Header Ads

ads header

Flash News

Kuala Besut dan Politik Puasa / tumpang picture

Oleh Ismail Hashim Yahaya

Berpuasa, menolak godaan kebencian, kebiadaban, keserakahan dan bujuk rayu fantasi maya yang libido itu harus membawa umat Islam ke arah pensucian dan permurnian diri. Oleh itulah Ramadan dinamai bulan yang suci lagi mulia.

Mungkin semasa rencana ditulis pilihan raya kecil di Kuala Besut, Terengganu sudah diketahui rakyat Malaysia keputusannya. Tetapi apa yang penting ia berlaku ketika umat Islam sedang mengerjakan ibadah berpuasa

Maka di tengah bulan Ramadan yang sakral ini, kita menyaksikan karnival politik pemilihan adun dewan undangan negeri yang baru.

Persoalannya sejauh manakah dalam bulan yang mulia ini perlakuan seperti mengumpat, memfitnah, memanipulasi dan bertikam lidah dapat dielak atau setidak-tidaknya dikawal untuk memenuhi keinginan tidak terhingga iaitu berkuasa.

Kekuasaan dibeli dengan harga mahal dan dijadikan alat untuk berlaku `manuevering’. Label pemimpin direngkuh dengan berbagai strategi manipulasi. Sepanduk dan poster memuatkan gambar calon yang membanjiri Bandar Kuala Besut.

Kita risau jika nilai-nilai negatif diamalkan ia merupakan petanda degradasi budaya politik bangsa pada tahap terendah iaitu dari situasi "politik kemanusiaan" ke arah "politik kebintangan".

Nilai-nilai kemanusiaan yang menghargai kebaikan, keutamaan, nalar, kasih sayang, cinta, empati, kejujuran dan tanggung jawab; diambil alih naluri kebinatangan yang merayakan nafsu, kepuasan, keserakahan, kebendaan, kekuasaan, kebiadaban dan ketiadaan nalar.
Ketika sifat-sifat kebintangan menguasai perilaku politik, cara kerja politik juga diasaskan kepada prinsip kebinatangan itu sendiri.
Prinsip-prinsip dasar dunia "binatang" kini jadi prinsip-prinsip dasar yang membangun politik demokrasi kita: perasuah, elit parti, pengumpan wang, pengejar kekuasaan, pemodal, pemangsa dan mangsa yang biasa ialah rakyat.

Inilah dia politik puasa yang diwajipkan bagi umat Islam untuk mengatasi dan menguasai nafsu kebinatangan ini dan diisikan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keadaban.

Secara ideal, Allah meminta hamba-Nya untuk tidak bermain sebelah mata dengan-Nya. Jika iman telah dipilih dengan mantap, hadapkanlah seluruh wajah itu kepada Allah dengan penuh rasa cinta dan pasrah, sebuah sikap yang dirasakan tidak mudah untuk dilaksanakan tetapi jika berusaha dengan ikhlas akan lancarkan dilakukan

Dalam Al Quran terbaca pernyataan ini: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama [Allah]; [tetaplah berada] atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" (surat Al-Rûm, ayat 30).

Politik puasa ialah mengingatkan ahli politik untuk mengembalikan politik atau kuasa sebagai sarana untuk memperbaiki kehidupan manusia, bangsa, dan negara.

Dari sisi keagamaan, berpolitik selama Ramadan itu justru bertentangan dengan semangat puasa itu sendiri. Ibadah ini merupakan sarana pelatihan umat Islam untuk menahan diri dari makan, minum, berbohong, dan menekankan kekhusyukan dan kesederhanaan. Sementara itu pencitraan politik justru menjual kepalsuan (ketidakjujuran) serta merayakan kemegahan diri sendiri.

Dalam situasi ini, orang awam diharapkan semakin sedar dengan manipulasi citra politik. Sepanduk-sepanduk, banner dan poster-poster selama Ramadan hendaknya diterbitkan dengan kritis dan cerdas dan tidak menampilkan citra yang palsu. Kita tidak mahu hakikat sejati tersembunyi di balik apa yang dipertontonkan.

Sewajarnya dalam bulan yang mulia ini, kekuasaan dan kepemimpinan bagi memenangi hati rakyat hanya dapat diraih melalui kesederhanaan, ketulusan dan kejujuran dalam berpuasa.

Apa yang penting sejauh manakah hubungan vertikal dan horizontal ini berlaku. Vertikal dalam hubungan dengan rakyat dan horizontal dalam hubunganya dengan Tuhan.

Secara vertikal, kualiti puasa akan menekan hubungan kekhalifahan seseorang di mata Tuhan. Nabi Yusor a.s berkata: "Aku tidak dapat membiarkan perutku kenyang," "Ketika perutku kenyang, aku tidak dapat mendengar suara perut rakyatku yang lapar." Inilah politik puasa.

Capaian prestasi vertikal itu akan membawa kepada hubungan akrab anatara pemimpin dan rakyat.
Secara horizontal, kesederhanaan, ketulusan dan kejujuran berpuasa menjadi derajat kenaikan yang kembali ke kehidupan nyata dengan mengingati Tuhan dalam segenap kehidupan.

Sirah para nabi dan kisah para pemimpin agung Islam di setiap perjalanan sejarah menyebutkan hal itu. Bagi kita, pemimpin yang sederhana, tulus dan jujur adalah mereka yang dirindui selepas memenangi pilihan raya kecil nanti.


..................
Penulis adalah Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel), Kampus Shah Alam. 


......
TUMPANG PICTURE
















































Tiada ulasan