Header Ads

ads header

Flash News

Jangan Buka Aib Orang, Jangan Dedah Aib Sendiri


...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; ...(Al-Hujuraat 49:12)

Firman Allah SWT

وَلَا تَجَسَّسُواْ

Ayat ini berisi larangan umum untuk mencari-cari keburukan orang lain, mencakupi berbagai macam jenis tajassus (mencari-cari kesalahan, mengintai, mencuri dengar, mencuri pandang dan yang seumpamanya)

Menurut ulama tafsir, tajassus adalah mencari-cari aib dan aurah kaum muslimin. Bererti kita dilarang mencari-cari aib saudara sesama muslim, malah diperintah menutupinya.

Rasulullah ﷺ bersabda:

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Dan barangsiapa yang menutupi aib seorang muslim, Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat".
(HR. Bukhari & Muslim).

Menutupi aib itu bukan bererti bersubahat dan menyetujui perbuatan jahat saudaranya itu tetapi tidak dijaja, tidak disebar dan tidak diberitahu kepada orang lain, kecuali kalau terpaksa dengan maksud untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya kadhi atau pemimpin.

Kalaupun terpaksa didedahkan, itu pun menurut yang diharuskan oleh syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas kepada orang-orang tertentu. Bukannya tersebar hingga orang buta dan orang pekak pun turut tahu. Anak-anak kecil yang belum pandai membacapun pun sudah mendengar dan mengenal kemungkaran orang lain.

Mencari-cari kesalahan itu tetap di larang, telah jelas di dalam ayat di atas, tetapi bila bertemu kemungkaran, wajib pula dicegah...Islam ada cara dan panduannya, para sahabat dan salafussoleh contoh teladannya.

Sebagai contoh, seseorang telah membawa al-Walid bin Uqbah kepada Ibnu Mas'ud, lalu katanya "Ini al-Walid bin Uqbah, janggutnya menitiskan khamar" (maksudnya ada tanda-tanda minum arak). Ibnu Mas'ud berkata, "Sesungguhnya kita dilarang mencari-cari kesalahan, tetapi apabila nampak sesuatu kita menghukumnya"". (al-Kabair hal: 159)

Kita lihat lagi contoh, bagaimana salafussoleh apabila bertemu kemungkaran, dalam keadaan tiada saksi melainkan dirinya sendiri. Dari Tsaur al-Kindi bahawasanya Umar bin al-Khattab berjalan di kota Madinah di waktu malam. Dia mendengar suara lelaki sedang menyanyi di dalam rumah. Maka Umar memanjat dinding rumah dan dia mendapati bersama lelaki tersebut seorang wanita dan lelaki tersebut membawa arak. Umar berkata, "wahai musuh Allah, apakah engkau menyangka bahawa Allah menutupi kemaksiatanmu?"...

Lelaki tersebut menjawab, "Wahai Amirul mukminin, jangan terburu-buru menghukumiku. Jika aku bermaksiat kepada Allah dalam SATU kesalahan, sesungguh engkau telah bermaksiat kepada Allah dalam TIGA perkara.

PERTAMA: Allah berfirman,

وَلَا تَجَسَّسُواْ

"...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang ..."(Al-Hujuraat 49:12). Sedangkan engkau telah mencari-cari keburukan orang.

KEDUA: Allah SWT berfirman,

وَلَـٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰ‌ۗ وَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِنۡ أَبۡوَٲبِهَا‌ۚ

"Dan bukanlah kebaktian memasuki rumah-rumah dari belakangnya ". (QS. Al-Baqarah: 189).

Sedangkan engkau telah memanjat dinding dari belakang rumah tanpa izin.

KETIGA: Allah SWT telah berfirman,

لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِڪُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَا‌ۚ

"Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya". (QS. An-Nur: 27).

Sedangkan engkau telah masuk rumahku tanpa mengucapkan salam".

Lalu Umar berkata, "Apakah kamu akan mendapat kebaikan jika aku memaafkanmu?". Dia menjawab, "Ya, demi Allah wahai Amirul mukminin jika engkau memaafkanku, aku tidak akan mengulangi perbuatan semacam ini untuk selamanya".

Maka Umar memaafkannya lalu keluar dan meninggalkannya. (Dikisahkan oleh al-Kharaithi dalam Makarim al-Akhlaq no.: 513).

Lihatlah contoh yang telah ditunjukkan Khalifah Umar Al Khattab, sedangkan waktu itu beliau berkuasa untuk menghukum, tetapi kerana tidak cukup syarat, beliau melepaskan walaupun amat nyata orang itu bersalah. Tetaplah berpegang dengan firman Allah dengan penuh taqwa, ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; ...(Al-Hujuraat 49:12)

Ayat larangan mencari atau mengintai kesalahan itu tidak sama sekali menafikan amar makruf Nahi Mungkar, kerana ia adalah satu kewajipan. Sabda Rasulullahﷺ, “Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman” (Muslim)

Apa yang ditekankan dalam ayat larangan tajassus ini adalah cara atau disiplin dalam mencegah kemungkaran. Dan inilah yang seringkali dilanggar hingga membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

Rancangan gossip, terjah dan sebangsa dengannya di kaca TV, jika mencari-cari salah, tetap salah. Lebih-lebih lagi menyebarkan salah orang yang belum tentu salah. Perbuatan menggosip itu sudah haram lagi berdosa, yang menonton atau mendengarnya pun turut berdosa sama.

Mari kita lihat pesanan Al-Hafizh Ibnu Hibban, "Yang harus dilakukan setiap orang berakal adalah mencari keselamatan, tanpa mencari-cari aib orang lain, sambil meluruskan aib dirinya sendiri. Sebab siapa yang dapat melihat dan memperbaiki aib dirinya tanpa mencari-cari aib orang lain, bererti dia telah mententeramkan dirinya dan tidak membebani hatinya. Selagi dia melihat aib dirinya, tentu dia tidak nampak jika melihat aib serupa pada diri saudaranya."

Berbalik soal tajassus, pesanan Rasulullah ﷺ kepada umat, dalam sebuah hadis daripada Mu’awiyah: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. Kata Abu Darda: Itu adalah perkataan yang Muawiyah dengar daripada Rasulullah ﷺ, ALLAH memberikan manfaat kepadanya dengan perkataan tersebut. (Riwayat Abu Daud. dengan sanad sahih)

Rasulullah ﷺ berpesan lagi:

لاتجسسواولاتحسسواولاتباغضواولاتدابرواوكونوعبادالله اخوانا

"Janganlah kalian mencari-cari keburukan dan mengintai kesalahan orang lain, janganlah saling membenci, dan juga saling membelakangi. Jadilah kalian sebagai hamba Allah yang bersaudara."

Imam Al-Auza'i mengatakan, perkataan التجسس bermaksud mencari-cari sesuatu, sedang perkataan التحسس pula bermakna mencuri dengar perbuatan seseorang atau sesuatu kaum, sedangkan mereka tidak menyukai hal itu, atau mendengar dari sebalik pintu-pintu mereka. Adapun perkataan التدابر bermaksud memutuskan hubungan. Demikian yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim. (Tafsir Ibnu Katsir, Juz 26, hal 490)

Sedangkan aib sendiripun Allah larang kita mededahkannya, inikan pula aib orang lain.

"Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla. (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615, disahihkan dengan syarat Bukhari dan Muslim)

Marilah sama-sama kita taati perintah Allah dan Rasul ini, agar kita terhindar dari dosa, termasuk dosa bersubahat, dalam perkara mencari-cari keaiban orang lain dengan apa cara sekalipun. Bertaqwalah kepada Allah, moga kita selamat di akhirat nanti.

محمد فضلي بن يوسف


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!
 Anda Peminat Kopi? Dapatkan Kopi Ginseng Tongkat Ali Disini >>KLIK SINI<< Sedap Pekat Melekat KAW KAW. PENGHANTARAN PERCUMA.
 Sakit BerTAHUN-TAHUN, Akhirnya SEMBUH apabila dia terjumpa SESUATU yang ...... >>KLIK SINI<< untuk info lanjut.
 Kelas Kek, Roti, Bun, Puff, Danish Dgn Video Chef. Belajar dari rumah. Klik Sini >>>






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan