Header Ads

ads header

Flash News

Politik benci jadi ciri terbaru Umno, dakwa Annuar


Sejak dari awal, Annuar Musa adalah tokoh Umno utama yang mempertahankan kerjasama parti itu dengan Bersatu.

Hari ini, ketika bermulanya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang mungkin akan memuktamadkan keputusan itu, bekas Setiauasaha Agung BN itu sekali lagi melancarkan kritikan terhadap partinya.

Annuar menyifatkan "politik benci" sudah mula menjadi batu tanda baru buat parti itu dengan pihak-pihak tertentu "mereka-reka cerita untuk menanam benci sesama sendiri".

"Padahal inilah PAU yang paling selamat, keputusan sudah ditentukan...Insya-Allah inilah perhimpunan paling tersusun dan paling pendek.

"Sepatutnya tak perlulah sampai mereka-reka cerita untuk menanam benci sesama sendiri. Namun politik benci sudah mula menjadi trademark baru bagi parti," dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar mendakwa PAU 2021 sudah pun ditentukan dari awal, termasuk senarai pembahas sehinggalah keputusan yang dicapai Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.

"Perwakilan dengar saja di bahagian masing-masing... Jurucakap yang dipilih sudah digantikan. Hanya orang yang dilantik presiden (Ahmad Zahid Hamidi) boleh bercakap.

"Usul MT untuk meluluskan ucapan dasar presiden hanya boleh dibahas ahli MT saja. Matlamatnya adalah untuk sokong (dan) semua senada... Bermakna MT lebih tinggi daripada PAU walaupun perlembagaan parti menyatakan sebaliknya," dakwa Annuar dalam kenyataan hari ini.

Malah, dia mendakwa serangan dilancarkan di internet untuk memburuk-burukkan mana-mana pemimpin parti yang berbeza pendapat, seperti Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Hishammuddin Hussein, Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim dan Ketua Wanita Noraini Ahmad.

Kesemua nama yang dibangkitkannya itu sama ada menteri persekutuan atau yang dilihat cenderung kepada Perikatan Nasional (PN).

Hubungan Umno dengan Bersatu - parti utama dalam gabungan pemerintah - kini dilihat retak menanti belah. 

Sudah mula kelihatan sejak tahun lalu, ia memburuk selepas 189 daripada 191 bahagian Umno padal Januari lalu dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Pada masa sama, PAS yang memeterai Muafakat Nasional (MN) dengan Umno berada dalam PN dan menegaskan ketiga-tiga parti itu perlu terus bekerjasama.

'Jika tersalah formula'

Annuar sekali lagi menegaskan pendiriannya iaitu Umno perlu menyertai PRU sebagai kerajaan dan fokus kepada apa yang disifatkannya sebagai kepentingan orang Melayu dan Islam.

"Umno perlu terus bersikap terbuka dan bijaksana berunding sehingga saat akhir... Umno perlu mengelak menjadi parti yang semakin berpecah kerana ini akan menghancurkan parti," katanya.

Dalam kenyataan hari ini juga, Annuar jelas mengkritik pimpinan Umno dengan berkata jika parti itu memilih pimpinan dan formula kemenangan yang salah, ia akan semakin terpinggir dan semakin sukar untuk bangkit semula.

"Terserahlah pada PAU 2021 untuk menentukannya, atau sebenarnya (sebarang keputusan) telah pun ditentukan," katanya lagi.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan