Gambar ketua pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dalam sebuah jet privet menjadi satu isu yang gempar di Internet.
Ketika beberapa blogger dan pemimpin Barisan Nasional (BN) mengkritik 'gaya pengembaraan' mereka, Datuk Seri Anwar dan rakan-rakannya menegaskan bahawa tindakan menaiki jet privet itu bagi memudahkan perjalanan mereka ke Labuan, Sabah, pada 15 September lalu.
Gambar itu pada mulanya dimuat naik di laman Twitter Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Tian Chua, pada 15 September lalu sebelum dimuat naik di beberapa laman lain.
Selain Datuk Seri Anwar dan Encik Tian Chua, mereka yang dilihat berada dalam pesawat itu ialah Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Dr Tan Seng Giaw; Ketua Wanita PKR, Cik Zuraida Kamaruddin; Bendahari Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dr Hatta Ramli; dan Ketua PKR Terengganu, Encik Abdul Rahman Yusof.
Beberapa blog turut mendakwa pesawat itu didaftar atas nama bank Amerika Syarikat, lapor mStar O
nline.
Seorang penulis blog, dalam entrinya di novandri.blogspot.com, berkata pemimpin pembangkang sering menuduh kerajaan BN boros dan membazir.
Mereka pula menggambarkan diri mereka pandai berjimat cermat dan mengembara dengan menaiki syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.
"Cerita terbaru tentang Anwar Ibrahim beraksi dalam jet privet bersama beberapa pemimpin parti pembangkang sudah tentu menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat.
"Rakyat sudah pasti ingin tahu kewujudan jet privet, pemilik dan kaitannya dengan Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang.
"Pada masa yang sama, foto- foto dalam jet privet itu akan memualkan rakyat yang sering mengaitkan pemimpin politik sebagai elitis, suka menunjuk-nunjuk dan tidak sedar diri," kata penulis blog itu.
Mengulas reaksi itu, Datuk Seri Anwar pada Sabtu lalu menulis di laman Twitternya:
"Apa isunya? Seorang kawan merancang memberi pinjam jet privetnya."
Semalam, Datuk Seri Anwar berkata gambar itu sengaja disebarkan bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif.

Post a Comment