Header Ads

ads header

Flash News

Keputusan saman Musa terhadap Shafie ditetapkan 7 Nov


Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu semalam menetapkan 7 Nov sebagai tarikh untuk memberikan keputusan berhubung saman pemula bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri yang baru.

Hakim Datuk Yew Jen Kie menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah dari kedua-dua parti yang mengambil masa empat jam.

Peguam S.Vanugopal yang mewakili Musa berhujah bahawa anak guamnya sebagai pemimpin parti politik BN-Sabah, tidak pernah kehilangan sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada bila-bila masa, kerana makna perkataan “majoriti” di bawah Artikel 6(7) perlembagaan Sabah tidak bermakna sokongan sekurang-kurangnya 31 daripada keseluruhan anggota Dewan itu yang berjumlah 60 orang.

Beliau berkata pada Pilihan Raya yang lepas, BN-Sabah memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala Parti Warisan Sabah memenangi 21, dan oleh itu secara teknikalnya anak guamnya memenangi majoriti atau kebanyakan daripada kerusi dalam Dewan, dan selaras dengan Artikel 6(7), pemimpin parti politik yang berdaftar berhak untuk dilantik sebagai Ketua menteri.

“Mengikut Perlembagaan, itu sahaja yang diperlukan oleh Tan Sri Musa untuk dilantik sebagai Ketua Menteri. Walaupun selepas enam Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikrar menyokong defendan kedua (Mohd Shafie) pemimpin Parti Warisan Sabah, Tan Sri Musa masih terus mendapat sokongan baki 23 ADUN BN-Sabah, yakni jumlah kerusi yang masih lebih banyak berbanding Parti Warisan Sabah yang hanya mempunyai 21 kerusi,” katanya.

Beliau berhujah bahawa apa yang dimaksudkan Artikel 6(7) sebagai sebuah parti politik, ialah parti politik yang berdaftar dan bukan gabungan parti-parti politik.

Katanya BN-Sabah adalah sebuah parti politik berdaftar manakala Parti Warisan Sabah, DAP, PKR dan UPKO adalah gabungan parti politik semata-mata.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri (Tun Juhar Mahiruddin yang merupakan defendan pertama) membuat kesilapan besar apabila menyimpulkan bahawa gabungan Parti WARISAN Sabah bersama DAP, PKR, UPKO, menjadi sebuah parti politik.

Sementara itu Peguam Negeri Zaleha Rose Pandin yang mewakili Juhar pula berhujah bahawa berdasarkan Artikel 7(1) Perlembagaan Sabah, Musa perlu mengosongkan jawatannya selepas beliau tidak lagi menguasai sokongan majoriti.

“Adalah mandatori bagi plantif (Musa) untuk melepaskan jawatannya selepas beliau kehilangan majoriti, tapi beliau enggan,” katanya dan menambah tidak perlu bagi defendan pertama mengenepikan plantif daripada jawatannya, tapi berdasarkan Artikel 7(1), perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri adalah automatik.

Dengan merujuk kepada kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau berkata kes berkenaan mempunyai persamaan dengan kes ini, dan plantif perlu secara mandatori melepaskan jawatan kabinet selaras dengan arahan Artikel 7(1) dan perlu mengosongkan pejabatnya.

Peguam Datuk Douglas Lind yang mewakili Mohd Shafie pula berhujah bahawa jelas plantif telah hilang sokongan majoriti selepas enam ADUN dalam pernyataan statutori menyatakan sokongan mereka kepada defendan kedua (Mohd Shafie).

“Tidak ada asas perundangan bagi plantif menuntut bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah, memandangkan mandatori baginya untuk meletak jawatan dalam kabinet berdasarkan kepada Artikel 7(1),” katanya.

Douglas berhujah bahawa anak guamnya memperoleh sokongan majoriti dan defendan pertama tahu bahawa plantif kehilangan sokongan itu, oleh yang demikian dia berhak untuk melaksanakan budi bicara prerogatifnya bagi melantik orang yang pada pandangannya memiliki sokongan majoriti.

Musa pada 17 Mei lepas menfail satu writ saman, tapi kemudian menariknya kembali, namun pada Jun lepas, beliau menfail saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan, antaranya daripada mahkamah bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah dilantik pada 10 Mei lepas oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam saman pemula itu Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan penggantinya Mohd Shafie sebagai defendan kedua, dan mahukan pengisytiharan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei adalah tidak sah.

Beliau memohon bagi mendapatkan pengisytiharan yang mengatakan beliau kekal dan sah sebagai Ketua Menteri, dan pengisytiharan bahawa tidak ada penarikan balik atau pembatalan dalam pelantikannya.

Musa juga memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa defendan pertama (Juhar) bertindak tidak mengikut perlembagaan dalam melantik Mohd Shafie ke kabinet negeri dan pengisytiharan bahawa semua yang dilakukan oleh Shafie dan/atau yang dikatakan kabinetnya, selepas ‘apa yang dikatakan sebagai pelantikannya sebagai Ketua Menteri’, adalah terbatal, tidak sah serta tiada kesan dan ‘merosakkan’ dari kedua-dua defendan.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah pada pilihan raya umum ke-14 lepas, namun kehilangan majoriti selepas beberapa ADUN dari partinya, Umno, serta ADUN dari parti komponen BN, UPKO, melompat parti, untuk memberi sokongan kepada Parti WARISAN Sabah yang dipimpin oleh Mohd Shafie.

Sementara itu, prosiding penghujahan lisan tindakan undang-undang oleh Musa untuk mencabar pelantikan Shafie sebagai Ketua Menteri baharu di Mahkamah Tinggi hari ini berakhir selepas peguam kedua-dua pihak berhujah selama lebih empat jam.

Sepanjang tempoh berkenaan, anggota keselamatan berada di posisi masing-masing manakala penyokong kedua-dua pihak dengan sabar menunggu perkembangan terkini prosiding itu yang bermula pada 2.30 petang dan berakhir 6.30 petang tadi di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Bercakap kepada pemberita, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, seramai 120 anggota polis telah ditugaskan mengawal pintu masuk dan jalan utama ke mahkamah, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dan Istana Negeri bagi memastikan tiada sebarang situasi tidak diingini berlaku.

"Untuk prosiding di mahkamah pada hari ini, keadaan keselamatan terkawal. Mereka (penyokong) hanya berkumpul di (luar) mahkamah sahaja. Bagaimanapun, anggota polis turut ditempatkan di beberapa kawasan yang penting diberikan kawalan seperti PPNS dan Istana Negeri.

"Setakat ini (keadaan) terkawal... tiada pergaduhan dan tiada insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Omar berkata, pihaknya akan mengatur penugasan polis bagi memperketat kawalan keselamatan di premis terbabit pada 7 Nov ini, iaitu tarikh ditetapkan Mahkamah Tinggi bagi membuat keputusan kes saman Musa mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai ketua menteri Sabah baharu.

- Bernama

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan