Header Ads

ads header

Flash News

Kelantangan mahasiswa mengubah sejarah negara


Mahasiswa adalah kompenen utama yang harus dimanfaatkan suara, kudrat dan ideanya. Mahasiswa harus bertuankan kepada idealisme yang dianuti, bukannya emosi yang dituruti dalam menilai sesebuah permasalahan. Semangat ingin tahu seharusnya mekar di jiwa dengan penuh kesuburan. Budaya pembunuhan karakter dan bermain sentimen wajar dibantutkan serta merta.

Menyoroti sejarah mahasiswa di Malaysia era 60-an dan 70-an yang disebut sebagai zaman keemasan mahasiswa membuktikan ia adalah kumpulan yang sangat efisyen dalam menyatakan pandangan dan pendirian di persada kampus mahupun nasional.

Hal ini dapat kita lihat melalui beberapa siri demonstrasi yang dilakukan mahasiswa ketika itu, seperti demonstrasi mengutuk pengeboman Hanio-Haiphong oleh Amerika Syarikat pada 1966, demonstrasi mengutuk kerajaan Filipina atas tuntutan Sabah (1968), demonstrasi papan tanda yang dilakukan di Universiti Malaya bagi menuntut pentadbiran universiti menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi pentadbiran universiti dan demonstrasi anti Tunku Abdul Rahman (1970).

Bukan setakat itu, sekiranya kita mengikuti tulisan Muhammad Abu Bakar di dalam bukunya “Mahasiswa Menggugat”, ia banyak menerbitkan kisah perjuangan dan konfrontasi antara PBMUM dan PMUM yang berbeza pandangan tetapi terpancar idealisme dan intelektualisme di dalam polemik itu. Tokoh terkenal seperti Sanusi Osman, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nordin Abd Razak, Syed Hamid Ali dan Tan Sri Khoo Kay Kim antara yang lahir daripada ruang pertembungan idea ini.

Mereka lantang bersuara dan berani menyatakan pandangan dalam memberikan sebarang komentar demi pembaikkan universiti dan negara. Mereka menjadi kumpulan pendesak (pressure group) yang cukup utuh dan aktif.

Budaya wacana kritis menjadi amalan dan solusi diberikan secara tuntas. Partisipasi mahasiswa yang majoritinya cakna isu semasa kampus dan nasional memberi tamparan hebat kepada pemerintah khususnya. Segala idea dibentang dan diwacanakan ketika Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) belum lagi diwujudkan untuk menyekat idealisme, aktivisme dan inetelektualisme mahasiswa.

Mahasiswa dan peranannya


Jika kita memaknai tuntutan makna sebuah falsafah, ia menuntut kita untuk berfikir secara tuntas dan sedaya upaya mencari kebenaran yang hakiki. Ia memberikan kita suatu naratif secara idealnya mahasiswa harus mempunyai ciri-ciri sebegini. Ia akan mengembangkan ilmu pengetahuan tanpa limitasi dan perbanyakkan pergeseran idea untuk membuahkan idea yang lebih matang.

Perbincangan seumpama ini tidak tertakluk hanya di dalam bilik atau dewan kuliah sahaja, tetapi ia semakin marak apabila kita melangkah keluar dari tempat tersebut. Universiti menjadi ruang untuk berdiskusi dan pemberi solusi kepada permasalahan yang dirungkaikan. Misalnya seperti Diskopi dan Psy-Youth UKM di Universiti Kebangsaan Malaysia, Projek Ekspresi dan The Thinkers di Universiti Malaya serta Buku Jalanan UIA.

Topik perbincangan mereka adalah berkaitan idea asas setiap ideologi seumpama marxisme, sekularisme, liberalisme dan lain-lain yang wujud di muka bumi ini. Juga implementasi ekonomi neo-liberal di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, permasalahan jurang kemiskinan yang begitu membimbangkan dan perbezaan pandangan para ulama soal politik serta pengamalan agama dalam kemajmukan bangsa di sesebuah negara.

Medium ini digerakkan oleh sekelompok mahasiswa secara kolektif untuk memberi nilai tambah kepada mahasiswa yang lain. Barangkali ini merupakan mekanisme pendedahan kepada masyarakat kampus berkaitan aktiviti yang menggasak intelektualisme dan aktivisme mereka.

Mahasiswa dan perubahannya

Apabila kita berbicara soal perubahan, ungkapan Anwar “Barangsiapa yang takutkan risiko, jangan pernah sesekali berbicara soal perjuangan!”.

Mahasiswa memiliki peranan yang besar dalam melakukan perubahan sosial, ekonomi dan politik. Kita dapat melihat kemampuan mahasiswa dalam pelbagai peristiwa di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Peristiwa penggulingan Juan Peron di Argentina pada 1955, Perez Jimenez di Venezuela (1958), penggulingan Soekarno di Indonesia (1966), jatuhnya Ayub Khan di Pakistan (1969), membuktikan mahasiswa memiliki kekuatan yang sangat besar jika mereka berperanan dengan baik. Kejatuhan Suharto pada 21 Mei 1998, yang mengakibatkan rekonstruksi fundamental dalam nuansa politik di Indonesia, juga tidak bisa dilepaskan dari keterlibatan mahasiswa di dalamnya.

Sosok tubuh yang kurus tetapi punyai impian yang sangat besar, Joshua Wong antara contoh lainnya. Joshua memimpin sebuah gerakan Revolusi Payung yang bersifat pro-rakyat menunjuk perasaan selama 75 hari demi mendesak mengembalikan hak demokrasi untuk memilih pemimpin baru mereka di Hong Kong tanpa intervensi Beijing. Sungguh luar biasa.

Penting juga untuk dijadikan sebagai sebuah catatan, mahasiswa dalam hal ini adalah karakter penting dalam setiap aspek. Kekuatan yang dimiliki oleh mahasiswa pada dasarnya adalah kekuatan pengetahuan, keberdayaan untuk bersuara dan kualiti pada gaya fikirnya.

Mengubah kerajaan bukanlah semata mata melalui mahasiswa. Kita punyai pelbagai alternatif lain. Namun itu hanyalah sebuah sejarah yang menggambarkan pelbagai nostalgia dan respon kepada sebuah agenda reformasi institusi. Peristiwa penting di atas adalah suatu petanda mahasiswa merupakan sebuah aset yang bernilai buat negara.

Barangkali tindakan untuk berdemonstrasi dan berpanas-panasan di jalanan adalah jalan terbaik untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan, maka dipersilakan. Mekanisme perjumpaan secara tertutup ditolak secara mentah-mentah. Apatah lagi jika pelbagai surat yang dihantar, tetapi tidak terjawab. Maka mahasiswa memilih untuk berdemonstrasi. Jalan terakhir dalam mengangkat suara mereka.

Namun pada hari ini, Malaysia mempunyai suatu iklim yang baru. Keterbukaan Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengamalkan dasar buka pintu untuk berbincang secara tuntas di pihak akar umbi adalah sesuatu yang harus dipuji.

Misalnya pertemuan Maszlee Malik di Restoran Amjal bersama aktivis mahasiswa seperti Asheeq Ali, Taqiyuddin Shahriman, Naim Brundage dan ramai lagi, penubuhan JK Teknikal Auku yang dilibatkan aktivis mahasiswa bersama dan Dialog berkenaan Auku di Putrajaya sama ada mahu dipinda atau dimansuh secara keseluruhan. November bulan lepas, parlimen bersetuju mengumumkan pindaan pada seksyen 15 dan 16 Auku.

Akhir sekali, kampus universiti bukanlah satu pusat jagaan kanak-kanak yang gagal memahami serta membezakan antara baik dan buruk. Sebaliknya ia adalah menara gading yang menjadi simbol kehebatan intelektual masyarakat. Universiti adalah sebuah gelanggang untuk melahirkan reformis serta pemikir dalam apa jua bidang dan bukannya sekadar pemain industri semata-mata dalam peringkat profesion pekerjaan. Melalui semangat ini, bagaimana caranya untuk kita menghidupkan nuansa kampus yang kita fahami?

Luthfi Yusri editor
Nadi Mahasiswa Malaysia
dan aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam.






Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 MENCARI SESIAPA yang berminat niaga di shopee peluang raih pendapatan rm lumayan setiap hari lawati bit.ly/2A86ypP
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan