pas gagal....

    BalasPadam