Home » » Ikhwan Mesir dan Pilihanraya Presiden Mesir

Ikhwan Mesir dan Pilihanraya Presiden Mesir

Oleh Nahar Azmi Mahmud


PENGARUH Ikhwanul Muslim (Persaudaran Islam) melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) kian mekar di Mesir.
Setelah menguasai parlimen Mesir, Ikhwan bercadang mengutarakan calon presidennya, Khairat al- Shater, seorang peniaga jutawan dan pembiaya utama gerakannya.
Pilihan raya presiden Mesir akan diadakan pada 23 Mei.

Mengapakah Ikhwan bertukar haluan kerana sebelum ini ia menegaskan bahawa ia tidak akan menguasai kededua parlimen dan teraju presiden eksekutif,
Hal ini kerana Majlis Tertinggi Tentera yang menguasai Mesir telah menampilkan perdana menteri pilihannya, Encik Kamal al-Ganzuri, seorang menteri yang pernah bertugas dalam zaman rejim Hosni Mubarak dan pernah dituduh oleh gerakan Islam sebagai cuba membantutkan revolusi rakyat Mesir.

Mesir masih dilanda kebencian rakyat kerana Majlis Tertinggi Tentera masih melambat-lambatkan perbicaraan Mubarak yang disingkirkan daripada teraju pada Mac tahun lalu. Sejak itu, pilihan raya parlimen telah dianjurkan, namun tentera masih lagi menegaskan kuasanya.
Selain Ikhwan, sebuah gerakan Islam Salafi melalui Parti An-Nur mempunyai suku daripada kerusi Parlimen Mesir.
Kebangkitan gerakan Islam memang telah lama dijangka dan dijadikan alasan oleh tentera untuk enggan 'balik ke berek'.
Tentera Mesir cuba meyakinkan pihak Barat, terutama Amerika Syarikat, yang menyumbangkan sekitar AS$2 bilion ($2.5 bilion) setahun, bahawa Mesir akan terus akur dengan perjanjian zaman Mubarak, termasuk hubungannya dengan Israel.

Sebelum ini FJP gagal mencari beberapa orang tokoh politik di luar parti itu supaya bertanding dalam pilihan raya presiden kelak.
Pilihan raya presiden dianggap terpenting kerana Majlis Tertinggi Tentera dijangka menyerahkan kuasa kepada seorang presiden yang dipilih rakyat secara bebas dan demokratik.
Majlis Syura FJP yang bertanggungjawab memutuskan dasar- dasar penting untuk masa depannya dijangka membincangkan isu berkenaan minggu ini. Hal ini telah dijelaskan Setiausaha Agung pertubuhan itu, Encik Mahmoud Hussein, kepada para wartawan.

Sebelum ini, Ikhwan menyatakan bahawa ia enggan mengemukakan sebarang calon dalam pilihan raya presiden Mesir akan datang demi mengelakkan polarisasi akibat penguasaan penuhnya di parlimen dan persada presiden kelak.
Memang jelas bahawa sebarang calon yang dikemukakan parti itu selepas kejayaannya meraih separuh kerusi parlimen dalam pilihan raya lalu tentu mengkhuatirkan rakyat mengenai zaman kuasa autoritarian (kuku besi) ala zaman Mubarak, menurut Rabab al-Mahdi, mahaguru sains politik di American University di Kahirah. Mentelah kemungkinan Encik Al-Shater tampak jelas dan mungkin menguntungkan golongan peniaga iaitu golongan elit kedua selepas tentera yang menguasai Mesir.
Encik Abdel Moneim Aboul Fotouh, seorang pemimpin kanan FJP yang dipecat daripada jawatannya tidak lama dulu, turut kembali menjadi calon presiden.
Namun, ada kalangan pengamat politik yang percaya bahawa FJP harus menunjukkan kemampuannya yang lebih matang sekiranya calonnya terpilih lagi.

Ikhwan diasaskan dalam 1920-an oleh Hassan Al-Bana. Ia pernah bekerjasama dengan Gamal Abdel Nasser untuk menggulingkan Raja Farouk. Namun, Nasser kemudian memusuhi Ikhwan sehingga banyak anggotanya, termasuk wanita, diazab dan meringkuk dalam penjara. Daripada Ikhwan, muncul beberapa gerakan serpihan yang militan.
Walaupun dilarang atau diharamkan, ternyata Ikhwan terus aktif dalam gerakan akar umbi. Bantuan kemanusiaannya sering tiba dahulu berbanding bantuan pemerintah ke kawasan rawan. Hasilnya, Ikhwan terus popular.
Bagaimanapun, menurut para pengamat, sokongan kepada FJP dalam pilihan raya presiden kelak mungkin tidak sebesar undi yang diterimanya dalam pilihan raya umum yang lalu.

Pilihan raya presiden Mesir akan datang tidak sama dengan pilihan raya umum yang lalu. Dalam pilihan raya presiden, rakyat dikatakan mempunyai lebih banyak pilihan bagi memilih sorang presiden baru yang dapat berjuang untuk membela nasib masa depan rakyat. Tambahan pula presiden ini kelak yang akan mewarisi kuasa dari tentera.
Buat masa ini, ada beberapa calon terkemuka yang akan muncul bertanding seperti Encik Amr Moussa, mantan menteri luar dalam pentadbiran Mubarak. Walaupun beliau tidak disukai para pejuang politik masa kini, beliau dikatakan masih popular di kalangan rakyat.
Calon Salafi ialah Encik Hazem Abu Ismail, yang gigih menampilkan model ala Saudi bagi Muslim Mesir. Namun peluangnya tampak tipis.

Begitu juga dengan calon daripada golongan kiri, Encik Hamdin Sabahi, tokoh penting dalam gerakan revolusi Mesir kini dan merupakan pengkritik lantang rejim Mubarak.
Juga akan bertanding ialah Encik Omar Soliman, yang menjadi naib presiden semasa Mubarak berkuasa dulu dan mantan ketua risik negara Mesir, Encik Ahmed Shafiq, yang disokong tentera.
Dengan begitu ramai calon yang akan bertarung dalam pilihan raya presiden kelak, tiada sebarang parti politik yang berani mendabik dada dan mendakwa mereka saja yang ada pengaruh untuk menentukan calon mana yang harus disokong.

Mesir seluas 1.6 juta km persegi dengan penduduk 82 juta jiwa iaitu yang terbesar di Timur Tengah dan Dunia Arab. Pengaruhnya dari segi Islam dan budaya Arab amat besar. Oleh itu, apa jua perkembangan di Mesir akan mempunyai kesan ke atas Dunia Arab, termasuk soal masa depan Palestin.  CY.
Share this article :

Post a Comment