Header Ads

ads header

Flash News

Harap kekalahan PRU-14 sedarkan parasit calar imej Umno


Sejarah penubuhan Umno pada 1946 bermula dengan kesatuan dan kesedaran orang Melayu mengenai kepentingan menubuhkan sebuah negara baharu yang berdaulat. Sebuah negara berdaulat yang bebas daripada penjajahan pihak British ketika itu.

Atas niat dan idea yang suci mulia ini, orang Melayu telah bersatu padu mencapai kemerdekaan buat negara tercinta ini bersama kaum-kaum lain yang menduduki bumi bertuah ini.

Sepanjang tempoh pemerintahan selama 60 tahun, Umno bersama Barisan Nasional (BN) mencapai begitu banyak kejayaan dalam membawa nama Malaysia di persada antarabangsa menjadi sebuah negara yang disegani di seantero dunia.

Di samping kejayaan itu, Umno sentiasa memelihara setiap warganegara Malaysia untuk hidup aman damai dan harmoni.

Bagaimanapun, bak kata pepatah, bumi mana tidak ditimpa hujan. Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, gelombang rakyat menyaksikan kejatuhan kerajaan Umno-BN tanpa disangka pucuk pimpinan parti sendiri.

Di manakah silapnya sehingga terdapat penolakan secara mendadak terhadap BN?

Kekalahan ini merupakan tamparan hebat buat Umno secara keseluruhannya. Tetapi, kekalahan ini memberi peluang buat Umno untuk mencermin diri, menilai dan membuat keputusan penting tentang hala tuju Umno yang baharu selepas kekalahan.

Adalah rugi jika kita sekadar menuding jari kepada pihak tertentu. Hakikatnya, setiap ahli perlu bertanggungjawab dan bekerjasama memastikan Umno terus relevan sebagai parti pembangkang dan mengembalikan kemenangan pada PRU akan datang. Umno mesti sedar bahawa Umno perlu berubah.

Umno kini dahagakan DNA perjuangan baharu yang tidak boleh lagi mengharapkan undi-undi “safe deposit” seperti di Felda, kawasan-kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak sahaja.

Umno perlu memastikan agenda perjuangan yang mampu menarik sokongan rakyat seluruh negara, terutamanya golongan belia. PRU14 jelas menunjukkan penolakan orang muda melalui pengundian di saluran muda.

Sudah pasti Umno perlu memperkenalkan pendekatan baharu dalam konteks kerjasama dengan parti-parti komponen pada PRU akan datang. Kerjasama yang lebih relevan dan diterima rakyat.

Selain itu, keahlian BN juga boleh didaftarkan secara terus tanpa perlu menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen. Konsep khemah besar Umno perlu diterjemahkan dalam bentuk seperti ini di peringkat BN.

Seterusnya, Umno terutamanya golongan muda perlu menjadikan parti ini sebagai parti berilmu dan berbudi bahasa.

Umno mesti berupaya mengutarakan hujah-hujah berkualiti dan relavan untuk diperdebatkan di gelanggang akademik, media sosial dan paling penting di Parlimen.

Banyak kritikan dibuat berikutan beberapa ahli Parlimen yang berhujah seperti “monyet”. Parlimen merupakan dewan yang mulia, di mana segala perdebatan dan hujah perlulah menyelesaikan masalah dan bersifat ilmiah.

Sebaliknya, apa yang terjadi adalah penghujahan dianggap tidak masuk akal dan sekadar memperkecilkan parti lawan. Perkara-perkara seperti inilah yang membangkitkan perasaan amarah rakyat kepada kerajaan ketika itu.

Ingin saya menegaskan kembali apa yang diperkatakan melalui penulisan saya sebelum ini, kekalahan ini diharapkan dapat membebaskan Umno daripada budaya politik “warlord” dan amalan eksploitasi politik demi meraih kekayaan serta pengaruh.

Medan politik bukanlah tempat kita untuk mengaut kekayaan, sebaliknya inilah tempat untuk kita memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.

Diharap kekalahan ini akan memberi kesedaran kepada parasit-parasit yang telah mencalarkan imej Umno dan membawa semula bahtera perjuangan ini ke jalan yang benar.

Pemilihan Agung Umno yang akan datang ini bakal menentukan hala tuju baharu Umno bagi menghadapi PRU15.

Saya yakin dan percaya ahli-ahli Umno akan menggunakan kebijaksanaan untuk membuat keputusan tepat demi parti keramat ini. Pemimpin yang bakal dipilih seharusnya berupaya menjalani dan memperbetulkan kesilapan dan keretakan yang terjadi.

Saya mengharapkan Umno akan menjadi parti yang mampu membangkang dengan hujah dan fakta, bukan seperti pembangkang dahulu yang menyerang kerajaan hanya dengan sentimen dan fitnah.

Tibalah masa kita untuk membuka sebuah lembaran baharu buat Umno. Kekalahan yang dihadapi perlu diambil sebagai tauladan dan iktibar untuk diingati sampai bila-bila.

Patah sayap bertongkat paruh, perjuangan ini tidak akan sesekali dihentikan. Umno akan kembali bangkit berjuang demi nusa dan bangsa tercinta.

Khairul Azwan Harun
Naib ketua Pemuda Umno.


......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR
Telegram MR
Facebook MR

# Boleh pilih (klik) nak komen guna facebook atau blogger

2 ulasan:

  1. Anak pada si kaya akan mewarisi harta si ayah. Cucu pada si kaya akan mewarisi kekayaan si datuk dan cicit pada sikaya akan mewarisi kekayaan si Moyang.

    Apa saja yang boleh diwarisi akan berubah seperti DNA dan apatah lagi kekayaan. Sama ada ia akan bertambah atau berkurang adalah bergantung pada bawaan si anak, si cucu dan si cicit.

    Umumnya, kepernahan keberadaan dalam kemiskinan menimbulkan kesyukuran yang besar meski pun sekecil mana pun kekayaan yang dimiliki.

    Sebaliknya, keberadaan berterusan dalam kemewahan tidak menghargai kemewahan yang banyak tapi kehilangan yang sedikit akan memberikan impak yang besar.

    BalasPadam
  2. UMNO hidup dengan duit. Macamana jentera nak bergerak bila duit tak ada. Pengikut UMNO.. semua harap duit. Ingat semua pemimpin yg kaya2 dulu sanggup nak korban kekayaan diorang untuk naikkan UMNO. Sanggup ke tinggal kat rumah papan.. naik bas untuk bergerak.. kempen bawah2 pokok. Pemimpin UMNO mesti sanggup beri contoh kepada pengikut.. pengorbanan pemimpin yg sebenar. Kalau tak mau.. UMNO boleh terus masuk kubur.

    BalasPadam