
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) boleh merampas semula negeri Selangor dan Kedah daripada kerajaan Pakatan Rakyat (PR), menurut kajian terbaru oleh seorang profesor daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kajian yang dijalankan olah Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali ke atas 10,000 orang yang ditemubual menunjukkan bahawa 65.3 peratus daripada rakyat Selangor berpendapat bahawa pemimpin-pemimpin PR tidak bersefahaman dalam menangani isu.
Sebanyak 66.4 peratus berkata masalah sosial meningkat sejak Pakatan Rakyat mengambil alih.
Lagi 55 peratus berasakan PR tidak dapat menyelesaikan masalah seperti murtad dan masalah berkaitan dengan agama.
Kajian di kawasan seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Dengkil dan Meru menunjukkan bahawa 45.4 peratus akan menyokong BN dalam pilihan raya; 37.3 peratus akan menyokong PR sementara 17.3 lagi tidak pasti.
Sementara itu, di Kedah, 51 peratus daripada rakyat yang ditemubual mengatakan Menteri Besar merupakan seorang yang baik, lapor The Malaysian Insider.
Namun, 63 peratus mengatakan bahawa tidak ada kesefahaman antara kepemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam memerintah Kedah.
Lagi 68 peratus mengatakan kerajaan Kedah tidak cekap dan 80 peratus mengatakan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS tidak mengambil berat mengenai isu persekitaran terutamanya pembalakan.
Sebanyak 58 peratus pula mengatakan bahawa penyelenggaraan infrastruktur yang tidak cekap, sementara 72.8 peratus lagi mengatakan bahawa kerajaan tidak prihatin mengenai isu rakyat.
Selain daripada itu, 69 peratus mengatakan bahawa BN akan menang pilihan raya dengan 37.5 peratus mengatakan bahawa BN akan menang dua pertiga majoriti.
Manakala, 32.1 peratus lagi berkata BN menang majoriti mudah.
Dari segi DUN pula, 54.1 peratus akan dimenangi oleh BN; 14.4 peratus akan dimenangi PAS; manakala 3 peratus lagi akan mengundi PKR.
Dari segi undi Parlimen pula, 57 peratus mengatakan BN akan menang, 20.6 peratus memilih PR sementara itu 22.4 peratus tidak pasti.
Antara sebab mengapa rakyat memilih BN ialah kerana interaksi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui media sosial seperti Twitter dan Facebook, serta dasar-dasar mesra rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan Bidang Keberhasilan Utama Negara.
Post a Comment