Header Ads

ads header

Flash News

PAS dilabel 'Parti Lebai', tapi PH kontang idea


Setelah PRU ke-14 melabuhkan tirai, BN telah pun tumbang di peringkat Persekutuan dan di kebanyakan negeri. PH telah mengambil alih tempat BN sebagai Kerajaan Pusat dan kebanyakan Kerajaan Negeri.

Ringkasnya, PAS pula hanya berjaya menubuhkan dua buah Kerajaan Negeri sahaja. Sekalipun pencapaian itu amat diraikan di dalam siri-siri PRU yang lalu, namun pada PRU ke-14, pencapaian itu dikelamkan oleh sinar kemenangan luar biasa PH ke Putrajaya.

Lantaran pencapaian yang tidak seberapa itu jika dibandingkan dengan pencapaian luar biasa PH, PAS terus dikecam oleh penyokong PH dan golongan yang cuba mengampu Kerajaan baru PH di media sosial, dengan cara yang kita tidak nampak bilakah ia akan berakhir.

Bahkan mutakhir ini, semakin ramai yang mahu membuktikan kesetiaan mereka kepada PH dengan cara memburukkan PAS.

Label negatif daripada dua agamawan

Dua tokoh agamawan yang dikenali ramai juga turut sama membuat label negatif kepada PAS.

Seorang daripada mereka melabel PAS sebagai sebuah parti yang mampu melahirkan imam solat sahaja, bukan pemimpin negara. PAS hanya menitik beratkan Islam daripada aspek pemakaian jubah dan serban sahaja, tidak mengambil berat perkara-perkara berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Seorang lagi melabel PAS sebagai parti yang tiada idea perjuangan. Idea PAS hanyalah kembali kepada Islam tanpa perincian. Pendapat ini sebetulnya diambil daripada idea asal diketengahkan oleh YB Syed Sadiq dalam satu daripada temu ramah beliau.

Meneutralkan persepsi buruk

Label-label negatif ini bertujuan untuk membentuk persepsi buruk terhadap PAS. Supaya masyarakat menjauhi PAS dan memandang serong kepada perjuangan Islam yang diperjuangkannya.

Tidak mengapa untuk menjadi menyokong PH dan memuji kehebatan PH dalam PRU ke-14 dan dalam membina negara baru. Tidak mengapa. Itulah kebebasan dalam era demokrasi baru.

Tetapi menghadkan PAS, hanya sebagai parti berjubah, berserban, imam solat dan tidak ada perincian idea Islam yang hendak diterapkan adalah kesimpulan yang terlalu sambil lewa seperti cakap-cakap di kedai kopi.

Saya terbitkan semula sebahagian daripada kertas kerja saya bertajuk 'Fiqh ad-Dakwah' dalam Seminar Fiqh As-Sab'ah yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) pada 5 Mac 2015, dengan sedikit pengubahsuaian.

Semoga ia dapat meneutralkan sedikit pandangan negatif yang terlalu ekstrem terhadap PAS.

Pengalaman organisasi PAS sebagai badan dakwah

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah ditubuhkan pada tahun 1951. Penubuhannya adalah di atas cita-cita untuk memerdekakan Malaya daripada penjajah dan memerintah Malaya berdasarkan Hukum-hukum Islam. Ia memilih untuk tidak sahaja menjadi persatuan biasa tetapi menjadi sebuah parti politik.

Ini kerana ia berpendapat, kuasa politik dapat membuka ruang perlaksanaan dakwah yang lebih luas dengan adanya hasrat politik yang kuat untuk melaksanakan satu-satu dasar yang menguntungkan Islam atau yang bertepatan dengan kehendak Islam.

Artikel ini tentulah tidak mampu untuk menghuraikan usaha dakwah lebih 60 tahun PAS di Malaysia. Tetapi ini adalah sebahagian daripada usaha dakwah itu. Sekadar untuk memberikan gambaran daripada aspek dakwah.

1.     Memastikan PAS tidak tersasar daripada tujuan penubuhannya. Perlembagaan PAS dengan jelas menyebutkan dasarnya ialah Islam (Fasal 3) dan rujukannya ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias yang nyata (Fasal 7).

2.     Menubuhkan Majlis Syura Ulamak bagi menggalakkan proses Ijtihad Jama’ie dalam dasar-dasar politik yang diambil. (Fasal 8 dan 9 Perlembagaan PAS).

3.     Keahliannya adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia, beragama Islam dan akil baligh.

4.     Menubuhkan Dewan Ulamak dan Lajnah Tarbiyyah di setiap kawasan dan Dewan-dewan bagi mempersiapkan ahli PAS sebagai pendakwah selain daripada sebagai petugas parti di peringkat masing-masing.

5.     Menubuhkan markaz-markaz Tarbiyyah di seluruh ceruk negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Markaz-markaz ini dihidupkan sebagai tempat kuliah, seminar, mengaji al-Quran dan kerja-kerja kebajikan.

6.     Menubuhkan Dar-dar (sekolah-sekolah) untuk menjadi alternatif kepada sistem pendidikan sedia ada, seterusnya menubuhkan Ilham, Kolej Universiti Darul Quran dan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad.

7.     Menggalakkan anak muda supaya kasihkan ilmu, para Ulama dan cuba berdakwah kepada rakan sebaya melalui aktiviti-aktiviti sukan, motosikal, rekreasi, bersama artis yang berhijrah dan lain-lain.

8.     Ramai pemimpin-pemimpin PAS membuka Pusat-pusat Pengajian, menulis buku-buku dan kertas-kertas kerja bagi menerang, menjawab dan mendekatkan orang ramai dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

9.     Penerangan tentang akidah yang benar dan kecantikan Syariat Islam yang syumul untuk dilaksanakan sepanjang zaman di setiap tempat menjadi sinonim dengan program-program PAS.

10.     Membuat penentangan terbuka kepada dasar Sekularisme dalam Kerajaan, Instituisi Awam dan masyarakat umum yang pada akhir-akhir ini telah banyak membuka mata banyak pihak.

11.     Membuat penentangan yang konsisten kepada dasar Islam Hadhari yang cuba menjuzukkan Islam yang syumul sehingga nyata kekurangan dasar tersebut, nyata keburukan dan bahayanya kepada akidah, syariat dan akhlak.

12.     Bekerjasama dengan NGO yang terlibat dalam dakwah bukan Islam seperti Yayasan Amal Malaysia, Rindu dan lain-lain.

13.     Beberapa pemimpin PAS turut menulis dalam bidang dakwah secara langsung.

14.     Meggerakkan usrah-usrah yang merupakan medan pertemuan para sukarelawan dakwah di pelbagai peringkat aktivis parti dan juga untuk masyarakat umum.

15.     Memperkenalkan Enakmen Jenayah Hudud, Qisas dan Takzir untuk cuba dilaksanakan dalam negeri-negeri yang dimenanginya dalam pilihan raya.

16.     Enakmen Hudud di Kelantan dan Terengganu menjadi sebahagian daripada rujukan utama memperkenalkan Hudud, Qisas dan Takzir di Brunei dan Acheh. Ia juga menggalakkan kajian-kajian akademik untuk mendapatkan Masters dan PhD dalam Syariah.

17.     Memberikan pandangan-pandangan Islam berkenaan isu-isu semasa berkaitan ekonomi, sosial, pendidikan, dakwah dan lain-lain diulas dan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

18.     Meletakkan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai Undang-undang Diri Negeri Terengganu semasa memerintah Terengganu pada tahun 1999.

19.     Mengemukakan kaedah mengharamkan judi yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat dengan cara mengharamkan premis judi di negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS, walaupun syarikat judi tersebut diberi lesen judi oleh Kerajaan Pusat.

20.     Menganjuran dialog dengan Persatuan-persatuan Islam, bukan Islam, pendukung hak asasi manusia, pendukung Fahaman Liberal tentang Syariat Hudud.

21.     Mempertahankan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan TPM yang diaibkan dengan tuduhan liwat, dengan ceramah-ceramah Ulama PAS di seluruh masjid, surau dan markaz-markaz PAS di seluruh negara kerana ia adalah bertentangan dengan syarak dan berbentuk kezaliman yang nyata.

22.     Presiden PAS menulis buku khas berkenaan Hukum Qazaf yang melibatkan Datuk seri Anwar ibrahim, selain daripada berucap secara lantang di dalam Parlimen tentang perkara tersebut.

23.     Negeri yang ditadbir oleh PAS memindahkan sumber kewangan negeri untuk diuruskan oleh bank-bank yang tidak mengamalkan sistem riba. Sebagai satu sokongan kuat kepada Institusi Perbankan Islam.

24.     Membuktikan bahawa negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS bebas rasuah, sebagai bentuk dakwah Bil Hal.

25.     Menukarkan Dasar Perumahan Negeri Kelantan dan seterusnya dasar perumahan di peringkat Pusat untuk mengadakan sekurang-kurangnya 3 bilik. Satu untuk ibu bapa, satu untuk anak-anak lelaki dan satu lagi untuk anak-anak perempuan. Akhirnya, dasar ini menjadi Dasar Perumahan Negara.

26.     Mengemukakan dasar yang mesra wanita seperti cuti bersalin daripada 30 hari ke 60 hari dan 90 hari.

27.     Memulakan dasar memberi pinjaman tanpa faedah kepada kakitangan kerajaan.

28.     Memberikan tazkirah dan motivasi agama tanpa melibatkan kecenderungan politik kepada penerima-penerima bantuan kebajikan daripada Institusi Negeri. Sesuatu yang turut menerima pujian daripada ramai penerima bantuan.

29.     Mewujudkan Lajnah IT yang banyak merekodkan kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah agama oleh Tokoh-tokoh PAS dan Tokoh-tokoh Agama yang ternama.

30.     Mengumpulkan Ulama-ulama dan pendukung-pendukung gerakan Islam di seluruh dunia dalam program-program khusus yang dianjurkan.

Beberapa ijtihad dakwah oleh PAS

Keberadaan PAS dalam medan politik sentiasa menjadikannya sasaran mudah untuk diburukkan. Walaupun begitu PAS telah membuka ruang ijtihad yang luas dalam strategi dakwah di Malaysia.
Antaranya;

1.     Menyertai pilihan raya sebagai satu wasilah menyampaikan dakwah ketika banyak gerakan Islam di seluruh dunia masih tidak bersetuju untuk turut menyertai pilihan raya.

2.     Menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan di bawah Lord Reid bagi menyatakan rasa tidak puas hati Perlembagaan Negara dibuat oleh pihak asing. Namun begitu, memberikan beberapa cadangan dan rekomendasi kepada draf Perlembagaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya tersebut, antaranya desakan memasukkan Islam sebagai Agama Rasmi dalam Perlembagaan.

3.     Tidak mengamalkan dasar permusuhan dengan organisasi-organisasi Islam dan gerakan dakwah di Malaysia. Tetapi mengamalkan dasar bekerjasama, berunding dan menjawab tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepadanya secara berlapang dada.

Ini dapat dilihat daripada Ucapan-ucapan Dasar Presiden PAS sejak era al-Marhum Datuk Haji Fadzil Mohd Nor lagi. Yang ditekankan ialah dalam bidang politik negara, berilah peluang kepada PAS untuk mendapat kuasa pemerintahan dan menggubal dasar-dasar yang menguntungkan Islam.

4.     Mengkaji penerimaan bukan Islam sebagai ahli PAS dengan menubuhkan Kelab Penyokong PAS dan seterusnya diangkat tarafnya sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS. Ini adalah satu kemajuan yang besar dalam mendekatkan bukan Islam dengan Islam dan ajarannya yang syumul. Ia mendekatkan jarak dan prasangka antara Islam dan bukan Islam secara sangat positif.

5.     Melantik golongan wanita bertanding dalam pilihan raya di kawasan-kawasan tertentu, seterusnya melantik sebahagian wanita sebagai Exco Kerajaan Negeri dan Senator-senator di Dewan Negara.

6.     Bekerjasama dengan parti-parti politik yang tidak sama hala tuju dengan PAS tetapi mempunyai kesepakatan dalam isu-isu tertentu yang merupakan kepentingan bersama. Ini dinamakan Tahaluf.

Terakhir PAS ber tahaluf dalam Pakatan Rakyat setelah kajian dibuat oleh Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak PAS dengan Tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa juga. Tahaluf diputuskan sebagai harus dengan syarat-syaratnya.

7.     PAS pernah menolak strategi politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ‘membetulkan Islam daripada dalam kerajaan’ melalui dasar Islamisasi berdasarkan pengalaman PAS dalam Kerajaan Campuran sebelum itu. Di mana mudharat adalah lebih besar daripada manfaat. Walaupun memang ada manfaat.

8.     Menubuhkan Majlis Syura Ulamak sebagai penjaga dasar parti bagi memastikan parti tidak lari daripada dasar Islam dan hukum hakamnya.

9.     Mengkaji dan mengemukakan Enakmen Jenayah Syar’iyyah berdasarkan pandangan pelbagai mazhab tanpa terikat dengan Mazhab Syafie sahaja, bagi memastikan Maqasid asy-Syariah terpelihara dengan mengambil kira kekuatan hujah dan kepelbagaian bangsa dan budaya.

10.     Konsep Negara Islam dimudahkan kefahamannya kepada menyebut sebahagian makna Negara Islam dan intipatinya, iaitu Negara Berkebajikan. Bukan seperti konsep Negara Kebajikan Sosialis tetapi Negara Kebajikan mengikut ayat 177, Surah al-Baqarah.

Ia membuka ruang yang lebih mudah kepada PAS untuk menerangkan konsep Negara Islam dan sistem-sistem berkaitan dengannya.

Penutup


PAS sentiasa istiqamah menyuarakan penyelesaian masalah negara mengikut perhitungan neraca Islam sejak daripada penubuhannya lagi. Biasalah cadangan PAS, kadang-kadang diterima dan kadang-kadang tidak. Ada cadangan yang mendapat pujian dan ada cadangan yang mengundang kritikan.

Bukan PAS menyatakan hanya cadangan PAS sahaja yang betul dan Islamik. Jika ada pihak lain yang mencadangkan penyelesaian secara Islam yang baik, PAS mudah sekali menerimanya. Begitu juga mana-mana penyelesaian yang tidak bercanggah dengan hukum syarak, juga sangat dialu-alukan oleh PAS.

Apa yang cuba dibuat oleh PAS ialah berusaha mengetengahkan beberapa alternatif penyelesaian masalah negara berdasarkan fiqh Islam yang luas. Iaitu satu bentuk alternatif penyelesaian yang jarang diberikan perhatian serius oleh pihak lain.

Mengenai aspek mencegah kemungkaran pula, ramai sekali Pimpinan PAS di pelbagai peringkat yang dipenjarakan, dibuang kerja, dipindahkan ke sana ke mari, diancam dengan pelbagai ancaman dan lain-lain bentuk penganiayaan, semata-mata kerana mereka menjalankan tanggungjawab Amar Makruf dan Nahi Munkar serta sanggup dan berani berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.
Tiba-tiba tanpa sedikit usul periksa pun, ada pihak yang menuduh PAS tidak menghiraukan masalah rasuah dan salah guna kuasa, kerana fokus kepada berjubah dan berserban. Dan lebih malang lagi, ramai juga yang hampir mempercayainya.

Zakaria Ismail
AJK PAS Kawasan Marang


......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR | Telegram MR | Facebook MR

9 ulasan:

  1. parti lebai ke apa ke yg betul PAS nak menengakkan negara mengikut acuan agama bukan acuan kapir

    BalasPadam
  2. Jika cybertrooper dan pemimpin-pemimpin pakatan mencipta pelbagai fitnah untuk menfitnah dan memburuk-burukkan semua parti lawan seperti parti Islam PAS dan mengelirukan rakyat supaya mereka mengundi pakatan, maka kemenangan pakatan tersebut adalah kemenangan yang tidak bermoral dan tidak gentleman.

    Maka kita tidak merasa hairan melihat pemimpin-pemimpin pakatan menentang RUU anti-berita palsu !

    BalasPadam
  3. PH menang melalui fitnah mentadbir dengan dendam.Pennyokong minah2 dan mat k pop makcik2 bawang dan pakcik2 bawang.Kerja mereka menabur fitnah.

    BalasPadam
  4. Rasuah adalah isu global. Ia bukan isu yang dimonopoli satu pihak. Ia adalah isu yang boleh diperjuangkan oleh semua individu2, NGO2, parti2 dan gerakan2 antara bangsa. Lagipun kalau tidak ada pihak ambil berat akan isu rasuah, masih ada pihak berkuasa yang menjalankan tugas pembanterasan gejala rasuah. Justeru usah kalut minta orang ambil bahagian kalau pakatan sendiri masih berlemoih dengan tuduhan rasuah.

    Berbeza dengan isu moral yang mana tidak semua pihak ambil pusing. Hanya satu atau dua kerat saja yang ambil berat isu moral ini. Kalaulah satu atau dua kerat ini pun dikritik, tidaklah ada pihak lain yang akan mengambil alih tugasan pembimbingan moral. Bila moral tidak lagi di bimbing dan dibentuk ikut panduan dan piawaian terbaik, ia akan jadi bercelaru dan caca merba. Ini yang akan dielakkan atau ini yang di mahukan? Tepuk dada...!

    BalasPadam
  5. Fitnah kembali kepada PH, moga depa insaf

    BalasPadam
  6. Bertahun tahun mantan ketua pembangkang menggunakan puncak suara dan menulis sebanyak lebih kurang 10 juta perkataan Inggeris bagi mendedahkan dan juga menimbulkan kesedaran tentang keburukan kronism, nepotism dan penyelewengan.

    Ini fakta dan ia harus di puji. Namun pertanyaannya ialah berapa besar kesannya yang terhasil dari usaha mantan ketua pembangkang itu tadi? 100%? 50%? Nah, rekod menunjukkan pihak yang paling banyak disentuh oleh mantan ketua pembangkang dalam konteks nepotism, kronism, kekayaan luar biasa dan kegagalan, masih lagi bergerak bebas malah dijulang tinggi.

    Ini saja menunjukkan kekuatan suara saja tidak cukup. Ia harus disusuli oleh kekuatan 'tangan'. Dan tangan itu haruslah tangan yang benar2 bebas, tidak pilih bulu, cekap dan komited. Kurang dari itu, tahap keberkesanan pembanterasan akan terus berada ditakuk yang sama/lama.

    BalasPadam
  7. Saya undi Pas dan berniat untuk terus mengundi Pas tapi kalau Pas berdegil tak nak berubah, saya tak jamin dan ramai lagi seperti saya akan tinggalkan Pas. Dan terbukti ramai yg telah tidak mengundi Pas kali ini.
    Kecewa dgn pimpinan Pas membuat kenyataan bodoh spt kami akan ambil Putrajaya selepas dibersihkan dan puas hati terhadap penjelasan Arul Kanda pasal 1mdb.Mmg benar media spt M'kini cuba mengeksploit dan memburukkan Pas tapi malangnya apa yg dicakap itu betul.
    Apa yg kami mahu ialah pemimpin yang bercakap dan mengulas lebih kpd masalah rakyat. Bukannya cerita Islam 24jam...bosan.Maaf cakap sebab tulah dilabel lebai.Susah nak cakap dgn orang yg sikit2 quran, sikit2 hadis.Jangan panggil saya anti islam pulak. Jadi susah utk orang biasa utk menyesuaikan pemikiran dan permasalahan mereka dgn cara pimpinan Pas. Pas perlu lebih casual dan bersederhana yg lebih menarik utk didekati. Malangnya tiada dlm Pas. Yang ada pun dah tinggalkan Pas menjadi Amanah.Pendekatan keras spt Dap anti islam dan Amanah pengkhianat menunjukkan Pas sebenarnya tak matang contradict slogan mereka mereka politik matang dan sejahtera. Ego mereka lebih tinggi tapi mereka tak menyedari. Tolonglah Tuan Guru Hadi perlu pergi. Kita perlu pimpinan yg baru dan yg lebih relevan dan mampu berdiri sama tegak dan mengulas dgn cara yg lebih mudah utk marhain memahami dan relate.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pas memperjuangkan islam dan akan tetap perjuangkan islam kamu nak tak sokong pas pun itu hak kamu tapi jangan tak sokong islam. Suruh lah pemimpin pan istikomah menyuarakan hak umat islam sebab sekarang mereka dlm kerajaan pastikan ruu 355 diluluskan pas akan tetap sokong sekiranya pan usulkan ruu355 diparlimen. Utama bagi pas islam. Tentang kenyataan pemimpin pas itu kamu kaji sendiri dari hati bukan dari emosi. Moga islam tetap bersinar dibumi umat islam malaysia.

      Padam
  8. PAS tak akan berubah mengikut selera ahli/penyokong. Pemimpin/ahli boleh datang dan pergi..kerana PAS tak sesuai dgn selera mereka? Moga PAS tetap dengan dasar perjuangannya iaitu Islam.

    BalasPadam