Oleh Darwis Said
Pilihan raya raya umum (PRU) ke-13 Malaysia harus diadakan sebelum berakhir April tahun depan. Dengan kedua-dua parti yang sedang bersaing -- Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) -- giat mempersiapkan barisan pemimpin dan jenteranya bagi menghadapi PRU itu, kerajaan BN negeri Perak, yang pernah melalui tempoh krisis perlembagaan pada awal 2009, dikatakan bakal menghadapi cabaran genting bagi mengekalkan kuasanya. Apakah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, akur dengan dakwaan itu?
Dr Zambry: Kami sudah lebih bersedia hadapi pilihan raya
BERBEKALKAN prinsip '3P' - iaitu 'Padang, Perasaan dan Penyelesaian' - yang digunakan bagi menangani ehwal dalam negeri, Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, kini berasa yakin bahawa pasukannya dari Barisan Nasional (BN) 'sudah lebih bersedia' menghadapi pilihan raya umum (PRU) 'paling mencabar', mungkin dalam beberapa bulan mendatang.
'Kami sudah lebih bersedia. Kami sudah siap untuk menghadapinya. Sama ada anda suka atau tidak, akan berlaku panggilan kepada pilihan raya,' kata beliau.
Namun, Perak juga menghadapi satu cabaran berbeza berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Ini berikutan suasana politik negeri itu yang melalui satu tempoh pergolakan pada awal 2009 selepas ia berjaya dikuasai oleh satu pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 2008.
Krisis perlembagaan
Satu pakatan parti pembangkang terdiri daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) - kini lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) - berjaya merampas pentadbiran negeri itu daripada BN pada PRU ke-12 pada Mac 2008.
Pemimpin PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, diangkat sebagai menteri besar negeri yang kaya dengan bijih timah itu, walaupun wakil-wakil DAP memenangi lebih banyak kerusi ketika itu.
Pada 3 Februari 2009, BN berjaya menguasai semula pentabiran negeri tersebut apabila tiga Ahli Dewan Undangan Rakyat (Adun) PR secara rasmi 'berpaling tadah' dan menyokong BN sebagai Adun bebas.
Atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, BN berjaya merampas semula kerajaan negeri itu.
Ini mencetuskan krisis perlembagaan setelah keputusan tersebut dipertikaikan pihak pembangkang, yang membawa kes itu ke mahkamah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak yang bertelagah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 11 Mac 2009, memutuskan mengekalkan kuasa pentadbiran negeri itu kepada pakatan pembangkang. Bagaimanapun, sehari selepas itu, Mahkamah Rayuan menggantung keputusan mahkamah tinggi itu, sedang ia menimbangkan semula keputusan tersebut.
Pada 22 Mei 2009, Mahkamah Rayuan menterbalikkan keputusan mahkamah tinggi dan mengembalikan kuasa mentadbir Perak kepada BN.
Persoalannya sekarang: Apakah peristiwa yang mungkin masih terpacak di benak para pengundi yang pernah menyebelahi para pemimpin PR itu bakal menjejas peluang BN pada PRU ke-13, yang harus diadakan sebelum April tahun depan?
Dr Zambry akur bahawa faktor itu mampu menjadi penghalang kepada BN tetapi beliau berpandangan para pengundi sekarang lebih praktikal dalam membuat keputusan, memandangkan pembangunan yang dicapai di negeri itu di bawah naungan BN.
'Memang benar hal itu kalau dilihat dari sudut tertentu. Tetapi, jika anda tanyakan dua pihak politik secara berasingan sudah tentu mereka akan memberikan jawapan berbeza-beza,' kata beliau.
Bagaimanapun, menurutnya, hal penentunya ialah sejauh mana kerajaan sekarang 'dapat menyemai semula tahap keyakinan rakyat' terhadap pentadbirannya.
Dalam hal ini, pertumbuhan dan pembangunan yang dicapai negeri itu di bawah kerajaan BN menjadi faktor penentunya.
'Rakyat akan membandingkan dua bentuk kerajaan yang mereka alami. Yang mana satu lebih boleh dipercayai dan mampu membawa ke arah pembangunan, kemajuan dan perubahan. Faktor ini lebih penting,' tegas Dr Zambry lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui secara eksklusif, Isnin lalu, sejurus sebelum majlis dialog, 'Masa depan Politik Malaysia: Pandangan dari kedua-dua pihak bersaingan', anjuran KRA Group, di sini.
Ia sebahagian daripada dua sesi forum yang mengetengahkan pandangan para pemimpin Malaysia - daripada BN dan PR - yang semakin menonjol akhir-akhir ini.
Beliau salah seorang daripada empat anggota panel dialog tersebut, yang turut membabitkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan negara itu, Senator Gan Ping Sieu, dan anggota senat kerajaan Malaysia, Senator Subramaniam Veruthasalam.
Trend sokongan pengundi
Bagi menyokong pandangannya itu, Dr Zambry berkata, para pengundi Melayu Perak kini 60 peratus berpihak kepada BN-Umno.
Ini berbanding pengundi Cina, yang dianggarkan masih 90 peratus menyokong PR, khususnya kepada DAP.
Namun, Dr Zambry menyanggah pandangan mengenai pengundi Cina itu. Ini memandangkan perubahan trend sokongan semua golongan pengundi sejak BN mengambil alih kuasa daripada kerajaan negeri PR pada Februari 2009.
Dr Zambry berkata beliau gembira dengan trend pengundian penduduk Perak sejak itu, bukan sahaja di kalangan kaum Melayu, malah juga kaum lain.
Menurutnya, peratusan pengundi Melayu yang menyokong BN-Umno terus meningkat, manakala kenaikan peratusan pengundi India yang menyokong parti memerintah itu semakin bertambah.
'Bagi pengundi Cina, anda tidak boleh katakan mereka masih menunjukkan corak pengundian memihak kepada pemimpin Cina dan memberi sokongan rendah kepada BN.
'Ini kerana pengundi Cina semakin praktikal dan rasional dalam analisis mereka, dan saya boleh melihat peralihan lebih positif dari segi sokongan mereka terhadap BN,' jelasnya.
Tanpa membutirkan perangkaan trend itu, beliau berkata pengundi Cina di Perak tidak bersifat perkauman, malah ada beberapa daerah pengundi Cina di sana yang bersedia menerima pemimpin bangsa lain.
Punca perubahan
Namun, apakah yang menyebabkan perubahan trend itu?
Jawab Dr Zambry, ia mungkin berkaitan dengan usaha kerajaan negeri melaksanakan prinsip 3P-nya.
Menurutnya, pemimpin kerajaannya digalak turun padang menemui rakyat, memahami dan menyelami sendiri perasaan dan kegelisahan mereka, serta berusaha menyelesaikan masalah mereka dengan cekap.
'Sepanjang tiga tahun lalu kami melaksanakan perubahan. Kami mengenal pasti daerah-daerah untuk diperbaiki dan kelemahan-kelemahan yang ada. Kami cuba melaksanakan janji-janji yang masih belum dikotai sejauh ini.
'Cara terbaiknya ialah dengan mengubah budaya kerja kami. Jika dulu, anda hanya berada di pejabat (dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat), kini keseluruhan jentera kerajaan harus turun padang dan menangani secara langsung masalah rakyat.
'Hasilnya, rakyat memberi sambutan positif dan, berdasarkan pada sokongan serta gerak isyarat mereka kepada BN, kami dapat melihat mereka semakin condong menyokong BN,' jelas Dr Zambry.
Dalam hal ini, menurutnya, cabaran gentingnya ialah mengubah budaya kerja setiap sektor kerajaan - khususnya dengan meningkatkan keupayaan sektor itu supaya berfungsi dengan lebih cekap lagi.
'Bagi Perak, juga di seluruh negara, harus ada usaha serius melihat ke arah isu-isu pembangunan, mengubah struktur beberapa jentera kerajaan, seperti bagaimana sektor pentadbiran menjalankan tugasnya.
'Ini satu daerah yang mana kami mempunyai ruang untuk mengubah, yang telah kami lakukan sejak dua tiga tahun lalu,' kata Dr Zambry sambil merujuk kepada prinsip 3P-nya.
Memberi contoh, Dr Zambry berkata rakyat mahu masalah dan urusan mereka didengar, ditangani dan diselesaikan kerajaan dengan cekap.
'Mereka faham, ia memakan masa bagi menyelesaikan beberapa hal tetapi mereka mahukan kerajaan lebih responsif dan mengambil berat terhadap maklum balas akar umbi. Apa saja aplikasi, aduan atau masalah yang dihadapi mereka harus turut ditangani. Itu salah satu caranya,' jelasnya, sambil menekankan perlunya ada kerajaan yang lebih terbuka dan berorientasikan rakyat tanpa mengira status sosialnya.
Ditanya apakah pendekatan itu bermakna BN Perak perlu memperkenalkan calon-calon pemimpin baru yang lebih dinamik, Dr Zambry mengangguk penuh yakin.
'Dalam apa saja agenda transformasi kita harus memperkenalkan perubahan menyeluruh. Perubahan tidak hanya bermakna perubahan pada stail, malah mereka (para pemimpin, ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri) yang tidak efektif harus turut ditangani.
'Tidak dapat dielakkan, dalam apa saja pilihan raya, anda harus memperkenalkan beberapa perubahan, muka-muka baru,' katanya sambil menegaskan bahawa pihaknya sudah pun mengenal pasti dan mengusulkan beberapa 'muka baru' kepada kepimpinan pusat BN bagi PRU akan datang.
Isu NFC
Ditanya apakah skandal National Feedlot Corporation (NFC) milik keluarga Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang menguruskan Pusat Fidlot Nasional (PFN) turut menjadi isu utama di Perak, Dr Zambry menegaskan ia sebenarnya satu 'isu nasional'.
'Sememangnya isu nasional boleh mempengaruhi negeri kerana kami di bawah satu parti (BN). Bagaimanapun, ada isu lain yang lebih penting yang perlu kami tangani pada peringkat negeri,' ujar beliau.
'Jadi, saya tidak melihat isu NFC dengan sendirinya menjadi penghalang kepada kami mendapatkan keputusan lebih baik kali ini,' tegasnya.
Isu Lynas dan Felda
Bagaimana pula dengan isu Lynas dan penyenaraian Felda?
Dr Zambry berkata isu Lynas amat menarik kerana di kalangan pihak pembangkang pun ada pandangan berbelah bahagi.
'Dalam erti kata lain, ia bukannya satu isu awam yang besar kerana ia sengaja dipermainkan sesetengah pihak atas sebab-sebab politik. Memang benar, kita tidak boleh mengabaikan sahaja isu ini tetapi kita harus hadapinya dengan cara lebih rasional dan inilah cara yang dilakukan kerajaan sekarang,' jelasnya.
Dr Zambry berkata itu sebabnya beliau menolak tawaran untuk memulakan operasi loji nadir bumi kendalian sebuah syarikat asing di Perak, baru-baru ini, kerana satu kajian kemungkinan yang dijalankan sebelum ini menunjukkan bahawa ia bukan satu tawaran yang rasional di negeri itu.
Menyentuh isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) pula, Dr Zambry berkata penduduk luar bandar di Perak tidak begitu bimbang mengenai hal itu kerana mereka sedar apa yang mahu dilakukan kerajaan untuk generasi masa depan.
'Tidak boleh dinafikan memang ada keraguan di kalangan rakyat. Tetapi ini kesan proses demokratik - ada yang bimbang dan menentang usul kerajaan, namun akhirnya mereka sedar ia bertujuan membantu dan membawa manfaat kepada mereka,' katanya.
Bagaimanapun, Dr Zambry akur harus diadakan usaha perhubungan awam meluas agar isu tersebut diberi penerangan dengan jelas kepada rakyat, khususnya peneroka Felda, selain mengakui bahawa kerajaan masih kurang melakukan usaha demikian.
Kuasa ketiga
Beralih kepada potensi pengaruh 'kuasa ketiga' terhadap pengundi pada PRU ke-13, beliau berkata ia satu fenomena baru sejak 2008, iaitu persatuan dan pertubuhan bukan milik kerajaan (NGO) bebas, yang banyak mempengaruhi pemikiran rakyat.
'Kita tidak boleh mengetepikan pertubuhan ini. Saya fikir kita harus menjalin hubungan dengan mereka, berbincang, untuk menjadikan mereka sebahagian daripada formula kemenangan kita,' katanya sambil menambah bahawa Malaysia kini menghadapi satu budaya politik baru.
'Sejauh ini, kita ada kerajaan dan pembangkang. Kini, suara kuasa ketiga semakin lantang. Itu sebabnya apabila saya menjadi Menteri Besar Perak, saya segera membentuk sebuah kumpulan yang kami namakan Majlis Masyarakat Sivil,' dedah beliau.
Majlis tersebut dibentuk oleh kerajaan negeri Perak dan terdiri daripada anggota pertubuhan bebas pelbagai latar belakang.
'Mereka memberi maklum balas dan menasihati kami, serta menjadi sebahagian proses membuat keputusan,' tegasnya.
'Contohnya, mereka terlibat dallam menyediakan belanjawan negeri. Ia tidak pernah dilakukan sebelumnya, mendapatkan pandangan orang luar, mendengar apa yang mereka mahukan atau jangkakan daripada kerajaan. Sebelum menyiapkan bajet, kami duduk bersama mereka, mendengar apa mereka mahu dan usulkan,' jelas beliau.
Menurutnya, kumpulan itu bebas menyuarakan pandangannya secara kritikal kepada kerajaan Perak dan pihaknya turut membabitkan mereka dalam program sosial dan ekonominya.
Lantas, apakah ramalan beliau bagi Perak pada PRU mendatang?
Dr Zambry tersenyum sambil berkata BN berupaya mengekalkan kuasanya.
'Tiada keraguan, walaupun kami sudah menjelaskan kepada anggota parti bahawa pilihan raya ini adalah paling mencabar, suka atau tidak, kita tidak boleh berundur. Ia satu proses demokrasi. Ia tidak boleh dielakkan. Kita harus memasuki zon perang. Yang penting, kita sudah bersedia,' ujarnya.
Pandangan umum pula menyatakan BN punya peluang 50-50 bagi mengekalkan Perak.
Sekilas mengenai Perak
Demografi
Kadar pertumbuhan penduduk: 0.4 peratus setahun.
Politik
Perak dibahagikan kepada 10 daerah pentadbiran: Kinta; Larut dan Matang; Manjung; Hilir Perak; Kerian; Batang Padang; Kuala Kangsar; Perak Tengah; Hulu Perak; dan Kampar.
Ekonomi

Post a Comment