Header Ads

ads header

Flash News

Gerakan kiri Malaysia mencari arah baharu


Hujung minggu lalu, berlangsung 3 perhimpunan penting bagi politik Malaysia. Pada Sabtu, penyokong PAS, Umno dan sebahagian Islamis serta nasionalis Melayu berkumpul dalam Perhimpunan Menolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Keesokan harinya pula, iaitu Ahad, golongan liberal dan sebahagian penyokong Pakatan Harapan berkumpul menyambut Hari Hak Asasi Manusia yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Badan itu menyokong ratifiikasi ICERD.

Dalam pada itu, Sabtu dan Ahad juga menyaksikan golongan haluan kiri berkumpul dalam Persidangan Antarabangsa Sosialisme yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Namun begitu, ia turut disertai oleh golongan sosialis yang bukan ahli PSM. Di samping badan-badan bukan kerajaan (NGO) berhaluan kiri, terdapat juga penyokong-penyokong PH dari PKR, DAP dan Amanah.

Latar belakang PKR adalah gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang berhaluan kiri. DAP pula secara rasminya pendokong sosialisme demokratik. Amanah pula asalnya Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang juga berhaluan kiri.

Tetapi kini parti yang dianggap satu-satunya kiri di negara ini ialah PSM. PRM dihidupkan semula tetapi tidak seaktif PSM. Ada parti kiri baharu baru ditubuhkan iaitu Parti Murba. Murba bermaksud rakyat kebanyakan.

Dalam pilihan raya umum ke-14, PSM dan PRM, yang disertai oleh bekas aktivis DAP turut bertanding secara bersendirian dan mengalami kekalahan teruk dengan gagal meraih sebarang kerusi serta juga kehilangan wang deposit.

Banyak pihak berpendapat tindakan PSM bertanding secara bersendirian adalah suatu kesilapan kerana suasana pilihan raya umum itu adalah pertarungan langsung antara Barisan Nasional dan PH dengan PAS sebagai kuasa ketiga. Tidak ada tempat bagi parti lain seperti PSM.

Dalam pada itu, pada asalnya PSM tidak mahu menentang calon PH. Tetapi ia hendak bertanding di lebih kawasan daripada yang ditawarkan oleh PH. Mereka juga mahu bertanding atas lambang sendiri. PH hanya bersedia untuk menawarkan 1 kawasan Parlimen di Sungai Siput dan 1 kawasan negeri di Selangor. Tetapi PSM mesti menggunakan lambang PKR.

Ini kerana dalam pilihan raya umum ke-12, PSM berjaya menang 1 kerusi Parlimen dan 1 kerusi negeri dengan menggunakan lambang PKR. Pada pilihan raya umum ke-13, PSM sekali lagi mempertahankan kerusi parlimennya dengan menggunakan lambang PKR, tetapi kalah dalam pilihan raya negeri kerana penyertaan PAS yang memecahkan undi Pakatan Rakyat.

Andai kata PSM menerima tawaran PH dengan hanya bertanding 1 kerusi Parlimen dan 1 kerusi negeri, parti itu sudah merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Dalam persidangan Ahad lalu, antara perkara yang dibincangkan adalah hala tuju PSM dalam Malaysia Baharu. PSM mengakui kesilapannya dalam pilihan raya lalu iaitu bagaimana mereka tidak menyangka kemampuan Tun Dr Mahathir Mohamad meraih sokongan banyak pengundi hingga boleh membawa kepada kemenangan PH. Selain itu, PSM juga tidak menyangka PH akan menggunakan 1 lambang. Mereka tidak fikir DAP boleh melepaskan lambang roket dan menggunakan logo PKR.

Realitinya PSM seperti juga PRM berpuluh-puluh tahun lamanya tidak dapat menang sebarang kawasan secara bersendirian. Bukan saja sosialisme merupakan ideologi yang tidak dapat difahami oleh rakyat tetapi banyak orang berasa fobia terhadapnya kerana ia dikaitkan dengan komunisme.

Maka dalam persidangan itu dibincangkan apakah yang patut dilakukan PSM untuk masa akan datang. Mereka sudah mengatasi rasa kekecewaan untuk terus bergerak. Dari segi aktiviti membantu masyarakat dan membela orang susah, PSM bergerak terus dengan ahli-ahlinya komited dan dedikasi terhadap perjuangan. Bukan saja aktivis teras parti itu tidak terjejas dengan kekalahan pilihan raya lalu tetapi malahan keahlian parti itu bertambah sejak PH menjadi kerajaan.

Selama ini PSM lebih merupakan badan yang menggerakkan kerja-kerja membantu masyarakat hinggakan ramai menyifatkannya sebagai NGO yang tidak berminat untuk berpolitik dan memperoleh kuasa.

Isu ini ditimbulkan dalam perbincangan mengenai peranan golongan kiri dalam Malaysia Baharu. Untuk kembali bersama PH adalah suatu yang tidak dapat dilakukan kerana mereka sudah memilih untuk bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya lalu.

Apa yang dialami PSM itu bagaimanapun perlu dilihat dalam konteks kedudukan ideologi sosialisme kontemporari di peringkat global. Dalam persidangan itu, wakil dari parti atau pertubuhan kiri luar negara turut hadir. Mereka dari Filipina, Indonesia, India, Singapura, Sepanyol, United Kingdom, Brazil dan Australia.

Perbincangan pertama berhubung kesan kepresidenan Donald Trump serta kebangkitan gerakan populis haluan kanan jauh (far right) yang turut melibatkan pada kecenderungan dunia terhadap fahaman kebangsaan sempit, perkauman dan keagamaan ekstrem.

Maka fenomena politik global ini juga dikaitkan dengan kedudukan sistem kapitalisme yang berbeza daripada dahulu tetapi kekal mengancam manusia sejagat, ditambah pula dengan isu-isu alam sekitar serta cengkaman teknologi baharu termasuk soal Revolusi Industri 4.0.

Keprihatinan adalah terhadap nasib pekerja seluruh dunia yang kebanyakannya tetap tertindas. Lebih-lebih lagi muncul segolongan pekerja yang tidak mempunyai majikan, bertindak membekalkan khidmat secara “freelance” tetapi tidak dilindungi oleh kesatuan, dan mudah untuk dieksploit oleh mereka yang mengupahnya.

Cabaran terhadap pekerja abad ke-21 ini menuntut golongan sosialis untuk melihat kembali pemikiran Karl Marx supaya diambil inspirasi bagi memahami fenomena kapitalisme kontemporari, yang tentunya berbeza daripada apa yang dialaminya pada abad ke-19.

Persidangan diberitahu sumbangan utama Marx adalah mengenai konsep kapital atau modal. Ia dilihat terus relevan walaupun eksperimen sosialisme dalam bentuk Soviet Union gagal. Ekoran kejatuhan Soviet, gerakan kiri mengalami fragmentasi yang dituntut supaya bersatu, atau diselaras dalam perjuangan menghadapi kapital.

Untuk itu, gerakan kiri Malaysia khususnya PSM perlu mencari haluan yang berdepan dengan kerajaan PH. Mereka wajar memperjuangkan kepentingan pekerja dan rakyat memandangkan PH sedang memilih haluan yang bersifat neoliberalisme untuk negara ini.

PSM sudah tidak boleh bergerak secara NGO masyarakat tetapi sebaliknya menjadi parti politik yang mampu meraih sokongan massa. Walaupun di Malaysia politik bergerak mengikut garis kaum, tetapi sebaliknya PSM wajar mempertahankan sikap membela kelas.

Untuk itu, PSM menyatakan keperluannya untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai orang Melayu melalui projek yang dinamakan sebagai marhaen. Istilah marhaen yang dicipta Sukarno merujuk pada kelas paling bawah dalam masyarakat, antaranya petani dan nelayan, berbeza dengan golongan pekerja atau buruh.

Melihat kepada kehadiran anak-anak muda dari pelbagai kaum dalam persidangan itu, maka masa depan PSM dan gerakan kiri negara ini cerah. Ini kerana sudah banyak tahun, gerakan kiri didominasi warga emas. Dalam masa 5 tahun ini, dapat disaksikan sama ada sosialisme dapat berperanan dalam Malaysia Baharu. Kalau PH dilihat sebagai pengamal sistem ekonomi neoliberal, maka gerakan kiri perlu menjadi pengimbangnya untuk membela kebajikan rakyat umum.

ZIN MAHMOOD


MR :  Perjuangan PSM tak kemana, malah PH sendiri mengkhinati PSM dalam pengagihan kerusi


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Sistem Mudah Untuk Anda Menjana Pendapatan Online Secara Sambilan
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 MENCARI SESIAPA yang berminat niaga di shopee peluang raih pendapatan rm lumayan setiap hari lawati bit.ly/2A86ypP





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan