Header Ads

ads header

Flash News

BN, Warisan sama kuat di Kimanis, kata penganalisis


PETALING JAYA: Pertandingan 1 lawan 1 membuka peluang sama rata kepada parti bertanding untuk memenangani kerusi Parlimen Kimanis dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung 18 Jan ini, kata seorang penganalisis politik,

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Barisan Nasional (BN) dan Warisan mempunyai kekuatan yang seimbang berikutan tidak berlakunya pecahan undi susulan ketiadaan parti lain yang bertanding, termasuk Bebas.

“Oleh kerana BN bukan lagi kerajaan persekutuan dan bukan juga kerajaan negeri, peluang BN mengekalkan kerusi dikatakan adalah sama kuat dengan peluang Warisan merampas kerusi tersebut.

“Walaupun Kimanis adalah kubu kuat BN sebelum ini, tetapi senario politik nasional dan juga Sabah telah banyak berubah sejak pilihan raya umum ke-14.


Azmi Hassan.
“Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa BN merupakan ‘underdog’ kali ini kerana jentera kempen mereka perlu bekerja lebih dan Umno Sabah juga tidak sekuat seperti dahulu,” katanya kepada FMT.

Azmi juga berkata, Kimanis bukan lagi kubu BN memandangkan parti itu hanya menang dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum lepas.

“Sememangnya kawasan pantai barat Sabah dianggap kubu kuat BN, tetapi majoriti yang amat sedikit diperolehinya pada pilihan raya umum ke-14 jelas menunjukkan kubu itu boleh dicabar.

“P175 Papar yang sebelum ini juga merupakan kubu kuat BN jatuh ke tangan Warisan pada pilihan raya umum lepas walaupun dengan undi majoriti tipis.

“Kedudukan Papar yang bersebelahan dengan Kimanis memberi persepsi bahawa Warisan mempunyai harapan untuk merampas Kimanis daripada BN,” katanya.

Azmi berkata, senario politik pasca pilihan raya umum ke-14 tidak lagi memberi penekanan kepada kekuatan kerusi tradisi kerana keputusannya menunjukkan pengundi bersedia membuat keputusan yang mengejutkan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto pilihanrayanya akan mencorakkan keputusan PRK kali ini, Azmi berkata, kegagalan itu kurang dirasai oleh rakyat di Sabah berbanding Semenanjung dan memberi sedikit kelegaan kepada parti pemerintah untuk berkempen.

“Masalah janji manifesto PH yang tidak dapat ditunaikan lebih terasa bahangnya dalam politik Semenanjung berbanding politik Borneo.

“Memang benar isu janji MA63 dan royalti minyak adalah perkara sensitif yang tertunggak, tetapi oleh sebab perbincangan sedang berjalan dan Warisan merupakan sebahagian daripada PH, maka keadaan itu boleh dijadikan alasan bahawa 2 janji itu mampu ditunaikan,” katanya.

Mengulas sama ada kerjasama PAS dengan Umno menerusi Mufakat Nasional akan memberi kelebihan kepada BN, Azmi berkata, pengaruh kerjasama itu sangat minimum dan tidak signifikan di Kimanis.

“Pengaruh PAS di Sabah amat sedikit. Jika diperhatikan PAS hanya bertanding di 8 kerusi Parlimen sebelum ini kerana sedar pengaruh mereka terhad. Muafakat Nasional mungkin ada kesannya, tetapi ia tidak signifikan, terutama sekali di Kimanis.

“Faktor kerjasama itu tidak akan memberi kesan ketara kepada BN, sama ada secara positif atau negatif,” katanya.

BN cuba mempertahankan kerusi yang dimenanginya selama 3 penggal sejak 2004 dengan mempertaruhkan Mohamad Alamin, yang akan dicabar calon Warisan, Karim Bujang.

Terdapat 29,644 pengundi di Kimanis, yang terdiri daripada 52% Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam dan 6% Cina.

PRK Kimanis merupakan PRK ke-2 di Sabah dan ke-10 di negara ini selepas pilihan raya umum Mei 2018.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. Admin izin promo ya ^^
    AjoQQ aman dan terpercaya (y) Whatsapp : +855969190856

    BalasPadam