Home » » Mampukah tindakan Sharizat pulihkan keyakinan kepada BN?

Mampukah tindakan Sharizat pulihkan keyakinan kepada BN?


AKHIRNYA Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berundur pada 8 April ini. Apakah tindakannya sempat menyelamatkan imej perikatan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia, terutama parti tunjangnya, Umno? Anehnya, beliau masih lagi Ketua Wanita Umno sedang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat salah guna dana kerajaan oleh National Feedlot Corporation (NFC) yang diuruskan keluarganya.

Malaysia berada di anak tangga ke-60 dari segi amalan rasuah menurut Transparency International. Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil alih teraju pada 2009 iaitu selepas BN pimpinan pendahulunya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kehilangan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen semasa pilihan raya umum 2008. Antara lain, Datuk Najib berikrar membasmi rasuah sebagai strategi memenangi semula hati pengundi. Namun, banyak kes rasuah melibatkan para pemimpin BN dengan kes NFC dianggap paling menjolok mata. Ertinya, peluang Datuk Najib memperkasa BN sukar kesampaian. Tinjauan Merdeka Centre, sebuah badan bebas yang menilai tanggapan rakyat, mendapati BN masih belum ampuh untuk meraih keyakinan rakyat Malaysia.

Banyak lagi kes rasuah yang belum dapat dibereskan oleh SPRM. Ini termasuk kes yang melibatkan peruntukan pembangunan berbilion ringgit Port Klang oleh mantan menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik. Dan hakikat bahawa Datuk Shahrizat masih terus menerajui Ketua Wanita Umno menimbulkan banyak tanda tanya.
Dengan suasana ke arah pilihan raya umum kian terasa di Malaysia, jentera BN perlu diperkasa, termasuk menghentikan politik wang. Baru-baru ini, PM Najib telah memohon maaf atas keterlanjuran pihaknya dalam rangka memenangi semula para pengundi di Kedah yang kini di tangan pembangkang.

Tentulah BN perlu membuktikan prestasinya untuk kembali 'mengabdi' kepada rakyat sebagaimana dipaparkan oleh para pemimpin pengasasnya sejak zaman awal merdeka. Kepimpinan yang baik menuntut bukan saja amalan bersih rasuah dan cekap, bahkan akhlak pemimpin yang peka dan sanggup berkorban untuk rakyat. PM Najib tentu menyedari hakikat ini dan mahu terus membuktikannya.
-Cyberita
Share this article :

Post a Comment