Header Ads

ads header

Flash News

Individu terlibat video muzik Aliff Syukri dipanggil ke SKMM esok


KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memanggil individu terlibat dalam klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikaitkan dengan usahawan kosmetik, Aliff Syukri Kamarzaman yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta hadir ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pagi esok.

“SKMM telah teliti di peringkat awalan dan ada sebab untuk siasatan dilaksanakan. Dengan itu, satu kertas siasatan dibuka untuk siasat perkara ini di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) bersama menteri komunikasi dan multimedia di sini.

Klip video raya itu yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Annuar turut mengesahkan kementeriannya menerima terlalu banyak aduan, termasuk daripada Jabatan Perdana Menteri, khususnya Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung klip video itu.

Beliau berkata, keresahan itu timbul kerana klip video berkenaan mempunyai unsur tertentu yang bercanggah amalan dan norma masyarakat negara ini.

Sementara itu, Annuar berkata, Jemaah Menteri bersetuju siaran radio RTM bahasa Tagalog ditamatkan kerana didapati tidak lagi efektif dan jumlah pendengarnya juga semakin berkurangan.

“Satu ketika dulu, RTM adakan satu saluran radio khusus dalam bahasa Filipina atau Tagalog, terutama sekali bagi kemudahan sebahagian penduduk di Sabah atau Selatan Filipina.

“Siaran FM biasa yang ada di Sabah dikira sudah memadai dan bahasa kebangsaan serta bahasa tempatan menjadi cukup efektif melalui saluran radio sedia ada,” katanya.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan