Header Ads

ads header

Flash News

Pelihara adab dalam menuntut ilmu


Ilmu perlu dituntut dengan penuh adab demi meraih keberkatannya hingga penuntut bukan saja mendalami dan menguasai sesuatu bidang atau disiplin, bahkan bersifat merendah diri seperti resmi padi yang semakin berisi, semakin tunduk.

Melalui adab yang dijaga, akan terserlah kesungguhan dan usaha dalam menuntut ilmu kerana kedua-duanya tidak dapat dipisahkan seperti yang diungkapkan oleh Imam Malik RA: “Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu.”

Islam menegaskan terdapat beberapa adab yang perlu dijaga dalam menuntut ilmu kerana ia sangat rapat dengan diri kita sebagai Muslim.

Timbalan Pengerusi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Adlan Abd Aziz, berkata antara adab menuntut ilmu ialah menghormati guru yang menyampaikan ilmu. Adab itu turut menuntut pelajar supaya menggembirakan hati guru kerana ia sebahagian daripada usaha mendapat keberkatan daripada mereka.

“Ada satu adab guru yang menarik, iaitu apabila guru bercerita mengenai hal yang sudah kita ketahui, kita seharusnya berpura-pura tidak tahu.

“Ini kerana apabila kita memberitahu hal itu sudah ketahui, sudah tentu guru akan kecewa,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, penuntut ilmu perlu mengikuti pesanan Rasulullah SAW yang menekankan niat yang betul dan ikhlas dalam menuntut ilmu.

“Sikap itu adalah untuk mengelakkan daripada perasaan riak seperti menginginkan pujian dan menghina mereka yang jahil.

“Malah kita perlu menyedari semua ilmu yang diperoleh sebenarnya ialah rezeki daripada Allah dan bukanlah semata-mata usaha kita,” katanya.

Adlan berkata, seseorang itu perlu berusaha dan bersungguh dalam menuntut ilmu. Sikap rajin perlu diterap kerana ilmu yang dituntut tidak boleh belajar secara ala kadar dan hari tertentu.


Pendakwah, Ustaz Adlan Abd Aziz, ketika ditemui di Balai Berita, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Luangkan masa sebaik mungkin

“Sebagai contoh pelajar universiti, ketika mereka tidak ada kelas atau dibatalkan, ramai yang menghabiskan masa dengan melepak tetapi jika bersungguh menuntut ilmu, mereka tetap membaca buku tidak kira apa yang berlaku kepada kelas mereka,” katanya.

Ini kerana, kata Adlan, termasuk dalam adab menuntut ilmu adalah meluangkan masa sebaik mungkin supaya berlaku penambahan ilmu tidak kira di mana pun berada.

Beliau turut memetik kisah Imam Abu Hatim dengan anaknya, Imam Abdurrahman yang kedua-duanya ialah imam besar dalam ilmu hadis pada kurun ketiga Hijrah.

“Orang bertanya kepada Iman Abu Hatim, mengapa anak kamu begitu alim, lalu beliau menjawab: Anakku belajar denganku di semua tempat, setiap masa sampaikan jika aku masuk ke bilik mandi dia akan membaca dan belajar di luar bilik mandi,” katanya.

Adlan berkata, keluasan ilmu juga memerlukan pelajar untuk mencari guru seramai yang mungkin supaya dapat menjadikannya berfikiran terbuka dan tidak terlalu jumud memahami ilmu hanya melalui satu sudut pandangan.

Selain itu katanya, dalam menuntut ilmu mereka mestilah mempunyai peralatan yang lengkap seperti buku dan alatan menulis.

Adlan turut mengingatkan pelajar terhadap hakikat manusia yang tidak terlepas daripada sifat lupa, apatah lagi ketika sibuk dan fokus dalam menuntut ilmu hingga terlupa untuk berkongsi ilmu yang diterima dengan orang lain.

“Kita mesti berkongsi ilmu yang kita dapat dan jangan kedekut dengan ilmu yang kita ada.

“Ulama dulu berkata, antara keberkatan ilmu adalah kita belajar dan mengajar. Jadi seorang penuntut ilmu bila ada ilmu, dia boleh sebarkan kepada orang lain. Dan apabila diminta untuk mengajar, dia sanggup untuk berkongsi dan tidak menyimpan ilmu itu,” katanya.

Adlan berkata, Islam ialah agama yang begitu teliti sehingga dijelaskan setiap adab ketika menuntut ilmu, sekali gus membuktikan ia perlu dihormati dan dijaga.

“Jika tidak, tanpa adab kita akan buta. Ilmu mampu membuatkan kita meraba mencari panduan hidup. Hanya dengan menjaga adab, maka kita mudah untuk memahami ilmu,” katanya.


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!
 Anda Menghadapi Kolesterol TINGGI!!?? Dapatkan PENCAIR KOLESTEROL DISINI>>>>KLIK SINI<<<<
 Kelas Kek, Roti, Bun, Puff, Danish Dgn Video Chef. Belajar dari rumah. Klik Sini >>>






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan