Header Ads

ads header

Flash News

Ahli Parlimen PN ketuai GLC berperanan untuk memantau


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kerajaan yang dilantik sebagai pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan berperanan sebagai wakil rakyat yang ‘memantau’ perjalanan syarikat di bawah tanggungjawabnya.

Ia juga memperlihatkan kerajaan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat kerana pengerusi GLC yang dilantik adalah dalam kalangan mereka yang dipilih oleh rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, menegaskan apa yang penting adalah pelantikan barisan pengurusan dan pentadbiran GLC itu bukan dilantik dalam kalangan orang politik.

“Pandangan saya pendekatan yang dibuat kerajaan Pakatan Nasional (PN) ini memperlihatkan kerajaan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat kerana pengerusi GLC yang dilantik adalah mereka yang dipilih oleh rakyat.

“Peranan mereka adalah mewakili rakyat memantau perjalanan sesuatu GLC, manakala urusan pengurusan dan pentadbiran GLC dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah atau Pengurus Besar yang seharusnya bukan dari golongan politik,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang dilaporkan sebagai berkata Ahli Parlimen PN yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan akan dilantik mengetuai GLC.

Mohd Zuhdi berkata, pelantikan itu juga memberi kelebihan kepada Ahli Parlimen terbabit untuk menjawab persoalan atau isu berbangkit mengenai GLC yang mereka pimpin di Parlimen.

“Semua GLC ini lazimnya akan menyerahkan laporan tahunan mereka ke Parlimen, maka sekiranya ada perkara berbangkit yang datang dari wakil rakyat, pengerusi terbabit boleh menjawab secara langsung di Parlimen.

“Sebelum ini, soalan berkaitan GLC jika ditanya di dalam Parlimen akan dijawab oleh menteri yang berkaitan dengan GLC terbabit.

“Selepas ini, Parlimen mungkin boleh mewujudkan satu mekanisme supaya soalan berkaitan GLC tertentu dijawab secara langsung oleh Pengerusi GLC yang juga Ahli Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, perlu dibezakan di antara badan membuat keputusan dalam sesuatu GLC dan badan yang mentadbir dan menguruskan GLC.

“Badan membuat keputusan GLC memang sesuai diberi kepada pihak pembuat dasar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen manakala badan yang mentadbir dan menguruskan GLC seharusnya diberi kepada bukan golongan politik.

“Keseimbangan ini perlu selaras dengan prinsip pengasingan kuasa di antara pihak legislatif dan eksekutif,” katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan