Bahang usaha merebut Selangor pada pilihan raya umum akan datang semakin memuncak apabila ketua pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, cuba menawan negeri itu bagi Barisan Nasional (BN).
Beliau turut menolak andaian BN, perikatan yang menerajui kerajaan Malaysia sekarang, adalah satu ancaman bagi Pakatan Rakyat (PR) pimpinannya, menurut laporan sebuah media setempat semalam.
Datuk Seri Anwar, yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), memberitahu kira-kira 5,000 penyokong PR di sini malam kelmarin masanya telah tiba bagi 'melancarkan perang' terhadap Umno-BN kerana pilihan raya semakin hampir.
'Najib kata dia mahu ambil alih Selangor, cerita apa ni? Dia nak ambil Selangor? Kita nak tawan Putrajaya!' kata Datuk Seri Anwar, diikuti sorakan daripada penyokongnya, lapor laman berita The Malaysian Insider.
Ketua pembangkang itu berkata sebab utama Datuk Seri Najib tidak boleh memenangi Selangor ialah barisan pemimpin BN mengamalkan dan memupuk budaya kronisme dan rasuah.
Datuk Seri Anwar tidak membuang masa dalam melancarkan kecaman terhadap Datuk Seri Najib serta mempersoal langkah beliau tidak mahu mengambil tindakan tegas terhadap ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berhubung skandal Pusat Fidlot Nasional (PFN).
'Pemimpin PR di Selangor, negeri-negeri kami bersih, bukan kotor, dan pemimpin kami bukan perompak,' ujar Datuk Seri Anwar sambil memberi amaran kepada Datuk Seri Najib supaya jangan menggunakan media bagi membuat serangan peribadi.
'Saya mesti beri dia amaran, serang ikut undang-undang, kerajaan yang baik, dan bukan serangan peribadi. Saya telah terlalu lama menjadi mangsa,' katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar semalam memfailkan saman fitnah RM100 juta ($41 juta) terhadap Datuk S. Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Bhd atas dakwaan mereka mengaitkan beliau dengan aktiviti biseksual.
Satu laporan akhbar Utusan Malaysia semalam memetik Datuk Seri Najib sebagai berkata beliau yakin terhadap sokongan rakyat di Selangor, yang didapatinya semakin memuncak kepada BN menjelang pilihan raya ke-13 ini.
Beliau berkata angin perubahan sokongan itu terhasil kerana BN sentiasa mengotakan segala janji, khususnya kepada golongan memerlukan dan pelbagai lapisan masyarakat lain, melalui pelbagai program transformasi kerajaan.
Selain itu, katanya, angin perubahan sokongan itu turut didorong kegagalan pembangkang mengotakan janji yang dibuat mereka pada pilihan raya umum lalu, sambil menekankan BN mesti memenangi semula Selangor 'tanpa mengira apa pun yang berlaku'.

Post a Comment