Header Ads

ads header

Flash News

Pinda akta beri tekanan kepada transgender


ISU TRANSGENDER yang berpakaian wanita ketika menunaikan umrah menjadi heboh sehingga mendapat reaksi daripada ramai pihak termasuk Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam hal ini, saya konsisten menegaskan bahawa kita tidak sesekali boleh berkompromi dan mengiktiraf amalan transgender di Malaysia.

Kes-kes yang diputuskan di Mahkamah mengenai permohonan mengubah jantina di dalam kad pengenalan menunjukkan bahawa amalan transgender tidak diiktiraf di Malaysia. Malangnya, Undang-undang Sivil dan Syariah yang berkaitan dengan transgender pada masa ini amat lemah sekali.

Undang-undang yang ada hanyalah bagi kesalahan salah laku seksual bebas dan luar tabi’ie, sama ada dalam Kanun Keseksaan ataupun Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri. Namun begitu, mengambil contoh hukuman terhadap kesalahan seksual yang melibatkan golongan Lesbian di Terengganu, Hakim Mahkamah Syariah terikat dengan had hukuman maksimum yang sangat rendah.

Selain itu, perbuatan berpakaian secara berlawanan jantina, perbuatan menukar jantina atau alat kelamin atau perbuatan mempromosi budaya LGBT secara terbuka tidak dikategorikan di bawah mana-mana kesalahan jenayah yang khusus oleh Undang-undang Sivil. Jika ada sekalipun, hanyalah kesalahan berpakaian secara tidak senonoh yang boleh mengganggu ketenteraman awam di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Walau bagaimanapun, hukuman yang boleh dikenakan sangat kecil, iaitu denda tidak melebihi RM100.

Kesalahan membabitkan amalan transgender juga sukar disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana seksyen yang memperuntukkan larangan terhadap pemberian kandungan jelik di Internet tidak mengkhususkan perbuatan membabitkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebagai satu kesalahan.

Oleh itu, saya ingin mendesak kerajaan agar mengadakan satu kajian menyeluruh untuk meminda semua undang-undang yang berkaitan bagi tujuan menjadikan sebarang perbuatan yang melibatkan transgender sebagai satu kesalahan. Agensi penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah negeri-negeri juga digesa memainkan peranan aktif bagi memastikan pelaku transgender yang berada di bawah bidang kuasa negeri boleh diambil tindakan sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
7 Februari 2020M / 13 Jamadilakhir 1441H – HARAKAHDAILY 7/2/2020



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan