Header Ads

ads header

Flash News

2 kawasan di Simpang Renggam berkurung sepenuhnya, kata Ismail Sabri



DUA kawasan di Simpang Renggam dikenakan perintah kawalan pergerakan lebih ketat selepas 61 penduduknya disahkan positif jangkitan Covid-19, kata menteri kanan Ismail Sabri Yaakob.

Dua kawasan itu ialah Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid.

Ismail berkata perintah lebih ketat itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan, yang akan membataskan 100% pergerakan penduduk, termasuk diberikan bekalan makanan untuk tempoh dua minggu.

“Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di dua kawasan tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kawalan lebih ketat itu melibatkan 3,570 orang penduduk dari 650 buah keluarga.

“Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 27 Mac 2020 hingga 9 April 2020,” tambahnya.

Jelas Ismail, perintah lebih ketat itu bertujuan membendung jangkitan Covid-19 menular keluar dari kawasan itu.

Dalam tempoh itu pihak berkuasa akan membuat pengesanan kes dari rumah ke rumah, tambahnya.

Dengan pelaksanaan perintah lebih ketat, mereka yang berada di dua kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar rumah sementara orang luar tidak dibenarkan masuk.

Semua perniagaan dihentikan, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membekalkan makanan asas yang cukup untuk tempoh 14 hari.

Pihak berkuasa juga akan membuka pangkalan perubatan di kawasan berkenaan.

“Semua laluan keluar masuk kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan ditutup,” kata Ismail.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga dikerah mengawal seluruh kawasan terlibat.

“Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” kata Ismail.

Mereka memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan diminta menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434.

Setakat 12 tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan mengesan 235 lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan keseluruhan kes di Malaysia kini mencecah 2,031.

Ini adalah jumlah kes harian yang tertinggi sejak kes pertama dikesan di negara ini dua bulan lalu.

Sementara itu, kes kematian meningkat kepada 23 korban. – 26 Mac, 2020.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan