Header Ads

ads header

Flash News

Penyokong Zahid kumpul di luar SPRM tanda solidariti


PUTRAJAYA: Kira-kira 200 penyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkumpul di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, malam ini sebagai tanda solidariti bersama presiden Umno itu.

Kumpulan yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam mula berkumpul sejak 8 malam tadi dan ada yang memakai baju berwarna jingga tertera “Lokap SPRM” bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penahanan Zahid oleh SPRM pada Khamis.

Turut serta dalam kumpulan itu ialah isteri Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya, Datuk Nurulhidayah.

Dalam ucapannya, Hamidah mendakwa Zahid pernah ditawarkan untuk meninggalkan Umno kerana parti itu dikatakan tidak lagi diterima rakyat dan patut dibubarkan, namun suaminya berkata selagi ada nyawa, beliau tidak akan meninggalkan atau menyerahkan Umno kepada Pakatan Harapan.

Sementara itu, Lokman yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, penahanan Zahid ialah cubaan PPBM melemah dan memusnahkan Umno.

“Apabila ‘jeneral’ Umno ditahan, mereka mahu lihat kita lemah dan longlai. Mereka boleh tekan kita, tetapi kita akan lawan, lagi kuat kita lawan demi Umno.”

Lokman mendakwa penahanan Zahid dibuat kerana presiden parti enggan tunduk kepada desakan membubarkan Umno.

“Ada di kalangan pemimpin Umno ditawarkan pihak tertentu dengan jawatan dan wang ringgit untuk meninggalkan Umno,” dakwanya.

Zahid ditahan SPRM berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

SPRM memaklumkan Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM berkata, Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 pagi Jumaat untuk pertuduhan itu.

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan