Header Ads

ads header

Flash News

Kerajaan Selangor Bincang Kenaikan Tarif Air


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengakui sudah mengadakan perbincangan berhubung kenaikan tarif air di negeri ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim, berkata perbincangan itu baru dilakukan berikutan kos tinggi yang ditanggung kerajaan negeri bagi melaksanakan skim air percuma.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kadar kenaikan jika berlaku, tidak akan membebankan rakyat.

Sehingga kini, katanya, keputusan tiada kenaikan tarif air masih kekal.

“Kita baru bincang kerana kerajaan negeri menanggung kos yang tinggi susulan pengambilan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Jadi, kita teruskan apa yang dibuat kerajaan BN sebelum ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu bersama lima ADUN pembangkang memantau skim air percuma serta kenaikan tarif air, Izham berkata, kerajaan negeri menerimanya secara terbuka tanpa masalah.

Bagaimanapun, beliau menempelak tindakan Abdul Khalid itu berikutan bekas ADUN Pelabuhan Klang itu tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti.

“Tidak relevan beliau mahu pantau dan mengharapkan kepada ADUN pembangkang sahaja tetapi jika pantau sebagai rakyat, itu terserah,” katanya.

Malam tadi, Abdul Khalid ketika di Majlis Makan Malam Meraikan Petugas PRK Seri Setia menyatakan akan mengadakan perbincangan bersama ADUN pembangkang bagi memastikan kerajaan Selangor mengekalkan pemberian air percuma dan mengekalkan tarif air.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Malaysia menyokong penuh tindakan Abdul Khalid yang dilihat sebagai usaha mempertahankan hak rakyat.

Katanya, rakyat yang kini berdepan kos sara hidup tinggi wajar diberi pembelaan, terutama membabitkan kebajikan mereka selain air adalah keperluan utama.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan Selangor melalui Air Selangor mengemukakan surat tawaran pengambilalihan itu kepada wakil pemegang saham Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM2.55 bilion, selepas ditolak diskaun sebanyak 28 peratus penilaian semasa SPLASH pada 30 Jun 2018.

Berikutan itu, Abdul Khalid mendakwa, pembelian SPLASH berjumlah RM2.55 bilion menyebabkan rakyat Selangor perlu membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan kerajaan negeri pada 2013. – BERITA HARIAN

MR : Ini pun kira projek bantu rakyat, bantu "cekik" rakyat....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan