Header Ads

ads header

Flash News

Strategi BN jauh lebih baik daripada Warisan/PH



Wakil rakyat BN, Mohamad Alamin menjadi pemenang pilihan raya kecil Kimanis dengan majoriti selesa sekitar 2,029 undi, jauh lebih besar daripada kemenangan tipis 156 undi yang diraih Anifah Amin ketika pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

Walaupun memegang tampuk kerajaan negeri, Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal tidak dapat membantu kemenangan calon Warisan, Karim Bujang.

Untuk makluman, kerusi parlimen Kimanis dalam kawasan separuh bandar itu telah dipegang selama bertahun-tahun oleh Anifah, abang kepada pesaing Shafie dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Bagi mereka yang melihat PRK ini sebagai pertarungan proksi antara Musa dan Shafie menyatakan pertempuran itu dibuat di kubu kuat Musa, jauh dari pengkalan Shafie di Sabah Timur.
Iklan

Apa punca kekalahan?

BN menjadikan Pas Sementara Sabah (PSS) sebagai isu utama dan walaupun kedua-dua calon itu ialah bumiputera Islam, ia seakan memberi kesan kepada pengundi bumiputera bukan Islam yang ditakut-takutkan dengan momok "Project IC".

Kemungkinan besar pengundi percaya naratif BN memomokkan PSS akan menjadikan pendatang mendapat kewarganegaraan Malaysia dan menjadi lebih ramai daripada penduduk tempatan.

PSS adalah dokumen baru yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pendatang, menggantikan tiga dokumen sedia ada, iaitu IMM13, sijil "Burung-burung" dan sijil banci.



PSS sebenarnya bertujuan untuk menyelaraskan proses birokrasi dan membolehkan dokumentasi pendatang yang lebih baik di negeri ini. PSS akan dikeluarkan dalam bentuk kad dengan ciri keselamatan biometrik, termasuk cap jari dan gambar pemegangnya, ciri-ciri yang tidak ada pada ketiga-tiga dokumen IMM13, Sijil Banci dan kad Burung-Burung.

Walaupun PSS merupakan inisiatif kerajaan bertujuan menangani masalah pemalsuan dokumen di Sabah, ia membawa kepada kekalahan Warisan.

Di daerah mengundi Simpangan di mana komuniti bumiputera bukan Islam mewakili 73.52 peratus pengundi, terdapat perubahan sebanyak 11.5 peratus undi daripada Warisan kepada BN. Begitu juga di Bandau, di mana masyarakat bumiputera bukan Islam sebanyak 74 peratus, terdapat juga perubahan undi daripada Warisan.

Akibat penyatuan keluarga KDM

Pengundi mungkin juga beralih ke arah BN disebabkan pemimpin Kadazandusun Murut (KDM) seperti Joseph Pairin Kitingan dan adiknya Jeffrey keluar berkempen untuk pembangkang, manakala Warisan tidak mempunyai pemimpin serupa dan mungkin juga terlalu bergantung kepada Shafie.

Adik-beradik Kitingan ini bersaing antara satu sama lain pada PRU14 dua tahun lalu, dan kini strategi penyatuan pemimpin KDM ini bersama sepupu mereka Presiden PBS Maximus Ongkili mungkin membuahkan hasilnya.

BN juga berjaya menarik Anifah kembali berkempen bersama calon Mohamad Alamin, walaupun bekas MP Kimanis itu telah keluar parti.



Bekas ketua menteri Yong Teck Lee dan pemimpin Parti Progresif Sabah juga ikut berkempen.

Justeru, BN mampu membina satu gabungan kuasa anti-Warisan/PH yang dapat memberikan cetak biru untuk kerjasama politik masa depan.

Terdapat juga taktik BN kurang memainkan kerjasama Muafakat Nasional dengan PAS - yang mempunyai faktor tarikan kuat di Semenanjung tetapi agak kurang dialu-alukan di Sabah dan Sarawak, di mana terdapat dakwaan PAS dilihat sebagai parti ekstremis.

Kelahiran semula Umno Sabah


Pemimpin utama Umno seperti presiden Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hasan dan bekas perdana menteri Najib Razak yang menjadi suara di pentas ceramah berkempen turut membantu membawa pengundi keluar dalam jumlah yang besar.

Jumlah pengundi keluar sebanyak 79.92 peratus terbukti menjadi yang tertinggi dalam 10 pilihan raya kecil yang telah diadakan sejak pilihan raya umum 2018.

Di samping itu, pemimpin-pemimpin Umno tempatan seperti Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahlan pula bangkit daripada menjadi pihak yang lemah dan membuktikan Umno Sabah masih kuat walaupun ramai wakil rakyatnya keluar parti pada tahun lalu.



Abdul Rahman yang tidak dapat menahan perasaan mengakui menitiskan air mata kerana Umno Sabah bangkit kembali selepas hampir hancur apabila 16 Adun dan enam MP melompat, sebahagian besarnya menyertai Bersatu Sabah.

Walaupun sebelum ini terdapat ramalan Umno akan berakhir di Sabah, Kimanis dapat membuktikan ia menjadi permulaan pembinaan semula parti di bawah kepimpinan baru Bung dan Abdul Rahman yang berkembang menjadi satu kekuatan yang menggerunkan.

Pengundi Cina kurang penting


Ketika PRK Sandakan pada Mei lalu, pengundi Cina memberikan DAP kemenangan mudah namun kali ini mereka tidak menjadi faktor penting di Kimanis.

Pengundi Cina majoriti di Sandakan, yang mewakili 51 peratus daripada pengundi, sementara di Kimanis, jumlah mereka cuma empat peratus.

Walaupun begitu, Membakut dan Simpangan di mana jumlah pengundi Cina lebih besar turut menyaksikan perubahan undi signifikan daripada Warisan ke BN.

Menariknya, kebanyakan ramalan pakar dan kumpulan penyelidikan seperti Pusat Ilham mengenai keputusan PRK ini tersasar.

Mereka meramalkan kemenangan tipis Warisan atas faktor karisma peribadi Shafie, kecenderungan pengundi Sabah untuk menyokong calon yang dapat menjamin pembangunan berterusan untuk negeri ini dan juga kerana Karim dilihat lebih mesra daripada Mohamad.

Tiada satu pun daripada faktor-faktor ini kelihatannya telah memberi kesan yang signifikan terhadap carak pengundian di Kimanis.

Perlu diingat bahawa walaupun isu-isu nasional dianggap bukan faktor utama, Kimanis terus menjadi kekalahan kelima PH, pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sepanjang enam PRK sejak PRU14.



MR :  PH makin hari makin celaru..


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan