Kisah para anbiya' bukan kisah nostalgia
Itulah yang terlintas apabila mendengar bacaan imam pada malam-malam Ramadhan mengenai silsilah perjuangan para anbiya'.
Silsilah yang berkesinambungan, mempunyai plot-plot yang berbeza, watak yang berbeza, namun temanya tetap sama. Tema risalah, perjuangan menegakkan tauhid, bukan semata-mata permasalahan sosial dan ekonomi semasa, sebaliknya mengembalikan manusia kepada Tuhannya, agar beroleh kebahagian di dunia dan akhirat.
Al-Quran tidak akan menceritakan kita satu perkara yang hanya menjadi halwa telinga dan berlalu begitu sahaja. Ia adalah panduan, petunjuk, pedoman, dari awal-awal ia turun hingga akhir zaman.
Sepertimana ia dijadikan sebagai 'penghibur' (tasliyah) dan pengubat buat Nabi SAW dan para sahabat RA, ia juga sebagai satu manual utama bagi mereka dalam mengharungi kehidupan sehari-harian dalam perjalanan menegakkan risalah yang panjang ini.
Kisah-kisah para anbiya' yang dihimpunkan dalam Al-Quran adalah sebaik-baik kisah. Ia diterjemahkan dan dikisahkan kepada manusia dalam bentuk yang pelbagai.
Ada yang berbentuk kisah detail sejak nabi AS kecil hingga ke besar (seperti kisah Musa AS bermula daripada ketika baginda AS bayi, bagaimana beliau berkahwin, mendapat wahyu di bukit Tursina, hinggalah tenggelamnya Firaun, dan hinggalah kisah menyayat hati bagaimana Musa AS ditolak mentah-mentah oleh kaumnya sendiri untuk memasuki Baitul Maqdis kerana sifat mereka yang malas & pengecut (surah Al-Maidah). Diriwayatkan bahawa Nabi Musa AS wafat ketika Bani Israel sesat di padang pasir kerana tidak dapat memasuki bumi Palestin (sesat).
Ada yang berbentuk kisah bagaimana nabi AS mula-mula mendapat wahyu, seperti kisah Nabi Ibrahim AS, yang bermula dengan dialog baginda dengan ayahnya (ada riwayat mengatakan itu pakciknya), kemudian kisah baginda melihat bintang, bulan dan matahari untuk membuktikan kewujudan Tuhan, diteruskan pula dengan kisah baginda AS berhujjah dengan kaumnya hingga dibakar, dan diusir daripada kaumnya sendiri. Di tengah-tengah surah pula tiba-tiba dibawa pula kisah malaikat yang memberi khabar gembira bahawa Nabi Ibrahim akan mendapat anak daripada isterinya yang mandul dan telah tua (anaknya itu adalah Nabi Ishak daripada isterinya Siti Sarah).
Ada pula kisah yang agak sentimental bagaimana para anbiya' yang diuji oleh Allah SWT dengan ujian-ujian hidup, bagaimana mereka berinteraksi dengan masalah kehidupan, dan menyandarkan segala daya dan upaya kepada Tuhan, lalu Tuhan menjawab dengan cara-Nya tersendiri, seperti kisah Nabi Zakariya, dan Nabi Ayyub.
Ada juga kisah yang detail yang menggambarkan ruhaniyat seorang nabi yang cukup tinggi tawakkalnya dan kewarakannya, dalam menghadapi fitnah wanita dan segala ujian yang berlaku dalam hidupnya, seperti kisah Nabi Yusuf AS hingga dikhususkan satu surah untuk menceritakan secara detailnya kisah tersebut.
Tetapi kebanyakannya adalah kisah umum para anbiya', dimulakan dengan wahyu, kemudian seruan berdakwah dengan hujjah yang jelas, lalu penentangan kaumnya, dibawakan pula mukjizat sebagai bukti kebenaran risalah, lalu ditentang dan akhirnya kaumnya itu dibinasakan. Ini adalah yang terjadi pada kebanyakan kisah para anbiya' di dalam Al-Quran, seperti kisah Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Syuaib, Nabi Lut, Nabi Ilyas, dan selain mereka.
Apa yang saya cuba bawakan adalah, para anbiya' AS adalah manusia seperti kita. Mereka adalah manusia yang berkahwin, beranak pinak, ditimpa masalah-masalah kehidupan, dan juga mempunyai perasaan seperti manusia biasa.
Mereka dipilih oleh Allah SWT agar menjadi contoh dan panduan kepada manusia, bagaimana sepatutnya mereka hidup, bagaimana sepatutnya mereka berinteraksi, dan bagaimana sepatutnya mereka perjuangkan, walau apa jua yang berlaku.
Walau apa jua yang berlaku, mereka tidak berpaling daripada melakukan kewajipan menjunjung risalah, dan melengkapkan kitaran kehidupan ini dengan sandaran tauhid dan perjuangan. Setiap yang kita lalui dalam hidup ini, semuanya pernah dilalui oleh para anbiya' sebelum ini. Kisah-kisah mereka disimpan kekal sebagai panduan (Dan Kami tinggalkan/kekalkan kisahnya itu hinggalah ke golongan yang terakhir - surah As-Saaffaat)
Itulah cermin yang sepatutnya kita guna, dalam melakukan muhasabah dan refleksi kita pada hari-hari Ramadhan yang semakin hari semakin cepat ia berlalu.
Ya, kita mungkin tidak dapat jadi seperti mereka kerana mereka adalah sebaik-baik manusia. Paling kurang kita cuba renungi diri kita, dan cuba latari kehidupan kita dengan rangka kehidupan mereka. Kelak mana tahu, mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama para anbiya' di akhirat sana.
"Sesungguhnya seseorang itu akan dihimpunkan bersama dengan orang yang dicintainya" - Hadis Nabi SAW
Masih belum terlambat, untuk kita mengisi kriteria sebaik-baik umat.
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan secara penuh keimanan dan pengharapan ganjaran, akan diampunkan dosanya yang telah lalu" - Hadis Nabi SAW
Ustaz Syamil Esa
Wallahua'lam.
......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat
in sha allah...aaaminnn
BalasPadam