Header Ads

ads header

Flash News

Cabaran awal kerajaan PH


“Saya perlu berurusan dengan presiden empat parti dan ini tentu memeningkan,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhbarnya pada dinihari 10 Mei yang menyaksikan tewasnya Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sesungguhnya memang itulah realiti baru bagi negara. Sejarah baru tercatat dalam politik Malaysia apabila pihak pembangkang akhirnya beralih tempat duduk dalam Dewan Rakyat sebagai kerajaan baru.

Perkembangan ini mengakhiri monopoli kuasa Barisan Nasional di peringkat kerajaan pusat sejak 61 tahun lalu.

Bagaimanapun Dr Mahathir memahami bahawa cabaran yang akan dihadapi kerajaan baru yang akan dipimpinnya berbanding pengalaman beliau memimpin Umno-BN sebelum ini.

BN mempunyai parti komponen yang dominan iaitu Umno. Justeru agak mudah untuk beliau membuat keputusan. Sebaliknya PH berteraskan konsep kepimpinan konsensus tanpa kira saiz parti anggotanya. Soal sensitiviti setiap parti perlu diambil berat.

Tambahan pula ia mempunyai anggota parti yang bersifat ideological iaitu Amanah. Parti serpihan PAS itu sejak mula penubuhannya bertekad menjadi parti Islam untuk menggantikan PAS.

Adakah Amanah yang mempunyai sumbangan kecil pada total kerusi parlimen Pakatan Harapan akan banyak membuat desakan seperti PAS ketika zaman BN awal-awal ditubuhkan dahulu?

PH juga sudah menambah bilangan komponennya meliputi parti Warisan dari Sabah yang menokok 8 lagi kerusi Parlimen. Ini belum mengira satu lagi kerusi UPKO serta tiga ahli Parlimen Bebas.

Namun ini nampaknya tidak sedikitpun menggusarkan Dr Mahathir kerana pengalaman luasnya memimpin BN yang lebih majmuk apabila mengambil kira politik kepentingan Sabah dan Sarawak.

Lantaran itu, adalah menarik untuk memerhatikan bentuk dan komposisi kabinet pertama Dr Mahathir yang dijanjikan oleh PH lebih “langsing dan terarah” sebelum PRU baru lalu selepas mengangkat sumpah petang Khamis ini.

Pada keseluruhannya PH kini memasuki era bekerja dan kurang bercakap demi mewujudkan sebuah negara yang ditadbir berpaksikan semangat dan syarat undang-undang. Kini soal kesetiakawanan dan wala’ setiap komponen PH akan teruji.

Aspirasi rakyat ialah soal tawar-menawar politik ini haruslah diselesaikan segera agar impian mereka mahu kerajaan baru yang mampu menguruskan negara secara lebih berkesan dapat dicapai segera.

ZAINAL SALEH



......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

Tiada ulasan