oleh Adam Suhaimi
Ketika kehangatan api reformasi tahun 1998, hampir kesemua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikuasai oleh pelajar pro pembangkang dan ia berlanjutan tahun demi tahun.
Ekoran daripada senario tersebut, terdapat desakan di sebelah pihak kerajaan selepas itu untuk mencari kaedah memenangi hati mahasiswa IPTA dan seterusnya menguasai kerusi dalam pilihanraya kampus. Natijah daripada desakan tersebut, beberapa Agensi Kerajaan dan Pergerakan Pemuda UMNO telah ditugas dan diamanahkan untuk merangka strategi dan pelan bagi mendekati semua mahasiswa dan mahasiswi .
Kesan daripada pelan dan strategi yang dirangka, awal tahun 2000 menyaksikan beberapa kepimpinan MPP universiti telah dapat dikuasai oleh pelajar Pro Kerajaan. Sehingga suatu ketika seluruh IPTA Awam dikuasai mahasiswa Pro Kerajaan termasuk universiti yang selama ini menjadi kubu pembangkang seperti UM, UIA, UKM, UTM, USM dan UPM. Hasil daripada penguasaan berpanjangan ini, ia telah dijadikan kayu pengukur untuk mengukur tahap sokongan golongan muda terhadap kerajaan.
Namun realitinya selepas itu pelajar - pelajar pro pembangkang yang tidak dapat lagi memenangi pilihan raya kampus telah bertindak keluar daripada kepompong pilihan raya kampus. Mereka telah mula membantu jentera-jentera pilihan raya parti pembangkang untuk memenangi pilihan raya umum. Melalui pelbagai pertubuhan pelajar dan gabungan seperti GAMIS, kelompok ini secara sulit telah banyak memberi idea dan sokongan kepada pihak Parti Pembangkang.
Hingga banyak menyaksikan suara parti pembangkang dan pertubuhan tersebut seakan senada. Hasilnya, pilihanraya tahun 2008 menyaksikan peratusan pengundi muda yang menyokong kerajaan telah menurun dengan begitu mendadak dan kerajaan pimpinan Barisan Nasional buat kali pertama tidak dapat menguasai 2/3 majorti dalam Parlimen.
Harus disedari asas kekuatan gerakan pembangkang walau didalam kampus ialah kesinambungan. Dengan mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek, walau siapa pun yang dipilih untuk menjadi pemimpin, gerak kerja akan dilakukan dan disambung oleh pimpinan selepas itu. Kekuatan ini menyebabkan kerja-kerja menjatuhkan kerajaan sedia ada giat dilakukan dengan pelbagai cara dengan matlamat yang sama untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Stategi ini bukan sahaja dilaksanakan oleh pihak pembangkang malah kuasa besar seperti Amerika Syarikat juga melaksanakan polisi yang sama. Samada Parti Demokrat yang menguasai Rumah Putih atau pun Parti Republican, pemimpin kedua-dua parti ini akan melaksanakan polisi yang sedia ada dalam strategi yang berbeza.
Dari dahulu hingga kini politik Amerika Syarikat tidak hanya diperintah oleh satu parti. Pada satu masa mungkin Republikan yang berkuasa atau beberapa tahun selepas itu Demokrat yang berkuasa. Tidak kira parti mana yang menguasai Dewan Perwakilan dan menjadi Presiden Amerika didapati dasar luarnya tetap sama iaitu menghancur dan menguasai negara-negara Islam.
Sayangnya di Malaysia khususnya pada sebelah pihak kerajaan, keadaaan seperti ini tidak berlaku, “ibarat ombak menghempas pantai, sekali pantai berubah” polisi yang digariskan pada sesuatu masa seolah hanya laku untuk sesuatu tempoh, apabila bertukar pemimpin maka polisi asal akan berubah. Kesan tiadanya kesinambungan dalam gerak kerja kerajaan ini akan menyebabkan ia memberi implikasi besar dalam usaha untuk menguasai minda golongan muda dan menarik golongan ini memberi sokongan berterusan kepada pihak kerajaan.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merupakan satu institusi penting dalam jentera pentadbiran kerajaan. Dengan limpahan bajet yang besar setiap tahun oleh pihak kerajaan, kementerian ini diharap dapat melahirkan dan membentuk bakal-bakal tenaga profesional dan pemimpin pelapis untuk mengambil alih pentadbiran negara suatu hari nanti.
Lantaran itu, dalam usaha untuk membentuk dan menguruskan pelapis-pelapis muda ini, seharusnya satu dasar serta polisi yang kukuh dan adanya kesinambungan perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Dengan pelaksanaan usaha ini ia akan dapat menjimatkan wang, masa, dan tenaga dalam memastikan golongan sasar ini sentiasa tidak terpesong daripada matlamat kerajaan.
Hasrat kerajaan untuk melahirkan kelompok professional muda yang mempunyai fikiran yang tuntas dan matang daripada segi akademik malah politik hanya mampu direalisasikan jika rangka kerja yang ada kesinambungan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Gerak kerja yang berteruan akan memberi ruang untuk mahasiswa memahami dengan lebih mendalam polisi yang ingin dilaksanakan oleh KPT.

Post a Comment