Header Ads

ads header

Flash News

Aduan keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak naik 111.2% – WAO


KUALA LUMPUR –
Aduan berkenaan penderaan rumah tangga dan kanak-kanak meningkat sebanyak 111.2 peratus pada bulan April, kata Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Rekod yang dicatatkan NGO berkenaan adalah berdasarkan peningkatan pesanan Whatsapp dan panggilan telefon sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Separuh bulan April sahaja, NGO itu merekodkan 264 panggilan telefon dan Whatsapp berbanding 44 peratus sahaja pada Februari hingga Mac.

“Pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan dalam menangani penularan pandemik Covid-19, ramai wanita dan kanak-kanak yang berisiko untuk ‘terkurung’ di dalam rumah yang sama dengan pendera,” kata WAO menerusi kenyataan.

Berdasarkan statistik ini, WAO mendakwa kes keganasan rumah tangga akan meningkat sekiranya PKP dilanjutkan.

Susulan peningkatan ini,WAO menggesa kerajaan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas dalam memberi respons kepada kes keganasan rumah tangga ketika PKP termasuk memastikan mangsa boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO).

Kerajaan juga perlu menambah baik dan meningkatkan rumah-rumah perlindungan, dan menyenaraikannya sebagai perkhidmatan penting, selain memastikan bantuan kewangan sampai kepada mangsa keganasan rumah tangga dan memperuntukkan sumber yang mencukupi bagi memastikan respons kecemasan yang efektif.

Prihatin terhadap perkembangan semasa, WOA juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan MERCY Malaysia serta membantu mangsa dera melalui hotline sokongan psikososial Covid-19.

Bermula 15 April, mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak boleh meminta bantuan melalui hotline sokongan psikososial Covid-19 (03-2935 9935).

Mula digerakkan oleh MERCY Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC),
Kementerian Kesihatan Malaysia dan kini disambungkan kepada hotline keganasan rumah tangga Pertubuhan Pertolongan Wanita (03-7956 3488).

Sebagai penambahan kepada sokongan kesihatan mental dan sokongan psikososial yang disediakan, pemanggil juga akan diberikan pilihan ketiga sekiranya mereka ingin bercakap dengan pegawai sokongan krisis dari Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengenai kes-kes seperti penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga melalui sistem respon automatik.

Setelah disambungkan, WAO akan memberikan khidmat nasihat mengenai pilihan-pilihan yang ada bagi mangsa keganasan rumah tangga, dan sekiranya perlu, akan membantu individu yang memerlukan untuk mendapatkan perlindungan daripada pihak polis.

“Hotline kerjasama antara kementerian dan NGO ini merupakan satu langkah yang amat penting. Ianya akan menerapkan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan sektor ketiga pada masa yang diperlukan,” tambah kenyataan itu.

WAO kini menugaskan 14 orang pegawai sokongan krisis yang aktif dalam mengendalikan panggilan hotline, serta kakitangan lain yang sentiasa bersedia dengan jangkaan peningkatan
panggilan dan permintaan bantuan mengenai keganasan rumah tangga.

Kesemua kakitangan ini akan membantu 19 orang sukarelawan psikososial daripada MERCY Malaysia dan 10 orang kaunselor daripada KKM yang mengendalikan hotline pada ketika ini.

Untuk makluman, mangsa dera boleh menghubungi talian Hotline 24 jam WAO di 03 7956 3488 atau melalui WhatsApp di 018 9888 058 (24 jam), atau hubungi hotline sokongan psikososial Covid-19 MERCY Malaysia-KKM di talian 03 2935 9935 untuk pelbagai bantuan (8 pagi – 5 petang setiap hari).-MalaysiaGazette



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan