Header Ads

ads header

Flash News

Berhajat tunai haji? Menabunglah sejak kecil...



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

SEKARANG musim haji. Jemaah haji Malaysia sudah berbondong-bondong ke Tanah Suci. Berlainan musim lalu, kali ini tidak kedengaran pula jemaah haji 1MDB  sama-sama 'sibuk' berangkat untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Ya, sebelum musim haji kini (1439H/2018M), setiap tahun sejak 2011 lebih 1,000 jemaah terpilih dari seluruh negara menunaikan fardu haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (PKHYABPM-1MDB).

Lazimnya calon terpilih adalah imam, bilal, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin masyarakat setempat. Jemaah ini selain ditanggung kos menunaikan haji, diberikan wang saku RM1,000 seorang bagi kegunaan sepanjang tempoh menunaikan haji.

Umum mengetahui pada setiap musim, jemaah haji ke Tanah Suci adalah berdasarkan kuota satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara; pada tahun ini (2018) dijangka 30,200 jemaah Malaysia akan ke sana.

Disebabkan jumlah rakyat yang terlalu ramai berhajat menunaikan haji, Tabung Haji melaksanakan pendaftaran haji…siapa daftar awal diberikan giliran terdahulu. Mungkin pendeposit Tabung Haji yang mendaftar sekarang, giliran mereka adalah pada tahun-tahun 2090-an atau 2100-an!

Bagi jemaah yang namanya ‘sudah naik’ untuk ke Tanah Suci, dikehendaki mengikuti kursus haji bersiri setiap minggu mungkin sampai 15 kali. Namun ini tidak bermakna mereka sudah ‘confirm’ ke Tanah Suci. Kemudian ada kursus haji perdana lagi, pendeknya cabaran untuk disahkan menjadi tetamu Allah adalah terlalu hebat.

Malah ada yang nama mereka sudah tersenarai (termasuk yang sudah diberikan rantai tangan) dibatalkan pemergian mereka ke Tanah Suci. Seorang ustaz bercerita, ada seorang jemaah datang kepadanya, menangis teresak-esak menyatakan dia menerima panggilan telefon menyatakan dia tidak dapat 'lampu hijau' ke Tanah Suci sehari sebelum dia dijadualkan berlepas. Maka menangislah dia mengadu nasib.

Pada musim haji sebelum ini, seorang jemaah yang mendapat panggilan pengesahan ke Tanah Suci pada 'last minute' mengadu: "Kenduri sudah saya buat sebulan lsebelum itu. Hampir setiap kali ke masjid, jemaah akan bertanya; 'ehh tak berangkat lagi?' Saya naik malu dibuatnya. Syukur, alhamdulillah dapat juga saya ke Tanah Suci."

Dia menyindir dengan berkata: "Orang macam kita ini sudah lama mendaftar. Sudah dipilih dan disenaraikan. Sudah ikut kursus termasuk kursus haji perdana. Namun Tabung Haji tidak mengesahkan tarikh pemergian kita sehingga 'last minute'. Ada orang tak mendaftar pun. Tak ikut kursus pun. Tak berhajat pun nak pergi haji. Tup-tup dia dapat surat suruh dia bersedia pergi haji. Ini apa hal ni?"

Jemaah ini merujuk kepada jemaah haji program 1MDB. Mereka didakwa ‘memotong giliran’ jemaah yang sudah ada dalam senarai. Beliau mendakwa itulah sebabnya mengapa sukar benar pegawai Tabung Haji hendak 'release' nama dan tarikh jemaah yang dapat pergi haji. Kasihan petugas Tabung Haji. Mereka kena ikut arahan atasan sedangkan jemaah asyik menghubungi mereka, bertanya, "dapat ke tak dapat" atau "bila nak berangkat ni?"

Ini cerita musim-musim haji lalu, sekarang ini alhamdulilah tidak terdengar lagi kisah seperti ini. Tidak terdengar lagi kisah program haji 1MDB. Ini bermaksud tidak ada orang boleh potong giliran dalam menunaikan fardu haji. Senarai menunggu adalah terlalu panjang. Seorang anak perempuan saya (kini berusia 16 tahun) yang saya daftarkan untuk menunaikan haji pada 2015 dulu, tahun keberangkatannya dijadualkan pada 2089 nanti!

Jadi bagaimana seseorang itu dapat menunaikan haji, kalau boleh tidaklah 'terlalu tua' nanti? Jawapannya adalah dengan menabung sejak kecil (ungkapan popular merujuk kepada isteri seorang tokoh) tetapi jangan lupa untuk mendaftar sebagai calon jemaah haji (membuka akaun Tabung Haji tak cukup, daftarlah untuk tunaikan haji). Jika anak saya yang didaftarkan pada 2015, gilirannya pada 2089, bayangkan tahun yang diberi jika seseorang itu mendaftar sekarang. Menurut sumber,  ada lebih 900,000 orang dalam senarai menunggu.

Untuk mendaftar menunaikan haji, seorang pendeposit perlu mengekalkan wang RM1,300 dalam akaun Tabung Haji mereka. Ya, Tabung Haji kerap menguar-uarkan kepada umum (pendeposit) hatta bayi (6 bulan ke atas) untuk mendaftar dan didaftarkan bagi menunaikan haji. Namun Tabung Haji tidak menghebahkan pula seseorang pendeposit diperlukan mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,300 untuk tujuan itu. Dan Tabung Haji tidak menghebahkan pula wang itu tidak boleh dikeluarkan 'sampai bila-bila' (kecualilah seseorang itu sudah menutup akaun, mati atau sudah pergi haji).

Ini bermakna Tabung Haji akan berterusan menyimpan RM1,300 wang pendeposit dan kalau ada satu juta orang dalam senarai menunggu haji, Tabung Haji akan menyimpan wang sebanyak RM1,300,000,000 (RM1.3 bilion)! Wang ini akan kekal dalam Tabung Haji, pendeposit tidak boleh keluarkan wang mereka sendiri! Tak bolehkah pendeposit didaftarkan secara automatik untuk menunaikan haji sebaik saja membuka akaun atau dikurangkan wang minimum simpanan itu kerana orang kaya mungkin boleh berbuat demikian, orang miskin bagaimana? Ini kerana wang RM1,300 tidak boleh dikeluarkan sampai bila-bila sedangkan orang miskin sukar mengumpulnya dan kadang-kadang perlu sangat mengeluarkannya jika mereka terdesak!

Sebelum pemergian jemaah haji, banyak masjid mengadakan majlis kesyukuran untuk mereka. Selain diberikan cenderamata seperti kain ihram, ceramah agama terutama berkaitan bab haji juga diadakan.

Ada ustaz mengingatkan adalah penting untuk jemaah menggunakan wang halal yang diperolehi daripada sumber bersih bagi menunaikan haji. Perkara ini amat ditekankan kerana haji adalah perkara kelima dalam Rukun Islam, jika ditunaikan dengan wang haram, maka tertolaklah haji seseorang itu.

Dia dikhuatiri akan mendapat haji mardud (maz'ur) sedangkan matlamat seseorang Muslim dalam menunaikan Rukun Islam kelima itu adalah bagi mendapat haji mabrur (yang diterima) yang balasannya tiada lain melainkan mendapat syurga Allah SWT.

Ketika menunaikan haji, jemaah akan bertalbiyah: "Labbayk, Allahumma Labbayk. Labbayk. La shareeka laka. Labbayk. Innal-hamda wan-ni'mata laka wal-mulk. La shareeka lak" yang bermaksud: "Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."

Bagi jemaah yang mendapat keredaan Allah, Allah SWT akan mengalu-alukannya sebagai tetamu-Nya tetapi bagi yang melakukannya dengan banyak dicampuri dosa dan keharaman, misalnya mengerjakan haji dengan perbekalan daripada usaha haram seperti rasuah tidak ada pahala bagi mereka yang mengerjakan haji daripada hasil yang haram.

Dalam menunaikan haji seperti ini, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: ...ketika orang haji dengan nafkah haram keluar, kemudian dia berseru: Aku datang memenuhi panggilan-Mu, maka datanglah jawapan dari langit: "Tidak engkau tidak memenuhi panggilan, perbekalanmu haram, nafkahmu haram, hajimu penuh dosa, tidak berpahala."

Demikianlah dalam menunaikan haji, wang digunakan untuk perbekalan seperti tambang kapal terbang, bayaran penginapan dan makan minum perlulah dari sumber yang bersih (halal). Jadi satu ingatan bagi mereka yang  berazam ke Tanah Suci bagi menunaikan haji, lakukan simpanan sejak kecil (ibu bapa ambilah perhatian) dan jangan terlalu berharap kepada bantuan haji daripada pihak lain...ya haji 1MDB pun sudah tak ada...

Dan kepada peneraju Tabung Haji, usahlah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat yang sesetengahnya menyimpan sejak kecil;  ada yang menyimpan untuk diri mereka dan anak-anak di Tabung Haji daripada hasil jerih perih mereka daripada usaha menanam padi, menoreh getah, menangkap ikan dan menjadi buruh kasar - adakah anda tergamak mengkhianati wang mereka yang disimpan secara berdikit-dikit...RM1, RM5, RM10 dan RM50, kemudian menjadi RM1,300 untuk membolehkan mereka mendaftar 'naik haji' - kemudian wang itu tidak boleh dikeluarkan lagi melainkan jika mereka mati (waris yang akan dapat), menutup akaun atau dihabiskan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pun jika mereka berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya RM9,980 (kos sekarang) sebagai bayaran ke Tanah Suci!

LanH


MR : Tabung haji sepatutnya menjadi jalan bagaimana untuk memastikan seleuruh umat Islam di Malaysia boleh pergi Haji....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :


8 ulasan:

  1. MR kalau tiada fakta jangan main siar tulisan orang nanti blog ini jadi tidak bermutu.
    Syarat menunaikan haji antaranya ialah mampu. MR kena cari takrif mampu ikut kupasan ulama’.
    Kos sebenar tunai haji sebenarnya sudah meningkat setiap tahun dan itu di luar kawalan tabung haji. Kos asal lebih 20,000 yang sepatutnya di tanggung oleh jemaah. Tetapi sebahagaian dari kos disubsidi oleh TH dengan menggunakan laba daripada pelaburan dan perniagaan anak syarikat. Apa salahnya TH pegang wang minima pendaftaran haji 1,300 itu kalau manfaatnya kembali pada jemaah juga?
    Kuota sebenarnya 0.1% daripada jumlah penduduk. Kalau 1% akan jadi 300,000!
    Tabung haji tidak perlu dibebankan dengan nak fikir untuk bawa semua rakyat. Syariat hanya mewajibkan pada yang mampu!
    Admin jgn ghairah sgt hentam sana sini. Jgn terikut perangai pakatan haprak. Biar artikel keluar seminggu sekali tapi ada kelas!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jangan emosi tuan. LanH adalah penulis akhbar dan menjadi wartawan berpuluh tahun. Tidak salah dia menulis kerana itu pendapatnnya. Kalau tuan tidak setuju tuan tak perlu emosi menuduh orang lain termasuk kami. Tuan boleh tulis balas. Kerana itu kami wujudkan ruang kategori RESPON dan kami ada ruang TEGURAN yang tuan lihat bukan sahaja kritikan kepada satu pihak. Kami harap tuan jelas sikap dan penderian MINDARAKYAT. Terima kasih

      Padam
    2. Zam pun pengalaman puluhan tahun, tapi tengok kualiti tulisan dia.

      Padam
  2. Assalamualaikum
    Setuju dgn pendapat 7.26 pagi dan terima kasih atas pembetulan fakta. MR sepatutnya berterima kasih kerana pembaca begitu prihatin dgn kandungan dan fakta. Begitu juga dengan teguran yg membina.

    Apabila mendaftar utk menunaikan haji. Nak masuk dlm senarai menunggu... Menunjukkan adanya persediaan. Kalau mendaftar tanpa rm1300 agak sukar TH nak susun dan buat urusan estimate bila layak pergi haji. Contohnya... Bila dlm akaun tabung haji ada rm100 dah boleh daftar utk haji.. maka tak mustahil kena tunggu hingga 200 - 300 tahun. :) Betul tak ? Mungkin sebelum kahwin lagi dh kena daftar utk bakal anak yg belum tahu wujud ke tidak.

    Jadi bila TH buat sesuatu keputusan itu, mesti bersebab dan sebabnya juga mestilah kukuh berdasarkan kpd pengalaman yg hebat.

    Walaupun tempoh sekarang ada antaranya sehingga 80 tahun menunggu, tapi saya percaya tempoh sebenar akan lebih cepat..sbb individu yang awal mendaftar tidak semuanya akan dpt pergi disebabkan faktor ekonomi, kesihatan, kematian dan sebagainya.

    Menabung dari kecil itu adalah saranan yang baik. Tapi yg kurang baiknya adalah mengaitkan dgn ungkapan popular melibatkan tokoh. Saya ada mendengar, tokoh yg popular dimaksudkan tidak pernah mengatakan dia menabung dari kecil..tapi difitnah oleh orang yg tidak bertanggungjawab. Jadi tidaklah harmoni jika tulisan untuk kebaikan ini disulami dgn perkara yang tidak bagus dan kurang tepat.

    Itu pandangan saya tuan MR.

    BalasPadam
  3. Masalahnya sekarang ialah puak orang kaya boleh menunaikan haji dengan cepat melalui pakej mahal dan mewah tanpa menunggu lama semuanya kerana wang sedangkan kita terpaksa menunggu berpuluh tahun untuk menunaikan fardhu haji sebab giliran kita telah diambil @ dirampas oleh puak orang kaya !

    Jika ada orang mahu mencabar komen saya ini, sila jawab dulu soalan ini:

    Dari mana pakeh haji mahal dan mewah mendapat kuota haji jika tidak dari TH sendiri yang bererti giliran kita telah dirampas oleh puak kaya? Bukankah ini bererti kezaliman telah berlaku?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nota: Simpanan saya dalam TH telah lebih dari mencukupi tetapi saya hanya mampu melihat puak kaya pergi menunaikan haji tanpa menunggu giliran yang sepatutnya ! Adakah ibadat haji akan menjadi mabrur jika kezaliman telah berlaku dimana agensi dan orang kaya yang terlibat merampas giliran orang yang telah lama menunggu giliran?

      Padam
  4. Sebelum tuduh tabung haji itu ini dah jumpa depa ke minta penjelasan? Dosa dari hear say..
    Orang tabung haji pun rasanya takut Allah mcm kita juga. Depa pun harap redha Allah mcm kita juga.
    Jangan rasa kita saja yang ikhlas, yg nk perjuang islam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pihak pengurusan TH dan kakitangan TH pun manusia biasa juga tidak bersifat maksum dan mereka juga bukan malaikat.

      Padam