Header Ads

ads header

Flash News

Jangan terperangkap dalam sangkar musuh


MAAF cakap. Tapi agak kecewa dengan sikap orang kita yang aktif di media sosial. Walaupun Muktamar dua hari cukup padat dengan ilmu dan idea, tetapi perkara tersebut tidak begitu tersebar di alam maya. Ucapan dasar, perbahasan perwakilan, penggulungan dan penangguhan pimpinan tidak menjadi viral. Sebaliknya boleh dikatakan kebanyakan sibuk menyambut serangan musuh mengenai baju Amal. Padahal itu cuma isu yang sengaja disensasikan. Kenapa perlu menari ikut rentak musuh? Kenapa tidak bawa agenda sendiri?

Tidak tahu, apakah fokus kepada isu Amal adalah satu langkah strategik dari organisasi parti sendiri, ataupun inisiatif facebookers dan mujahid siber PAS akibat tidak memiliki sebarang agenda strategik yang lain. Jika ia adalah langkah strategik, maka tiada pertikaian lagi. Mungkin ada maslahahnya tersendiri. Tetapi jika inisiatif akar umbi, saya rasa perlu perbetulkan kembali fokusnya. Amat malang jika respon ini adalah hasil umpanan musuh politik.

Mungkin fenomena ini timbul kerana mentaliti kita masih simplistik dan tidak berapa gemar memberatkan pemikiran. Lebih suka melayan provokasi dan sentimen murahan. Jika benar ini faktornya, malanglah PAS. Parti bernuansa Islam ini sepatutnya berdiri atas dasar ilmu dan agama. Bukan sentimen dan rasa.

Joseph Liow, fellow Brookings Institute pada 2003 menyatakan PAS kuat kerana ahlinya dipupuk dengan perbincangan berat mengenai ideologi (fikrah). Ini menyebabkan mereka susah dirosakkan. Tahun 2017 beliau menyatakan pula bahawa Islamis di Malaysia sudah tidak pentingkan perihal ideologi menyebabkan mereka senang terdorong utk bersikap oportunis. Maknanya, kualiti ahli sudah berubah ke tahap membimbangkan.

Ayuh ahli PAS. Buktikan dapatan Joseph Liow ini silap. Bangkit semula dengan kembali membincangkan perihal ideologi dan ilmiah di media sosial. Olah dalam bentuk yang sesuai bagi mentaliti rakyat setiap lapisan. Tugas utama kita dakwah, sementara politik hanyalah alat dan wasilah. Tetapkan jati diri, jangan tertukar matlamat, barulah tidak mudah terikut rentak asing.

8 Muharram 1440
18 September 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN)

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan