Header Ads

ads header

Flash News

Adakah Sabah ‘senyap-senyap’ maju bawah pimpinan Hajiji?


PETALING JAYA:
Ketika seluruh negara tertumpu pada politik, kerajaan Sabah senyap-senyap menjalankan tugas yang sepatutnya dilaksanakan setiap kerajaan – membawa pembangunan kepada rakyat dan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan mereka.

Walaupun dengan perintah kawalan pergerakan dan wabak Covid-19, kerajaan Sabah berjaya mencapai rekod pendapatan RM4.912 bilion pada 2021, tertinggi bagi negeri itu sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor, Sabah berada di tahap terbaik dan negeri itu berharap dapat mengatasi prestasi ekonomi 2021 pada tahun ini dan tahun depan.

Pelan dan projek sedang berjalan dengan pantas berikutan langkah Hajiji memperkenalkan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan penjawat awam diberi “amaran jelas dan lantang” dalam mesyuarat yang dipengerusikan Hajiji bahawa mereka harus mengelak daripada bersikap seperti “Napoleon Kecil” dengan secara tidak perlu melengahkan projek pembangunan.

Pelaburan asing semakin meningkat dan gaya kepimpinan Hajiji menjadi tarikan utama.

Sumber dalaman perniagaan berkata “Hajiji mempunyai reputasi tidak sabar dengan kebodohan atau ketidakcekapan amalan tidak praktikal dan lapuk tertentu yang menghalang pelaksanaan dasar cekap”.

“Beliau dikenali sebagai seorang yang adil dan pragmatik serta pernah menegur pihak gagal mengutamakan kebajikan rakyat dan sistem penyampaian. Ini menanam keyakinan dalam kalangan pelabur domestik dan luar negara. Imejnya yang bersih dan bebas skandal juga menjadi dorongan utama.

“Beliau tidak suka bercakap banyak dan membiarkan usahanya untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji, yang menjadi ketua menteri Sabah ke-16 pada 29 Sept 2020, menggerakkan pelbagai strategi yang mula membuahkan hasil.

Satu petunjuk kejayaannya adalah lonjakan dramatik dalam pelaburan asing.

Pada separuh pertama 2021, Sabah menarik RM4.4 bilion pelaburan asing, ketiga terbesar selepas Kedah dan Selangor, ketika negara masih dalam cengkaman Covid-19.

Tahun ini, Sabah menjangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) kira-kira RM25 bilion.

Pengenalan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah satu lagi faktor besar bagi prospek positif itu. Rangka kerja pelan pembangunannya mempunyai tiga tonggak utama yang disesuaikan dengan iklim sosioekonomi di Sabah sekarang:

  • Pertumbuhan ekonomi yang menumpukan tiga bidang utama di Sabah, iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan;
  • Pembangunan sumber manusia dan kesejahteraan rakyat; serta
  • Rangkaian infrastruktur dan kemampanan hijau.

Antara projek yang dimulakan adalah kilang pembuatan kerajang tembaga bernilai RM10 bilion oleh SK Nexilis Korea Selatan, projek Pembangunan Lok Kawi Resort City bernilai RM7 bilion dan kilang pemprosesan kelapa bersepadu.

Seorang pemerhati perniagaan berkata, gaya Hajiji bekerja tanpa banyak kekecohan atau keriuhan menjadi nilai tambah dalam mempercepatkan pembangunan Sabah.

Mac lalu, Hajiji berkata, beberapa inisiatif dan projek pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dimulakan, dengan harapan “semua kementerian dan jabatan kerajaan akan memastikan hala tuju itu berjaya. SMJ adalah garis panduan untuk kita membangunkan Sabah dan rakyatnya”.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan infrastruktur, pembinaan kapasiti keusahawanan, penerokaan sumber yang mampan, peningkatan pelaburan dan penyertaan syarikat tempatan dalam subsektor strategik.

Hajiji berkata, kejayaan kerajaan negeri menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 7 Dis 2021 akan membantu meningkatkan penyertaan bermakna syarikat negeri dan tempatan dalam industri minyak dan gas.

“Menerusi CCA, Sabah akan mempunyai suara, penyertaan dan perkongsian hasil lebih besar dalam industri minyak dan gas kita. Tidak sampai sebulan dari tarikh CCA ditandatangani, kita dapat melihat hasilnya dengan pelancaran Pelan Induk Gas Sabah pada 4 Jan 2022.”

Bagi memperluaskan sektor perindustrian di negeri ini, Hajiji menubuhkan pasukan petugas yang padu merentasi agensi dan jabatan perkhidmatan awam bagi memberi sokongan serta mengurangkan kerenah birokrasi agar pelaksanaan projek yang dipersetujui dapat disegerakan.

Kerajaan negeri menjangkakan dapat meluaskan peluang pekerjaan dan mengeluarkan lebih ramai rakyat Sabah daripada belenggu kemiskinan melalui pelbagai projek bawah inisiatif SMJ.

Projek pembangunan Lok Kawi Resort City dijangka mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah. Hajiji menjangkakan melalui projek pelancongan sebegini, Sabah akan menjadi destinasi utama di Asia Tenggara dan mengatasi negara jiran seperti Thailand, Indonesia serta Singapura.

Kerajaan negeri berhasrat untuk menggunakan apa yang dapat ditawarkannya – laut, gunung dan hutan hujan, serta kepelbagaian hidupan liar yang kaya – untuk menjadikan Sabah impian pelancong eko.

Hajiji turut memberitahu rakyat Sabah untuk mengharapkan “landskap dan wajah Kota Kinabalu” berubah pada masa akan datang dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

Ini termasuk Waterfront, Star City, The Shore, Sadong Jaya, Coral Bay, Pembangunan Eko Tanjung Aru, Jesselton Quay Central, Harbour City Pavillion, Jesselton101 dan Botanical Garden.

Seorang pemimpin perniagaan berkata, prestasi Hajiji “boleh tahan bagi seseorang yang dilihat oleh skeptik sebagai pemimpin yang tidak celik ekonomi atau tidak berfikiran perniagaan seperti ketua menteri terdahulu.”

Hajiji menceburi politik pada 1990 dan dipilih sebagai ADUN Sulaman atas tiket Usno. Beliau masih memegang kerusi itu.

Berikutan pembubaran Usno, beliau menyertai Umno pada 1994 dan Bersatu pada 2018. Beliau menjadi menteri perumahan dan kerajaan tempatan Sabah dari 2004 hingga 2018. Kini, Hajiji adalah pengerusi Gabungan Rakyat Sabah.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan