Header Ads

ads header

Flash News

Perubahan kerajaan boleh tanpa pembubaran Parlimen - Pakar Perlembagaan


KUALA LUMPUR: Perkembangan politik semasa yang menyaksikan beberapa mesyuarat tergempar parti politik berlangsung sejak semalam mengingatkan ramai mengenai krisis perlembagaan di Perak.

Episod di Perak itu menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang selepas Menteri Besar hilang kepercayaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Situasi yang sama boleh dalam sistem Perlembagaan Persekutuan membabitkan sokongan di Dewan Rakyat yang mana ketika ini untuk membentuk kerajaan, satu-satu parti atau gabungan parti perlu mendapatkan sokongan 113 daripada 222 Ahli Parlimen.

Krisis pemerintahan di Perak juga membuktikan perubahan kerajaan boleh dilakukan tanpa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perkara yang sama terpakai di Parlimen.

Menurut pakar perlembagaan negara, Dr Muhamad Fathi Yusof, sistem pilihan raya Malaysia berasaskan individu calon, bukan berasaskan parti.

"Walaupun seseorang Ahli Parlimen bertanding dan menang menggunakan lambang parti, dia tetap bebas untuk menentukan pendirian yang berbeza dengan partinya.

"Penubuhan sesebuah kerajaan adalah berdasarkan kehendak individu Ahli Parlimen, bukannya kehendak parti.

“Parti dan gabungan parti adalah entiti yang menghimpunkan Ahli-ahli Parlimen dalam menentukan sokongan kepada sesebuah kerajaan yang ditubuhkan,” katanya kepada BH hari ini.

Dr Muhamad Fathi berkata, sekiranya terdapat perubahan sokongan, maka boleh wujud gabungan baharu atau parti baharu, atau penyertaan dalam parti atau gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan baharu.

“Soal nama tidak penting. Nak namakan sebagai Pakatan Nasional, Muafakat Harapan dan Gagasan Harmoni atau apa saja nama, terpulang kepada mereka yang berkenaan.

"Apa yang penting ialah angka. Siapa yang ada sokongan 113 daripada 222 Ahli Parlimen, maka dia berhak memegang tampuk pemerintahan," katanya.

Mengimbas krisis pemerintahan di Perak pada 2009, Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hilang kepercayaan daripada DUN selepas empat ADUN melompat parti menyertai Barisan Nasional (BN) dan menjadi wakil Bebas.

Empat ADUN ketika itu iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu, ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim, yang masing-masing daripada PKR dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP.

Mereka mengumumkan keluar parti dan menyatakan ketidakpercayaan kepada kerajaan negeri ketika itu.

Pengumuman itu menyebabkan Pakatan Rakyat hanya mempunyai 28 kerusi menyamai kerusi dimiliki BN, manakala tiga ADUN adalah wakil Bebas turut menyatakan sokongan kepada BN.

Serentak dengan itu, BN Perak mengumumkan mereka mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Mohammad Nizar dilaporkan mengadap Sultan Perak di Istana Kinta bagi memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi ditolak.

Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Shah memutuskan untuk penukaran kerajaan tanpa pembubaran DUN walaupun telah dimohon oleh Menteri Besar Perak sendiri.

Keputusan diputuskan Sultan Perak berdasarkan Fasal 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan yang mana penukaran kerajaan boleh dibuat selepas Menteri Besar telah hilang sokongan majoriti ahli-ahli DUN.

Mengikut Fasal 18 (2)(b) Fasal 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan pula menyatakan Sultan Perak mempunyai kuasa budi bicara (kuasa untuk menentukan sesuatu dan bertindak berdasarkan budi bicara dan penilaian sendiri) yang mana baginda tidak memperkenankan permintaan pembubarkan DUN oleh Menteri Besar.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan