Header Ads

ads header

Flash News

Tahfiz dan pondok perlu ditutup?



BERITA mengenai pemilik sekolah tahfiz yang terpaksa membayar lebih RM4 juta sebagai gantirugi kepada seorang pelajarnya yang lumpuh, serta kes pencabulan di sekolah tahfiz menarik perhatian rakyat di negara ini baru-baru ini.

Seperti biasa akan berlaku reaksi spontan masyarakat yang mempertikaikan sejauh mana mekanisme kawalan tadbir urus di institusi tahfiz dan pondok yang sememangnya semakin berkembang di seluruh negara.

Pendidikan berteraskan Islam wujud sejak kedatangan Islam di rantau ini kerana Islam sangat menekankan pendidikan.

Ayat pertama yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah “Iqra’” atau “Bacalah” - memberi maksud pemerolehan ilmu secara berterusan yang menjadi tunjang kepada pembangunan individu dan umat Islam.

Zaman Kerajaan Melayu Islam abad ke-15 menyaksikan pendidikan Islam dilaksanakan secara tidak formal di masjid dan surau, hinggalah ke abad ke-19 pembelajaran agama Islam mula diinstitusikan dalam sistem pondok dan madrasah.

Kini pendidikan Islam menjadi sebahagian daripada pendidikan formal, disamping kewujudan sekolah tahfiz dan pondok sebagai alternatif kepada pendidikan sedia ada.

Jika dilihat sepintas lalu institusi tahfiz dan pondok ini, tanggapan umum adalah ia satu tempat untuk pelajar menghafal al-Quran. Kepercayaan bahawa mereka yang menghafal al-Quran akan mendapat tempat di syurga merupakan antara sebab utama mengapa ibu bapa memilih institusi tahfiz untuk anak mereka.

Namun begitu perlu juga difahami bahawa terdapat beberapa kategori tahfiz, iaitu tahfiz sepenuh masa untuk menghafal al-Quran, Tahfiz Agama yang menggabungkan program hafazan al-Quran dengan pengajian ilmu teras agama dan Tahfiz Integrasi (Akademik) yang menawarkan kurikulum kebangsaan kepada para pelajar mereka.

Selain itu, terdapat juga Tahfiz Sains yang mengintegrasi aliran sains dalam pengajian tahfiz, seperti Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, dan Tahfiz Pemulihan Akhlak yang menumpukan kepada pemulihan dan pemantapan akhlak di samping menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama.

Pelbagai isu yang dihadapi oleh sekolah tahfiz dan pondok di negara ini mendorong provokasi supaya institusi pendidikan tertua ini dikawal dengan lebih ketat, malah ada yang mencadangkan supaya ditutup terus.

Ketiadaan pensijilan dan akreditasi, masalah infrastruktur, kurikulum yang tidak selaras serta kualiti guru dan pentadbir adalah antara cabaran yang dihadapi oleh institusi tahfiz dan pondok.

Persoalannya, mengapa tampak begitu sukar untuk memastikan kualiti institusi tahfiz dan pondok ini dipertingkat, ataupun paling tidaknya sama kualiti dengan pendidikan arus perdana? Mengapa pihak berwajib seperti tidak mengambil langkah serius dalam menangani pelbagai isu yang melanda institusi tahfiz dan pondok?

Sebelum sesiapa pun menuding jari ke mana-mana arah, sebenarnya usaha yang berterusan telahpun dijalankan oleh pelbagai pihak, sama ada pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri mahupun agensi yang relevan dalam mengawal selia kedua-dua institusi ini.

Terbaharu pada Disember 2017, Kementerian Pendidikan telah melancarkan dokumen Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) khususnya untuk memantapkan institusi tahfiz dan pondok secara berterusan yang memerlukan usaha secara kolektif daripada semua pihak.

Memetik aspirasi yang dinyatakan dalam dokumen Pelan Induk PISH, pelan ini adalah satu inisiatif yang menggabungkan latihan kemahiran dan pendidikan agama ke arah pembentukan masyarakat yang berilmu, beriman, bertakwa dan mempunyai nilai insani demi kesejahteraan dalam kehidupan.

Hasrat ini dimanifestasikan dalam pernyataan dasar pertama Pelan Induk PISH agar semua pelajar tahfiz dan pondok perlu diberikan ilmu kemahiran TVET dan keusahawanan.

Pelan ini mencadangkan peningkatan kualiti dari segi kurikulum dan kawalan, peluasan akses melalui usaha terancang bagi memberi peluang, kesamarataan dan keadilan sosial kepada masyarakat, perkongsian strategik pelbagai agensi, institusi dan masyarakat serta pengantarabangsaan.

Pelan Induk PISH ini adalah salah satu komponen Pembelajaran Sepanjang Hayat yang sangat dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan.

Sekiranya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancangkan di dalam Pelan Induk ini, pelajar institusi tahfiz dan pondok akan mendapat kemahiran dalam pelbagai bidang sebagai nilai tambah kepada ilmu agama yang diperolehi melalui pelbagai inisiatif.

Latihan kemahiran dan keusahawanan yang fleksibel akan diberikan mengikut kesesuaian dan kesediaan mereka.

Pelajar tahfiz dan pondok juga akan berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka di institusi pendidikan tinggi, justeru memastikan bahawa pendidikan mereka tidak terhenti selepas mendapat pendidikan asas di tahfiz dan pondok.

Langkah ini akan memberi jaminan bahawa lepasan tahfiz dan pondok akan terus memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara, serta menyediakan mereka untuk cabaran global.

Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah pantas untuk memastikan Pelan Induk PISH ini dilaksanakan secara serius bagi memastikan anak-anak kita di institusi tahfiz dan pondok diberikan akses kepada pendidikan berkualiti dan tidak lagi dianggap sebagai ‘pendidikan kelas kedua’.

Usaha kolektif diperlukan daripada ibu bapa, masyarakat, institusi pendidikan tinggi, Jabatan Agama Islam Negeri, agensi pusat serta sektor swasta, selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

Dengan sandaran unsur Islam yang kukuh dalam pelbagai dasar serta keperluan negara, besar harapan agar pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Induk PISH ini dapat mempersiapkan generasi kini dengan pengetahuan agama, nilai tanggungjawab sosial yang tinggi serta ilmu kemahiran dan keusahawanan supaya mereka mampu mendepani cabaran global serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.


MR : Ada pihak tertentu rasa Tahfiz ini mengacam kedudukan mereka, jadi lebih baik dibiarkan tahfiz hdiup sendiri tanpa apa-apa bantuan....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

5 ulasan:

  1. Perlembagaan Malaysia telah menjamin peruntukan kewangan untuk program dan aktiviti Islam untuk umat Islam.

    Masalah sekarang ialah siapa yang sedang memerintah negara kita dan adakah ideologi pemerintah mesra Islam atau anti-Islam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekolah tahfiz sepatutnya mendapat peruntukan kewangan dari kerajaan yang memerintah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

      Padam
  2. kera jaan yang anti islam ada sedikit masaalah akan diperbesarkan,kera jaan sendiri yang gukup sial pasal tak henti jee jadi kera jaan

    BalasPadam
  3. Biasalah , segala kesilapan dijadikan alasan untuk menghancurkan institusi itu dan bukannya untuk diperbaiki.
    Tahniah kerajaan PH dan mereka yang menyokongnya. Inilah hadiah yang kamu dapat. Esok nanti anak kamu buta Al Quran kamu masuklah dalam kubur dalam gelap gulita seperti orang kafir lain.

    BalasPadam
  4. Yang paling gembira melihat sekolah tahfiz dihapuskan ialah puak munafik liberal bangsat dan puak kafir harbi laknatullah.

    BalasPadam