Header Ads

ads header

Flash News

PM 2 tahun sahaja – satu hari pun tidak boleh lebih


Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun rakyat yang inginkan beliau untuk menjadi perdana menteri melebihi 2 tahun akan lenyap setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi pilihan raya kecil Port Dickson kelak.

Ini dipercayai antara matlamat utama Langkah Port Dickson (PD) yang dilancarkan Rafizi Ramli dan disokong penuh oleh Anwar tanpa melalui mesyuarat biro politik PKR.

Ini juga selari dengan kenyatan Rafizi dalam kempen menjadi timbalan presiden PKR bahawa tugasnya adalah untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri.

Populariti Dr Mahathir menjadi satu kegusaran bagi pihak yang tidak mahu melihatnya memerintah melebihi 2 tahun. Dalam banyak janji manifesto yang tidak ditunaikan Pakatan Harapan, ada pihak sedang mendesak Dr Mahathir supaya menunaikan janjinya untuk hanya memegang jawatan perdana menteri selama 2 tahun.

Apa tidaknya? Pada 9 Jun yang lalu, Dr Mahathir pernah bertukar nada mengenai tempoh 2 tahun itu. Beliau berkata tempoh beliau menjawat jawatan perdana menteri tidak semestinya berakhir dalam tempoh tersebut.

”Ia adalah satu cadangan. Tetapi kita tidak tetap. Boleh jadi lebih awal, boleh jadi lebih lewat. Keutamaan adalah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara, menjadi sebuah negara yang berupaya,” tegasnya.

Pendek kata, Langkah PD ini adalah satu mesej tidak langsung kepada Dr Mahathir: “Dua tahun ialah 2 tahun. Satu hari pun tak boleh lebih.”

Matlamat kedua Langkah PD ialah inisiatif Rafizi untuk mendedahkan sosok yang dimaksudkanya sebagai pembelot Anwar dalam PKR dan juga Pakatan Harapan sebagai modal untuk membantu kempennya menjadi timbalan presiden parti itu.

Sesiapa yang mempertikaikan Langkah PD dalam kalangan PKR akan dicop sebagai suspek utama pembelot Anwar meskipun langkah ini dilakukan tanpa mengikut protokol mesyuarat PKR.

Keputusan Langkah PD hanyalah dibuat oleh beberapa orang, sama seperti Langkah Kajang yang akhirnya memusnahkan Pakatan Rakyat. Prinsipnya, boleh belakangkan parti, tetapi sama sekali tidak boleh belakangkan Anwar.

Sebenarnya ramai yang tidak berpuas hati terhadap Langkah PD ini, termasuklah bekas pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreevenasan dan peguam Siti Kasim yang menyeru rakyat supaya menyokong pembangkang dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan kali ini.

Antara pimpinan PKR yang bersuara lantang terhadap Langkah PD ini ialah Ketua Wanitanya Zuraida Kamaruddin dan Naib Presiden Tian Chua. Menteri Besar Selangor juga memberikan ingatan bahawa PD bukanlah kawasan yang selamat bagi Anwar. Ketiga-tiga mereka adalah daripada kem Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali.

Azmin pula mengambil langkah berhati-hati dengan sekadar bernada memberi nasihat bahawa pandangan pimpinan PKR lain juga perlu dihormati sebelum Langkah PD diputuskan.

Untuk mengelak jerat Rafizi, Azmin menggesa PKR memberikan fokus membantu Anwar memenangi kerusi Port Dickson, meskipun setakat ini Anwar tidak tampil menafikan dakwaan Rafizi bahawa Azmin meminta beliau untuk tidak bertanding presiden PKR sebelum itu.

Situasi ini juga menyebabkan penafian Anwar terhadap audio mirip beliau yang membelasah Azmin sebagai penyokong Dr Mahathir semakin sukar dipercayai.

DAP dan Amanah hanya mula bersuara menyokong Langkah PD setelah 3 hari langkah itu diumumkan. Ini menunjukkan betapa “relanya” hati mereka menyokong Langkah PD, daripada termasuk dalam jerat yang dipasang Rafizi.

Situasi manakah yang akan menguntungkan Pakatan Harapan – kemenangan Anwar atau kekalahan beliau?

Bayangkan kalau Anwar menang di PD dan Rafizi menang sebagai timbalan presiden PKR, Amanah dan DAP akan beralih sokongan kepada siapa dan siapa pula yang bakal hilang sokongan serta kuasa dan apakah tindakan mereka?

Sekiranya kedua-duanya tewas, segala-galanya hanyalah status quo.

Apakah mereka yang terpaksa menyokong Langkah PD Anwar dan Rafizi hari ini demi menjaga keutuhan Pakatan Harapan seketika ini akan kehilangan segalanya apabila Anwar menjadi PM?

Mari kita tunggu percaturan politik seterusnya oleh mereka yang amat menyayangi status, kuasa dan duit sehingga sanggup mengorbankan segalan-galaya bagi mempertahankan apa-apa yang ada serta habuan di depan mata.

TIMMY SAY


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan