Header Ads

ads header

Flash News

Akhbar dakwa Riyadh hantar skuad khas bunuh Jamal


Pegawai tertinggi Arab Saudi didakwa mengarahkan 15 anggota pasukan khasnya menunggu kedatangan wartawan dan penulis terkenal Jamal Khashoggi, di dalam Pejabat Konsul Besar negara itu di Istanbul, lapor The New York Times (NYT) dalam berita tergemparnya.

Antara yang menyertai pasukan itu ialah pakar forensik yang membawa gergaji untuk mengerat badan Jamal selepas membunuhnya, lapor NYT yang memetik kenyataan seorang ‘pegawai kanan’.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran berita berkenaan.

Pasukan pembunuh itu selesai menjalankan tugas dalam tempoh dua jam dan meninggalkan Turki menuju ke beberapa buah negara, lapor NYT yang memetik maklumat daripada pegawai tinggi Turki.

“Ia seperti Pulp Fiction,” kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) – merujuk kepada sebuah filem Hollywood yang memaparkan aksi ganas.

Dakwaan bahawa pemimpin Arab Saudi secara langsung memerintahkan pembunuhan Jamal memberi tekanan AS dan sekutu lain untuk menuntut siasatan telus, dengan kemungkinan berdepan kesan serius terhadap hubungan dua hala, jika ia tidak mendatangkan hasil.

Arab Saudi bagaimanapun, menafikan sebarang pembabitan berhubung kehilangan Jamal dan tuduhan bunuh itu. Riyadh menjelaskan bahawa wartawan itu telah meninggalkan pejabat konsul berkenaan pada 2 Oktober.

Akhbar Daily Sabah menyiarkan gambar 15 warga Arab Saudi yang disyaki anggota pasukan khas yang bertanggungjawab membunuh Jamal Khashoggi.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pula mendesak Arab Saudi membuktikan Jamal meninggalkan bangunan pejabat konsul itu.

Daily Sabah, akhbar Turki yang rapat dengan kerajaan, hari ini menyiarkan nama dan gambar 15 anggota pasukan khas Arab Saudi itu, yang berada di Istanbul pada hari Jamal hilang. Semua suspek itu dikehendaki oleh pihak berkuasa Turki untuk disoal siasat.

Salah seorang daripada anggota pasukan terbabit adalah ketua jabatan forensik di bahagian keselamatan Arab Saudi.

Sumber yang rapat dengan siasatan berkata, 15 warga Arab Saudi itu memasuki Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu – hari Jamal dilaporkan hilang – dan kemudian meninggalkan Turki pada hari yang sama.

Akhbar Daily Sabah juga melaporkan, 15 warga Arab Saudi terbabit tiba di Istanbul dari Riyadh menggunakan dua jet peribadi bernombor HZ-SK1 dan HZ-SK2. Menurut laporan kebanyakan mereka menginap di Wyndham Grand Hotel dan Movenpick Hotel, tidak jauh dari pejabat konsulat berkenaan.

Jamal Khashoggi memasuki Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul 2 Oktober lalu dan kemudian hilang.

Stesen televisyen Turki hari ini turut menyiarkan rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan sesetengah anggota pasukan itu bergerak dari lapangan terbang ke hotel dan pejabat konsulat berkenaan.

Rakaman itu juga menunjukkan, kenderaan memasuki pejabat konsulat sebelum menuju ke kediaman konsul besar Arab Saudi, dua jam selepas Jamal memasuki pejabat itu.

Sementara itu,Washington Post melaporkan, perisik AS memintas komunikasi pegawai Arab Saudi yang berbincang mengenai rancangan menangkap Jamal, untuk dibawa pulang.

Laporan juga menyebut bahawa pada 2 Oktober lalu, semua pekerja di konsulat berkenaan yang terdiri daripada warga Turki diberi cuti, dengan alasan kononnya ada mesyuarat penting diplomatik. – Agensi


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan