Header Ads

ads header

Flash News

Muhyiddin dipuji beri mesej ikhlas rayu rakyat duduk di rumah


PETALING JAYA: Pakar komunikasi memuji Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana berucap dalam nada kasual menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di seluruh negara kelmarin.

Mereka berkata, sikapnya tanpa kepura-puraan adalah menarik dan dapat membantu menyampaikan mesej kepada rakyat untuk duduk di rumah sehingga perintah kawalan pergerakan berakhir.

Mus Chairil Samani daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata, ia jelas menunjukkan keikhlasan Muhyiddin berbanding bahasa rasmi yang digunakan ketika mengumumkan perintah kawalan pergerakan pada Isnin lalu.

Mus, yang menerbitkan sebuah buku mengenai komunikasi krisis, percaya kebanyakan pendengar akan menghargai apa yang perlu mereka lakukan untuk mematuhi perintah itu.

“Bahasa yang beliau gunakan menjelaskan dengan mudah apa maksud perintah kawalan pergerakan. Apabila bercakap kepada semua lapisan masyarakat, cara terbaik ialah menggunakan bahasa yang mudah difahami dan bukannya bahasa rasmi,” katanya kepada FMT.

Syed Arabi Idid daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, perkataan mudah yang Muhyiddin gunakan meyakinkan.

“Beliau mengulangi penggunaan frasa ‘stay at home’ sangat menarik. Jika beliau tidak bercakap dalam cara mudah, mesej itu mungkin tidak dapat disampaikan.

“PM telah menetapkan nada baik. Kini, terpulang kepada pelbagai agensi untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan.”

Syed Arabi berkata, menteri sepatutnya bertindak segera menjelaskan bagaimana perintah kawalan pergerakan akan menjejaskan pelbagai sektor di bawah seliaan mereka selepas perintah itu diumumkan.

Muhyiddin, dalam ucapannya yang ke-2 sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pada minggu ini, mengulangi rayuan untuk rakyat berada di rumah, selepas puluhan ribu orang bergegas balik ke kampung sebelum perintah itu mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Beberapa jam sebelum beliau mengumumkan perintah kawalan pergerakan pada Isnin malam, orang ramai ke pasar raya di seluruh negara untuk pembelian panik, menentang gesaan untuk penjarakan sosial.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari, tolonglah ‘stay put where you are’.

“Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang,” kata Muhyiddin dalam ucapannya dengan menyebut “duduk di rumah” sekurang-kurangnya 4 kali sambil menggesa orang ramai menangguhkan rancangan mengadakan kenduri kahwin ketika cuti sekolah.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh 2 minggu ini sahaja.”

Walaupun ramai mengkritik kerajaan tidak memberi penjelasan terperinci ketika mengumumkan perintah kawalan pergerakan, rakyat turut memuat naik video dan grafik “Duduk di rumah” yang dihasilkan mereka sendiri ke media sosial yang dilihat melengkapi rayuan Muhyiddin.

Ada pula yang memberi terjemahan sendiri terhadap ucapan Muhyiddin dan ada yang menyifatkan ia seperti nasihat seorang bapa.

“Kenapa saya rasa seperti seorang datuk memberitahu cucunya untuk berkelakuan baik – berulang kali – berserta sedikit sindiran (berkaitan kenduri kahwin),” kata wartawan sukan, Haresh Deol.

“Cara Muhyiddin memberi ucapan malam ini mengingatkan saya kepada ayah marah saya sebab tak dengar cakap,” tulis pengguna Twitter Clarky.

“Saya rasa daddy seterusnya ialah Muhyiddin, beliau betul-betul mempunyai watak daddy apabila dia suruh duduk rumah,” kata Syakiladiliah.

Pengguna media sosial lain berkata, perdana menteri cuba bersikap sopan walaupun beliau boleh menggunakan bahasa kasar.

“Muhyiddin secara dasarnya bermaksud ‘tak paham bahasa ke’ walaupun beliau perlu bercakap dalam bahasa Inggeris juga,” kata Nurarif Fitri.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan