Header Ads

ads header

Flash News

Umno berubah tengah jalan, rundingan kerusi dengan UMNO terhenti - Abdul Hadi


MARANG, 10 April
— PAS menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan Umno dan ketika ini rundingan yang ada hanyalah dengan Bersatu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata rundingan dengan Umno akan diteruskan setelah parti itu mempunyai keputusan atau hala tuju yang jelas tentang kerjasama bersama PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 akan datang.

“Sekarang ini sudah ada pimpinan PAS yang melaksanakan tugas itu (pembahagian kerusi) dengan Bersatu. Dengan Umno pula, dulu sudah ada jawatankuasa yang dibentuk tetapi Umno yang ubah di tengah jalan. Oleh kerana Umno bermasalah, kita dengan Bersatu dulu (bincang mengenai pembahagian kerusi),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di sini semalam.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang menegaskan parti itu mahu bertanding secara solo pada PRU15 di negeri ini, Abdul Hadi berkata ia belum dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi Umno di peringkat pusat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS seboleh mungkin masih mahu  menyeru kepada perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk sekali gus mengelakkan berlakunya perpecahan.

“Muafakat Nasional (MN) bukan sahaja kerjasama antara PAS dengan Umno...ia termasuk Bersatu. Itu dasar dan prinsip bersama yang kita dah bersetuju sebelum ini tetapi masalahnya pimpinan Umno yang tak ikut, itu hak merekalah.

“Namun, saya difahamkan bukan semua orang Umno begitu... jadi kita nak menyatukan orang Melayu. Bukan PAS dan Umno sahaja Melayu, malah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan semua pihak kita kena terima dalam penyatuan... kecuali yang ekstrem, Melayu yang ekstrem itu kita tolak,” katanya.

Ditanya mengenai rakaman audio yang mirip suara Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini pula, Abdul Hadi menegaskan PAS konsisten dengan pendiriannya dalam menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15 terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

“Tulen tak tulen itu (audio itu) saya tidak tahu, cukup masyarakat menilai. Kita menolak jajaran baharu dan bersetuju MN yang bukan sahaja melibatkan Umno dan PAS tetapi juga Bersatu di samping semua kumpulan Melayu-Islam-Bumiputera serta masyarakat majmuk apabila Perikatan Nasional digabungkan,” katanya.

Rakaman audio telefon antara dua pemimpin berdurasi kira-kira empat minit itu dikatakan berlaku selepas ucapan penggulungan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung Umno 2020.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu telah menafikan bahawa suara mereka yang dirakam dalam audio berkenaan dan menyatakan akan membuat laporan polis. — Bernama





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. PAS sentiasa konsisten.UMNO goyah dan tidak istiqamah kerana ujian pangat dan kuasa serta masih berasa kuat.UMNO liat untuk berubah dan berasa seperti dulu.Walhal senario sudah berubah.Kerajaan PN tidak campur urusan mahkamah,maka UMNo harap gaya lama masih berulang dan anggap boleh buat apa sahaja bagai Malaysia ini hak umno.Rakyat kian jela snampak permainan umno dan sedia menunggu penolakan total,sebab itu ada 3 kelompok umno.Perpecahan umno membuktikan ramai kepada penyatuan Islam melayu.Umno menuju kepupusan tapi dikelilingi penasihat tua yang tak sedar diri

    BalasPadam