PUTRAJAYA:
Ahli-ahli akar umbi UMNO semakin gelisah dan keliru selepas tular audio
perbualan telefon antara Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk
Mustapa Kamal Mohd. Yusoff berkata, malah mereka seolah-olah tidak boleh
menafikan ‘pakatan’ antara kedua-dua pemimpin itu dan kecewa kerana
seperti ditipu bulat-bulat oleh kepemimpinan parti yang membuat
keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu apabila dipercayai
wujud perancangan lain di luar pengetahuan.
Justeru, katanya, Lembaga Disiplin parti termasuk Ahli Majlis
Tertinggi (MT) tidak boleh berdiam diri untuk menasihatkan Ahmad Zahid
agar berehat dahulu selagi kes berkenaan tidak diselesaikan.
“Jadi kita minta Lembaga Disipin dan MT untuk tengok perkara ini
secara serius, jangan hanya ambil tindakan jika melibatkan ahli sahaja
tetapi kalau orang-orang tertentu tidak pula diambil tindakan malah
tidak dibawa berbincang pun.
“Nasihat saya kalau (Ahmad Zahid) perlu rehat, rehatlah, bukan makna
kita tidak suka dan tidak mengenang jasa-jasanya. Sekarang ini suasana
kepercayaan politik lain, saya yakin pengundi muda akan bersama parti
asalkan kita memberikan satu keyakinan kepada mereka dalam bentuk
kepemimpinan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Mustapa Kamal berkata, UMNO ketika ini menghadapi
krisis keyakinan kepemimpinan dan apabila berlaku perkara seumpama ini,
ia semakin memburukkan keadaan.
Katanya, bukan sahaja ahli akar umbi, malah orang-orang Melayu pasti
amat kecewa selepas berlaku isu surat sokongan Presiden kepada Anwar.
“Saya harap benda ini tidak betul. Tapi kalau tidak mahu berlaku
seperti isu surat dahulu dan selagi perkara ini tidak selesai, saya
minta Presiden undurkan diri. Undur diri bukan maksud mengalah.
“Saya yakin kalau kepemimpinan diambil alih Timbalan Presiden, Datuk
Seri Mohamad Hasan pun beliau mampu menguruskan parti,” katanya. –
UTUSAN ONLINE
dahan buruk dalam umno akan jatuh satu persatu.tahankan ego tu hingga lubang kubur.Malaysia ni milik umno.Boleh buat apa sahaja.Kes mahkamah kena tarik balik seperti LGE tu.
BalasPadam