Header Ads

ads header

Flash News

Ibu bapa restui anak 11 tahun jadi isteri ke-3


GUA MUSANG: Ibu bapa kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun merestui pernikahan anak mereka, walaupun sebagai isteri ke-3 kepada lelaki berusia 41 tahun di Sungai Golok, Thailand pada 18 Jun lepas, ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

Bapanya, Mat Rashid Rimadsa, 49, warganegara Thailand berkata, beliau amat mengenali lelaki Malaysia itu yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis, Gua Musang kerana selalu menjual getah tongkol (sekerap) kepadanya.

“Bagaimanapun, lelaki itu berjanji dengan saya untuk mendaftar pernikahan yang sah itu di Pejabat Agama Islam di Kelantan, apabila (anak saya) Masaryu Mat Rashid mencapai umur 16 tahun. Sekarang, Masaryu tinggal bersama saya,” katanya di rumahnya di Kampung Panggong Lalat, di sini.


Mat Rashid dan keluarganya yang semuanya rakyat Thailand, tinggal di Gua Musang dengan mengambil upah sebagai penoreh getah.

Beliau berkata, menantunya yang merupakan pembeli getah sekerap di kampung itu, datang meminta kebenaran untuk bernikah dengan anak perempuannya seminggu sebelum Aidilfitri.

“Saya menceritakan kepada lelaki itu, anak saya belum layak dijadikan isteri kerana masih mentah dan baru berumur 11 tahun, tetapi lelaki itu hendak juga dan berjanji nikah gantung dahulu yang menyebabkan saya bersetuju.


“Saya bersama isteri, Aminah Hitam, 41, mengiringi anak perempuan saya dan lelaki itu ke Sungai Golok, Thailand untuk menjadi wali pernikahan itu,” katanya.

Nikah gantung bermaksud pernikahan yang berlaku di antara pasangan, tetapi tidak tinggal serumah dalam tempoh tertentu yang ditetapkan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.

Mat Rashid berkata, selepas selesai majlis nikah pada 2 petang hari itu, beliau terus pulang ke Gua Musang bersama isteri, anak dan lelaki itu kerana menantunya berjanji menunggu 5 tahun lagi untuk mendaftar semula pernikahan berkenaan di Malaysia.

“Lelaki itu sanggup mengambil anak perempuan saya sebagai isteri kerana hendak membantu hidup saya yang miskin dan bergantung kepada upah menoreh getah.”

Sementara itu, Masaryu berkata, beliau mencintai lelaki pilihannya itu walaupun terpaksa bermadu dengan 2 lagi isteri lelaki tersebut.

Beliau mengakui amat baik dengan kedua-dua isteri suaminya kerana sudah lama bersama mereka dan pernah pergi ke merata tempat bersama.

“Saya terima apa jua keputusan kedua-dua ibu bapa dan suami supaya tunggu 5 tahun baru boleh tinggal bersama kerana saya sedar usia saya baru 11 tahun,” katanya yang tidak kisah dengan cakap-cakap orang ramai, termasuk dalam media sosial asalkan dapat hidup bahagia bersama suaminya.

Sebelum ini, beberapa gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ke-3 tular di media sosial sejak semalam, selepas perkara itu dikongsikan isteri ke-2 lelaki terbabit.

Berikutan penularan berita itu, pengguna media sosial mengkritik tindakan lelaki itu dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.


MR : Pada dasar keluarga (ibu bapa) setuju, isteri (budak) setuju dan selebih kita pun tak tahu....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan