Header Ads

ads header

Flash News

Pemuda PKR Sabah bidas Warisan gagalkan undian belah bahagi


KOTA KINABALU:
Pemuda PKR Sabah membidas tindakan Ahli Parlimen Warisan yang mengambil keputusan keluar Dewan Rakyat bagi menggagalkan usaha pembangkang dalam undian belah bahagi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa, hari ini.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, tindakan Warisan yang dikatakan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) itu bertentangan dengan janji mereka kepada rakyat Sabah.

”Ini bukan masa untuk berpolitik hanya kerana tidak berpuas hati dengan rakan sekutu kerana anda dipilih rakyat untuk berada di Parlimen, maka jalankan tanggungjawab anda.

”Alasan yang diberikan seperti yang dinyatakan Ahli Parlimen Labuan (Rozman Isli) juga merupakan alasan kebudak-budakan pada saat rakyat mengharapkan suara Ahli Parlimen menentang belanjawan yang dilihat lebih menguntungkan pihak tertentu berbanding golongan sasar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razeef Rakimin.

Razeef berkata, bukan kali pertama beliau menegur sikap angkuh dan sombong pimpinan Warisan dan sikap itulah juga yang menyebabkan kerajaan Warisan Plus di Sabah tumbang pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Warisan memahami strategi pembangkang di samping melihat pentingnya belanjawan berkenaan kepada rakyat yang berdepan pandemik Covid-19 serta kemelesetan ekonomi.

”Kita melihat sendiri kemampuan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membahaskan setiap perincian belanjawan bagi memastikan setiap peruntukan sampai kepada sasaran, bukan hanya kroni.

Razeef juga tidak menolak kemungkinan tindakan Ahli Parlimen Warisan itu atas arahan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohammad kerana tidak mendapat sokongan dalam usul undian belah bahagi Belanjawan 2021 di peringkat dasar, Khamis lalu.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan di bawah RUU Perbekalan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa apabila pembangkang kalah dalam dua undian belah bahagi yang diadakan.

JPM diperuntukkan RM11.69 bilion, iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Kementerian Kewangan pula mendapat peruntukan sebanyak RM35.1 bilion iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan