Header Ads

ads header

Flash News

YB pun gagal mengawal nafsu!


BANGUNAN Parlimen menjadi kawasan larangan merokok mulai Isnin lalu, dan hari itu lapan dikompaun kerana melanggar larangan berkenaan.

Lucu, salah seorang daripada mereka yang dikenakan kompaun itu adalah wakil rakyat @ MP @ YB.

Lucu? Ini bukan perkara lucu, tetapi membuktikan betapa payahnya penagih tembakau untuk berpisah dari rokok. Hatta pembuat undang-undang pun melanggar peraturan!

Sekiranya di Parlimen pun penagih tembakau gagal mengawal nafsu, apakah ada jaminan bebas asap apabila peraturan serupa dikuatkuasakan di semua restoran mulai tahun depan?

Kerajaan telah mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2019 semua restoran – termasuk gerai makan di tepi jalan – seluruh negara menjadi kawasan larangan merokok.

Suka sangat saya mendengar pengumuman tersebut. Almak-lumlah selama ini kenikmatan teh tarik dan roti canai saya sering diganggu oleh bau asap rokok.

Walaupun ada tanda ‘dilarang merokok’, ramai penagih tembakau tidak peduli menghisap dan menghembuskan asap, dan pemilik restoran tidak berbuat apa-apa.

Jika tuan punya restoran pun tidak berani bertindak, pelanggan lain – termasuk saya – terpaksa mengalah, sebab saya tidak ada ilmu kebal untuk menampar perokok yang kurang ajar itu!

Sekiranya saya ada keberanian dan menampar, undang-undang tidak akan menyebelahi saya. Jika dibawa ke mahkamah saya pula yang bersalah – dan didenda – kerana berkasar dan mencabul hak pengguna @ perokok.

Hak saya untuk menikmati teh tarik dan roti canai dicabul, dan dikotori asap rokok, tidak siapa pun ambil kisah.

Demikian juga halnya dengan beberapa kawasan awam yang selama ini telah diisytiharkan sebagai zon larang merokok tetapi ada sahaja asap tembakau mengganggu pandangan dan pernafasan.

Isunya di sini bukan peraturan atau undang-undang. Isu sebenarnya ialah penguatkuasaan. Mudah sahaja kita isytiharkan kawasan sekian-sekian sebagai bebas asap, tetapi tanpa ketegasan penguatkuasaan, asap akan terus berkepul mencemar alam

Di kawasan Parlimen pada hari pertama itu Kementerian Kesihatan menghantar 20 anggota untuk memantau lokasi-lokasi strategik.

Kata Ketua Sektor Kawalan Tembakau, kementerian berkenaan, Dr Ariana Hasan, antara tempat yang dipantau ialah sekitar kafeteria blok utama, tempat rehat para YB Dewan Rakyat, dan ruang telaga udara.

Di Parlimen, untuk sehari, memang kementerian boleh menyediakan 20 pegawai untuk memantau. Itu pun ada yang degil dan tidak mempedulikan amaran.

Tetapi betapa halnya di restoran dan gerai makan yang jumlahnya beribu-ribu? Saya yakin pihak kementerian tidak mempunyai cukup kakitangan untuk memantau.

Hakikatnya ialah kita kini mempunyai lebih 5 juta perokok, yang menurut Kementerian Per-dagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, menghisap hampir 17 bilion batang rokok setiap tahun.

17 bilion batang! Sekiranya purata sebatang rokok harganya 50 sen, kira sendiri berapa banyak duit kita dibakar menjadi asap setiap tahun, pasti lebih dari RM2.6 bilion. Di Singapura harga sebatang rokok ialah 42.7 sen (kira-kira RM1.30).

Tidak mudah untuk mem-bebaskan kita dari asap tembakau. Selain menambah zon bebas asap, menaikkan harga rokok pun tidak menjamin orang anti-rokok.

Kerajaan akan menaikkan harga rokok mulai bulan depan. Kali terakhir harga rokok naik ialah pada 2015, iaitu RM10 bagi kotak 20 batang.

Kempen anti-rokok diadakan dari semasa ke semasa. Kempen kata ‘Tak Nak’ tetapi penagih tembakau tetap kata ‘Nak’, maka asap masih menyakitkan mata dan menyesakkan hidung.

Kotak rokok kita ada ‘Amaran Kerajaan Malaysia: Merokok Membahayakan Kesihatan’; disertai gambar jantung hitam legam akibat merokok. Tetapi, orang merokok juga.

Ada negeri, termasuk Selangor, mengharamkan rokok ke atas orang Islam. Tetapi tidak ada seorang pun yang dihukum kerana merokok. Malah kilang rokok terbesar – juga kilang arak – terletak di negeri berkenaan. Ini bukan lucu!

Kalau ada ketegasan dan kesungguhan, kerajaan boleh terus mengharamkan rokok, seperti mengharamkan dadah. Tetapi nanti ada pula orang kata mengharamkan rokok telah mencabul hak asasi umum.

Lagi pun tentu tidak mudah untuk kerajaan lama atau kerajaan baharu mengharamkan rokok, sebab seperti yang semua orang tahu rokok adalah penyumbang cukai kedua terbesar, tahun lalu jumlahnya RM3.62 bilion.

Pendek kata, baik kepada kerajaan mahu pun kepada penagih, rokok sentiasa pada status ‘benci tetapi rindu’.

Kepada yang tidak merokok, bersabarlah. Jangan marah, nanti kena jual!

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan