Header Ads

ads header

Flash News

Tiada perang bendera, poster PRK Sungai Kandis


SHAH ALAM – Tidak seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, PRK Sungai Kandis yang berlaku sekarang ini lain daripada yang lain.

Antara kelainan ialah tidak ada perang poster dan bendera daripada kedua-dua parti bertanding, iaitu Barisan Nasional (BN) dan PKR dari Pakatan Harapan (PH).

Markas yang dijadikan tempat untuk jentera menyimpan bendera dan poster untuk ditampal atau dibahagikan kepada orang ramai juga tidak kelihatan.

UMNO dan BN dari awal lagi mengakui tidak dapat menyediakan peruntukan yang banyak kepada calonnya, Datuk Lokman Noor Adam untuk membekalkan bendera parti dan poster calon, berikutan tindakan pihak berkuasa bawah kerajaan baharu PH telah membekukan akaun UMNO pusat.

kawasan02
Biasanya kalau ada pilihan raya kecil, simpang empat lampu isyarat
menjadi rebutan jentera parti bertanding untuk memasang bendera dan poster. 
Kali ini, lenggang.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan PKR pusat kenapa parti itu juga belum memasang bendera atau poster calon di sepanjang kawasan PRK Sungai Kandis, sedangkan sudah masuk hari kelima berkempen.

Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada program ziarah kasihnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kandis hari ini, menjelaskan, BN tidak mempunyai sumber kewangan dan memadai jenteranya menggunakan pendekatan kasih sayang ketika mendekati pengundi.

Kalau PRK sebelum ini, seperti PRK Parlimen Kuala Kangsar di Perak, PRK Parlimen Sungai Besar di Kuala Selangor, PRK DUN Kajang di Selangor, PRK DUN Pengkalan Kubor di Kelantan, semuanya meriah dengan bendera-bendera parti.

Bahkan, ada sesetengah PRK, sehari selepas kematian penyandang, jentera sudah mula memasang bendera, dan suasana bertambah meriah menjelang hari penamaan calon dan berkempen.

Dalam PRK Sungai Kandis agak berbeza. Tidak ada langsung bendera atau poster dipasang, sama ada di pokok, tiang elektrik, tiang telekom, pagar kediaman mahupun kilang dan di simpang lampu isyarat atau bulatan.

Orang luar yang hendak bertandang ke Sungai Kandis untuk merasai suasana meriah pilihan raya kecil pun kadang-kadang keliru, sama ada mereka sudah berada di kawasan PRK atau belum.

Hanya di Pusat Kawalan BN di PDM Sungai Kandis kelihatan beberapa poster calon dipacak di tepi jalan.
Hanya di Pusat Kawalan BN di PDM Sungai Kandis kelihatan beberapa
poster calon dipacak di tepi jalan.
Ini kerana, tidak ada satu pun bendera dipasang, walaupun tempoh berkempen tinggal sembilan hari.
Biasanya poster ini menjadi mercu tanda kekuatan parti bertanding. Masing-masing memasang sebanyak mungkin di tempat mereka supaya tidak dilihat ‘kalah’ oleh parti lawan. Keadaan ini, menyebabkan cuaca siang terasa mendung dan redup kerana cahaya matahari terlindung oleh kibaran bendera dan poster.

Kesuraman ini juga mungkin faktor daripada demam Pilihan Raya Umum ke-14 (RU14) belum hilang sepenuhnya. Jika dicongak, dari tarikh PRU 9 Mei sehingga hari ini, baru 76 hari berlalu. Ia suatu tempoh yang masih singkat dan belum hilang dari kelelahan.

Mungkin kerana itu, jentera PKR dan PH pun mengambil langkah yang sama dengan UMNO dan BN untuk meminimumkan penggunaan bendera dan poster sebagai bahan sawo serta propaganda.
Namun, kebaikan kepada faktor itu ialah kedua-dua parti dapat menjimatkan sumber kewangan dan mungkin boleh dijadikan ‘trend’ pada PRK dan PRU akan datang.

Lagipun, tidak berkempen dengan bendera dan poster pun rakyat terutama pengundi di kawasan berkenaan tahu serta boleh menerima siapa calon mereka. Tinggal lagi, mereka akan menterjemahkan calon yang dikehendakinya pada kertas undi.

Kenyataan Najib hari ini, seperti mengingatkan jentera bahawa parti tidak perlu menyewa khemah-khemah, tidak perlu menempahkan makanan dan minuman yang mewah-mewah, sebenarnya suatu idea yang baik dan dituntut oleh Islam, iaitu tiada pembaziran.

Sudah sampai masanya UMNO dan BN mengamalkan gaya hidup sederhana seperti ukur baju di badan sendiri, iaitu berbuat sesuatu atau bertindak atau berbelanja mengikut kemampuan diri sendiri.
PRU sebelum ini juga menunjukkan, kemewahan bukan penentu kepada kemenangan. Ada kawasan yang diwakili calon yang kaya raya, bila bertanding, kalah. Ada kawasan yang mana calonnya bukan dalam kalangan berada, mendapat kemenangan besar.

Jadi, kemeriahan PRU atau PRK bukan terletak pada bendera dan poster. Ia terletak sepenuhnya kepada sejauh mana seseorang calon itu dapat memenangi hati rakyat. – MalaysiaGazette


MR : Poster dan bendera perlu tapi tak perlu banyak sangat.. ini boleh menjimatkan kos.. yang penting kempen dalam hormoni. Kita lihat Lokman dah tunjuk jalan ke situ...


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

1 ulasan:

  1. Bila calon PKR berkempen nak buat itu dan ini. Nak tambah itu dan ini. Ini menggambarkan bahawa adun sebelum ini tak buat kerja? Kini pengundi berdepan retorik yang sama. Justeru yang bakal diuji bukanlah kecekapan bakal2 adun tetapi kecekapan dan kebijakan penggunaan kuasa undian yang ada di tangan.

    BalasPadam