Header Ads

ads header

Flash News

Seorang lagi rakyat M'sia jalani hukuman mati di S'pura esok


Esok, seorang lagi rakyat Malaysia, Datchinamurthy Kataiah, dijadual menjalani hukuman gantung sampai mati di penjara Singapura.

Ia menyusul selepas pelaksanaan hukuman serupa dijalankan ke atas Nagaenthran Dharmalingam, 34, pagi semalam.

Kedua-dua mereka ditahan, dibicarakan dan dihukum mati atas sebab yang sama: dadah.

Jadual pelaksanaan hukuman ke atas Datchinamurthy itu dimaklumkan melalui sepucuk surat daripada Jabatan Penjara Singapura yang bertarikh 22 Apr lalu.

Pemuda berusia 36 tahun mendekam di Penjara Changi untuk menunggu nasibnya sejak 2015. Sebelum itu dia ditahan dan didakwa atas tuduhan mengedar 44.9g diamorphine.

Ia merupakan dadah yang diperbuat daripada heroin.

Datchinamurthy ditahan bersama seorang wanita Singapura pada 18 Nov 2011. Tidak seperti Datchinamurthy, wanita terbabit dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah Singapura.

Untuk rekod, republik berkenaan adalah antara negara yang menguatkuasakan undang-undang antidadah paling tegas di dunia.

Dalam sepucuk surat yang ditulis teman wanita Datchinamurthy - dan dikongsikan kumpulan Sebaran Kasih - dia bercerita mengenai lawatan kali terakhir dilakukan ke penjara terbabit pada 26 Apr lalu.

“Semuanya terus bermain di fikiran saya: ketawa, jenaka, saat-saat yang menggembirakan. Amat menyedihkan untuk kehilangan seseorang yang kita sayangi dengan cara yang kejam seperti ini.

"Saya seperti tidak percaya apabila kita berbincang mengenai pengebumian kamu.

"Saya harap kamu mendapat kebebasan yang tidak diberikan oleh dunia ini. Saya berharap kamu akan dibebaskan daripada perjuangan antara hidup dan mati. Saya harap kamu akan masuk ke dunia tuhan.

“Hidup di dunia ini sukar - kerja, pendapatan, keluarga, anak-anak dan ibu bapa - ia bukan mudah.

"Jika kamu perlu pergi dahulu, kita akan berjumpa semula apabila tiba masa saya pula," kata surat itu.

Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan, Sebaran Kasih berkata, sukar untuk menerima kenyataan bahawa seorang lagi rakyat Malaysia akan menjalani hukuman mati ketika peristiwa dilalui Nagaentran baru saja berlalu.

“Surat ini akan menjadi surat terakhir kepada Datchinamurthy daripada orang yang disayanginya jika dia dihukum mati pada Jumaat ini.

"Bacalah surat itu untuk memahami dan merasai kesedihan teman wanita Datchinamurthy yang menunggu kematiannya," katanya.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan