Header Ads

ads header

Flash News

PAS minta Harapan jangan batal Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL)


PETALING JAYA: PAS menggesa kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) meneruskan projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11, termasuk projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) demi manfaat rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PH perlu mengkaji semula kos dan perjanjian ECRL untuk menepati piawaian kewangan sihat.

Beliau turut menggesa projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kelantan dan Lebuhraya Utama Tengah yang melalui Pahang ke Kelantan, diteruskan.

Katanya, jika semua pihak berpegang kepada konsep federalisme dan saling menghormati hak masing-masing, Malaysia mampu terus membangun secara progresif tanpa ada negeri yang ketinggalan.

“Amalan yang menghormati konsep demokrasi dan federalisme adalah amat penting bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri-negeri yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat. Pilihan rakyat haruslah dihormati.

“Oleh itu penyaluran semua peruntukan di atas haruslah mengikut sistem dan undang-undang sedia ada, iaitu terus kepada kerajaan negeri dan tidak lagi melalui pihak ke-3 yang dibentuk khusus seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan atau pihak lain di luar pentadbiran negeri seperti di zaman Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dilaporkan berkata kos keseluruhan projek ECRL melebihi RM55 bilion kerana jumlah yang diumumkan sebelum ini hanya meliputi fasa pertama.

“Fasa ke-2 pula adalah RM11 bilion. Fasa lain pula jumlahnya lebih (banyak),” kata Daim yang enggan mengulas sama ada kerajaan wajar meneruskan projek ECRL dan semua projek mega di negara ini akan dikaji semula sebelum cadangan dibentangkan kepada kerajaan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyambut baik kesediaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan pemberian royalti minyak sebanyak 20% dan berharap PH tidak meneruskan politik balas dendam yang didakwanya diamalkan kerajaan BN.

“Kesediaan terbaharu daripada Tun M itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi contoh di peringkat antarabangsa, susulan peralihan kuasa yang damai selepas pilihan raya umum ke-14.

“Bersangkutan dengan itu, PAS juga menaruh harapan agar semua peruntukan per kapita lain yang layak diterima oleh negeri-negeri dapat disalurkan tanpa apa-apa sekatan, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.”

Semalam, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dilaporkan berkata, royalti minyak dan gas tidak akan diberi secara langsung kepada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PAS.

Katanya, kerajaan Terengganu tidak perlu mempolemikkan isu royalti minyak sehingga mengelirukan rakyat kerana Dr Mahathir akan memikirkan kaedah sesuai agar manfaatnya diterima secara langsung oleh rakyat negeri itu.


......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

1 ulasan:

  1. Kerajaan perlu mengutamakan rangkaian lebuhraya yang menghubungkan laluan sebelah pantai timur dari Kelantan ke Johor. Rakyat lebih memerlukan peluang kerja berbanding laluan keretapi . Pengerusi PKR bukanlah orang yang berhak mengulas soal royalti kerana parti beliau telah ditolak oleh rakyat Terengganu dan royalti bukanlah milik PKR. Ulasan beliau juga mencerminkan sikap tidak matangserta tidak menghormati kehendak rakyat dan jauh dari konsep keadilan yang kononnya dianuti oleh parti PKR. Kenapa beliau tidak menyarankan supaya cukai cukai dan hasil negara hanya dikutip dari negeri dan penyokong PH sahaja jika beliau masih buta dan tidak faham konsep federalisme

    BalasPadam